NEGARA
Kecoh di stesen minyak Rantau Panjang
RANTAU PANJANG - Keliru sampai nak bergaduh.
Begitulah keadaan yang berlaku di sebuah stesen minyak di sini, apabila pihak berkuasa menghalang warga Thailand mengisi minyak ekoran kekeliruan mengenai tarikh sebenar larangan menjual petrol dan diesel kepada kenderaan asing.
Meskipun arahan penangguhan itu sudah dikeluarkan semalam, malah ditambah dengan penjelasan daripada pengusaha stesen, namun beberapa anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tetap menjalankan tugas seperti yang diarahkan.
Kekecohan berlaku apabila kenderaan asing yang memasuki stesen minyak itu yang mula dibuka pada pukul 7 pagi dihalang oleh pihak berkuasa untuk mengisi minyak di situ.
Pengurus Stesen itu, Che Yam Che Seman mendakwa, pihak berkuasa berkeras menghalang kenderaan asing mengisi minyak dengan alasan larangan tersebut berkuat kuasa semalam.
"Pelik macam mana orang kerajaan tidak mengetahui mengenai perubahan ini, walhal saya dah tunjuk surat pekeliling daripada pihak berkuasa itu sendiri.
"Selepas saya menghubungi pejabat KPDNHEP meminta penjelasan, barulah mereka boleh menerimanya," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad mengenai penangguhan itu bagi membolehkan kementerian memuktamadkan beberapa isu berkaitan.
Larangan itu akan berkuat kuasa di Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis bermula 2 Jun, manakala di Johor Bahru dan Kulai ditangguhkan hingga 9 Jun ini berbanding sebelum dengan arahan asal yang berkuat kuasa semalam.




Moden chic Jalan Masjid India
Bebas yang bertanggungjawab
Saraf bahu terkoyak