DUNIA
Pejuang Palestin guna 4 tan letupan serang Israel

GAZA - Seorang penyerang berani mati semalam meletupkan sebuah lori yang sarat dengan empat tan bahan letupan berhampiran sempadan yang menghubungkan Israel dengan wilayah Gaza.
Bagaimanapun, letupan kuat yang boleh didengari sejauh 30 kilometer itu hanya mengorbankan penyerang berani mati tersebut.
Media Israel melaporkan bahawa tentera Yahudi melepaskan tembakan ke arah kenderaan itu ketika ia menghampiri Lintasan Erez.
Seorang jurucakap tentera Israel berkata, lori itu meletup di wilayah Palestin tetapi letupan kuat itu mengakibatkan cermin bangunan berhampiran pecah.
Kumpulan Jihad Islam mengaku melakukan serangan itu dengan bantuan kumpulan Briged Al-Aqsa bagi membalas serangan Israel terhadap Palestin.
Tentera Yahudi memberitahu bahawa dua lagi lelaki yang turut melancarkan serangan itu mati akibat dibedil peluru berpandu yang dilancarkan oleh sebuah helikopter Israel.
Bagaimanapun, kumpulan Jihad Islam memberitahu bahawa dua lelaki itu berjaya melompat keluar dari lori berkenaan sejurus sebelum serangan itu.
Sementara itu, seorang penduduk Palestin mati dan 10 lagi cedera selepas askar Israel melepaskan tembakan pada sekumpulan remaja yang mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah penutupan Lintasan Karni yang menghubungkan Gaza dengan Israel.
Seorang jurucakap tentera Israel berkata, pihaknya mengesan seorang lelaki bersenjata dalam kumpulan remaja itu tetapi tiada laporan bahawa lelaki itu melepaskan tembakan.
Dalam kejadian berasingan, askar Israel menembak mati seorang lelaki berumur 63 tahun selepas menyerbu sebuah perkampungan di Genting Gaza. - Reuters




Moden chic Jalan Masjid India
Bebas yang bertanggungjawab
Saraf bahu terkoyak