NEGARA
Satu kereta dua geran
![]() |
|
|
KUALA LUMPUR - Satu kereta, dua geran!
Itulah dilema yang dialami oleh seorang pengurus sebuah syarikat yang musykil bagaimana satu lagi geran 'hantu' untuk keretanya boleh dikeluarkan dengan menggunakan namanya sedangkan keretanya masih lagi terikat dengan pihak bank.
Apa yang peliknya, ia bukan geran palsu, tetapi geran sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk dimiliki oleh orang lain yang dipercayai bagi memudahkan urusan memperbaharui cukai jalan.
Mangsa, Faidzuddin Mohamad Yusof, 35, berkata, pada Januari 2007, dia menyerahkan keretanya kepada seorang jurujual bagi menguruskan urusan jual beli seperti yang sepatutnya.
"Dia lebih arif kerana telah lama dalam bidang penjualan kereta lalu saya terus serahkan kepadanya kereta BMW saya.
"Selepas menyerahkan kereta, saya gagal menghubunginya dan dia hilang begitu sahaja bersama kereta saya.
"Bimbang sesuatu berlaku, saya nekad mengupah orang untuk mencari dan akhirnya berjaya menemui pembeli kereta saya yang telah terjual tanpa pengetahuan saya," katanya.
"Bagaimanapun, pembeli itu pula mendakwa telah menjual keretanya kepada orang lain yang gagal membuat ansuran bulanan sehinggalah pihak bank menghubungi saya mengatakan kereta BMW itu akan ditarik.
"Semakin timbul tanda tanya, pada hari yang sama juga bank memaklumkan kereta saya telah 'dirampas' oleh sekumpulan lelaki dan hilang sekali lagi," jelasnya.
Apa yang mengejutkan Faidzuddin, setelah disiasat, dia mendapati ada geran kedua dikeluarkan JPJ ke atas keretanya sedangkan geran asal miliknya masih dalam simpanan bank.
Malah cukai jalan dan insurans keretanya juga telah diperbaharui di sebuah pejabat pos di Johor pada April lalu.
Menurutnya, dia juga pernah menulis surat kepada pihak bank supaya tidak membenarkan sebarang urusan memperbaharui cukai jalan dan insurans dilakukan pada Oktober lalu selain tiga laporan polis dibuat.
Namun, urusan tersebut masih berlaku dan lebih teruk lagi, Faidzuddin tetap dikenakan tindakan mahkamah kerana gagal membayar ansuran kereta tersebut.
Persoalan yang timbul ialah bagaimana geran baru boleh dikeluarkan oleh JPJ sedangkan geran asal yang turut mencatatkan tarikh akhir cukai jalan bercanggah dengan rekod jabatan tersebut.
"Saya yakin banyak perkara yang tidak kena dalam kes ini dan saya amat berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera bagi menyelesaikan kekusutan ini," pintanya.
Sementara itu, jurucakap polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya mengesahkan ada menerima laporan mengenai perkara tersebut dan sedang menyiasat kes tersebut.
"Setakat ini polis mendapati ada empat pemilik yang pernah menggunakan kereta berkenaan dan dua daripadanya sudah dikenal pasti tetapi dua lagi masih belum ditemui,'' ujarnya ketika dihubungi semalam.
Justeru beliau meminta supaya pemilik terakhir segera menyerahkan kenderaan tersebut kepada bahagian jenayah komersial untuk tindakan selanjutnya.
"Polis harap orang ramai juga dapat membantu memberikan maklumat untuk mencari kereta yang mempunyai nombor pendaftaran WME 2551 jenis BMW 328i," tambahnya.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.





Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


