HIBURAN
Tiada tuah untuk Nadia

PERSEMBAHANNYA hebat, tetapi kenapa hanya di tangga kelima? Kalau setakat tewas kepada Stacy dan Riz, boleh juga diterima akal, tetapi dia juga tewas di tangan Nubhan dan Toi?
Bab kekalahan di tangan Toi dan Nubhan memang tidak masuk akal sementelah Nadia dilihat sebagai peserta Akademi Fantasia 6 (AF6) yang paling konsisten.
Malah seorang juri AF6, Ning Baizura juga membayangkan Nadia sebagai pemenang di konsert akhir itu.
"Saya fikir anda akan jadi pemenang malam ini," kata Ning memuji Nadia selepas dia membuat persembahan yang disifatkan membuatkan semua juri terpegun kebanggaan.
Pun begitu, nampaknya elemen tuah tidak menyebelahi si manis berambut menggerbang ini.
Meskipun sentiasa memberi persembahan bertenaga dan konsisten setiap minggu menerusi konsert mingguan ada sebab kenapa Nadia, 18 meraih undian tercorot dalam pertandingan yang berlangsung dengan meriah di Stadium Putra Bukit Jalil malam Sabtu lalu.
Dan apa lagi? Nadia tetap mampu tersenyum dengan takdir yang sudah tertulis untuknya.
Bagi Nadia, kekalahan ini bukannya pengakhiran yang perlu ditangisi atau diratapi, sebaliknya konsert akhir AF6 ini dianggap sebagai awalan Nadia memulakan langkah dan tari bergelar penyanyi.
"Terus-terang, saya tak rasa kecewa atau terkilan apabila diumumkan sebagai peserta yang mendapat tempat kelima.
"Dapat sampai ke peringkat akhir dan buat persembahan di hadapan ribuan penonton pun sudah cukup menggembirakan hati saya.
"Rasa syukur sangat. Lagipun saya tak pernah jangka untuk sampai ke tahap ini," tutur Nadia kepada Kosmo! semasa ditemui sejurus berakhirnya konsert berkenaan.
Pertama kali bertentangan mata dan berbicara dengan Nadia atau nama sebenarnya Nadia Haswani Hasnan, nampaknya wajah muda dan segar yang penuh cita-cita ini menjunjung visi tersendiri.
Dalam nada cukup keyakinan, Nadia memberitahu "Keluar AF6, perkara pertama yang saya nak buat adalah menggantikan tanggungjawab yang mama dan papa pikul sebelum ini.

"Harap lepas ini mereka tidak payah kerja keras lagi. Saya akan memberikan kesenangan kepada mereka.
"Dah tiba masanya saya ambil alih tugas mereka."
Mengakui bersedia menghadapi pahit-maung berstatus seorang penyanyi yang menjadi permainan industri, Nadia memberitahu, dia akan menggunakan apa jua pengalaman yang ditimba daripada akademi.
"Saya akan menerapkan semua ilmu yang dipelajari daripada tenaga pengajar AF6 dalam menempuhi kehidupan bergelar anak seni.
"Sebenarnya banyak lagi yang kena belajar, malah saya berazam untuk perbaiki diri dari semasa ke semasa. Tentang persediaan hadapi segala kontroversi dan fitnah, saya amalkan prinsip jujur dan ikhlas. Itu pegangan saya," akuinya yang dilahirkan pada 14 April 1990.
Padah sikap terlalu yakin
Di awal konsert mingguan AF6, Nadia dilihat terlalu yakin dengan diri sendiri hinggakan ia seolah-olah memakan diri sendiri.
"Tak dinafikan, pada awalnya memang saya agak terlalu yakin kala buat persembahan di pentas.
"Kemudian minggu-minggu seterusnya saya cuba kurangkan sikit tahap terlebih yakin itu disebabkan saya tahu ia bakal memberi impak kurang baik kepada saya.
"Saya dah mula sedar kedudukan saya tiap minggu, lagipun saya lihat kawan lain semua bagus-bagus belaka.
"Untuk elakkan perkara itu berlarutan, saya cuba kawal diri sendiri agar tak lagi berlebih-lebihan," jelas Nadia enggan berselindung.
Nadia bukan gedik
Andai diperhatikan dalam Diari AF6, Nadia dan Riz kerap 'bermesra' antara satu sama lain walaupun masing-masing menggunakan gelaran abang dan adik semasa bersembang.
Bukan salah untuk berkelakuan sedemikian, sebaliknya terlalu kerap 'bersama' berkongsi cerita, ia kelihatan kurang menyenangkan apatah lagi objektif melangkah kaki di AF6 adalah untuk menimba pelajaran asas nyanyian.
Bagaikan memahami apa yang dikatakan penulis, Nadia menjelaskan, bukannya dia tidak fokus sepanjang tempoh 'dikurung' dalam AF6 itu.
"Saya akui bersikap periang semasa berada di AF6, tapi pada masa sama saya juga berikan sepenuh tumpuan pada kelas.
"Proses pembelajaran tiada yang berterusan, sebaliknya ada waktu kita berehat dan berjenaka dengan rakan lain. Itulah gambaran sebenar saya. Sepanjang berada di AF6, saya tak pernah hipokrit. Itulah diri sebenar Nadia.
"Kalau penonton nak cakap perkara buruk tentang saya yang dikatakan banyak main dalam AF6, saya terima saja dengan perasaan dan hati terbuka.
"Apa pun saya dah buktikan kepada penyokong, Nadia dah berjaya sampai ke peringkat akhir," tutur Nadia bangga kerana sudah miliki lagu sendiri, Kalut Lagi Mengarut.
Hala tuju Nadia
Dalam lambakan bekas pelajar AF yang kurang produktif sejak 2003, pemuja Anita Sarawak dan Tina Turner ini mengakui ada misi sendiri bagi menonjolkan diri di lantai seni.

Enggan bintang yang diraih sekelip mata itu bertukar suram, Nadia membutir kata, dia punyai strategi bagi menempatkan diri dengan kelompok artis wanita lain di negara ini.
"Kalau kita lihat, situasi penyanyi perempuan di Malaysia yang boleh menyanyi sambil menari tidak ramai.
"Itulah yang saya cuba nak tonjolkan. Nak tunjukkan keupayaan dan kebolehan saya nyanyi serta menari.
"Harap kelainan ini dapat diterima peminat," kata Nadia sambil mengukir senyuman manis, semanis wajahnya yang ternyata gembira dengan transisi bergelar anak seni.
Varia!»

JUM-P rawat masalah hati
ABDUL MALEK menunjukkan produk keluaran syarikatnya.



Spa batuan sungai
Karya kreatif di alam maya
Awasi bengkak keras


