DUNIA

Indonesia agih baucar RM570 juta untuk rakyat miskin

Indonesia agih baucar RM570 juta untuk rakyat miskin

JAKARTA - Pihak polis Indonesia diarah bersiap sedia untuk mengawal penyaluran bantuan kewangan kepada golongan miskin bagi meringankan beban mereka berikutan rancangan kerajaan untuk menaikan harga minyak, kata seorang jurucakap semalam.

Keputusan kerajaan untuk menaikan harga komoditi itu mencetuskan tunjuk perasaan hampir setiap hari sejak beberapa minggu lalu.

Kerajaan Indonesia kelmarin mengumumkan harga minyak akan dinaikkan secara purata sebanyak 28.7 peratus namun tiada kata putus bila ia akan berkuat kuasa.

"Ketua polis negara telah mengarahkan semua ketua-ketua polis daerah untuk mengawal pemberian wang," kata jurucakap polis, Abubakar Nataprawira.

Kerajaan merancang untuk menyalurkan bayaran bulanan sebanyak Rp.100,000 (RM30) setiap isi rumah kepada kira-kira 19.1 juta keluarga miskin bagi mengurangkan beban mereka.

Penyaluran baucar-baucar bernilai lebih RM570 juta berkenaan akan mula diagihkan pada Selasa ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Nataprawira berkata, dua pegawai polis dan seorang krew televisyen cedera apabila penunjuk perasaan membalingkan batu ke arah mereka dalam satu insiden di hadapan istana presiden kelmarin. - AFP

Process time in ms: 31