AKADEMI

Nota Che Mad jadi panduan

Nota Che Mad jadi panduan


SUNGGUHPUN tidak pernah ke kelas Che Mad, namun Saiful banyak belajar tentang fotografi daripadanya.


Saiful Nang bukanlah seorang pelajar dalam bidang fotografi. Tetapi galakan seorang pensyarah menyebabkan anak muda ini tertarik menceburi bidang itu.

NAMA Saiful Nang bukanlah asing dalam dunia fotografi, khasnya dalam fotografi perkahwinan di negara ini.

Merupakan Ketua Pegawai Operasi dan Pengasas Candid Syndrome, anak kelahiran Pahang yang semakin melakar nama dalam industri fotografi yang diceburinya sejak tiga tahun lalu ini mendapat pendidikan formal dalam bidang filem dan animasi dari Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya.

Sungguhpun berpengalaman dalam medium seni visual, Saiful beralih ke dunia fotografi bukan menerusi pendidikan formal, sebaliknya berlandaskan keghairahan dan minat.

"Saya terlibat dalam arena fotografi bukan secara sengaja. Malah, subjek fotografi hanya diperkenalkan selepas saya meninggalkan institusi tersebut.

"Boleh dikatakan, saya mendalami dunia fotografi melalui inisiatif saya sendiri," ujar Saiful, 30, ketika ditemui di Putrajaya baru-baru ini.

Namun demikian, Saiful merasakan apa yang dikecapinya pada hari ini merupakan hasil galakan dan pengaruh seorang pensyarah di MMU.

"Beliau bukan pensyarah yang mengajar saya, sebaliknya beliau adalah pensyarah kepada seorang kawan baik saya yang mengikuti kelasnya. Saya selalu berkongsi tentang apa yang disampaikannya di kuliah dengan rakan baik saya ini. Lama kelamaan, 'kuliah' secara tidak rasmi itu telah membentuk diri saya menjadi apa yang dicapai pada hari ini.

"Bagi saya, seorang guru atau pensyarah tidak semestinya mengajar secara langsung di bilik darjah atau kuliah. Mereka masih boleh mengajar secara tidak langsung," jelas Saiful tersenyum.

Menceritakan lebih lanjut, Saiful berkata : "Seperti yang dikatakan lebih awal tadi, subjek fotografi hanya diperkenalkan semasa saya telah meninggalkan MMU dan telah bekerja.

"Namun, seorang rakan baik saya yang mengikuti kelas yang dikendalikan oleh Che Ahmad Azhar Che Fadzil, 44, atau lebih dikenali sebagai Che Mad telah mengubah persepsi saya terhadap dunia fotografi.

"Saya sering kali mendengar cerita mengenai kualiti kerja dan tahap disiplin yang diterapkan oleh Che Mad. Malah, saya sering kali membaca nota-nota lengkap dan tugasan yang diagihkan oleh beliau kepada penuntutnya."


SAIFUL NANG (kiri) menganggap guru terbaik adalah mereka yang berjaya memupuk disiplin pelajar seperti yang dilakukan oleh Che Mad.


Tambah beliau, "Apa yang menarik tentang Che Mad ialah beliau langsung tidak berkompromi terhadap disiplin dan mutu para pelajarnya.

"Saya pernah mendengar cerita bahawa Che Mad biasanya akan ke kelas sekurang-kurangnya awal 10 minit daripada waktu bermula dan tepat pada masanya, beliau akan mengunci pintu. Beliau langsung tidak akan melayan kerenah mereka yang lewat."

Mengulas lanjut, Saiful berkata, imej fotografi negatif filem hitam putih yang dihasilkan rakannya telah mencetuskan rasa ingin tahunya terhadap dunia fotografi.

"Satu perkara tentang nota-nota yang diberikan Che Mad ialah ia lengkap mengikut subjek yang diajar dan banyak yang saya dapat pelajari daripada nota itu.

"Malah, saya pernah membantu rakan saya menyelesaikan salah satu tugasan yang diberikan Che Mad dan mendengar komen yang diberikan olehnya," kata Saiful tersenyum sambil memaklumkan bahawa beliau ketika itu bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing.

Dengan pantas beliau menjelaskan: "Saya sedar bantuan ini mungkin dilihat sebagai 'menipu' tetapi tugasan itu dilakukan oleh rakan saya sepenuhnya. Saya hanya mengambil beberapa keping gambar menggunakan filem yang sama untuk membantunya.

"Setelah tugasan itu dihantar, saya menemani rakan saya ke pejabat Che Mad untuk mendengar komen-komen beliau tentang beberapa imej yang dipilih, termasuk yang saya ambil. Banyak yang saya pelajari daripada komen itu."

Walaupun dia tidak pernah berada dalam satu kelas yang diajar oleh Che Mad, Saiful menganggap guru yang terbaik ialah mereka yang berjaya memupuk disiplin kerja dalam kalangan pelajar sejak peringkat awal pengajian.

"Saya amat menghargai apa yang diajar oleh Che Mad walaupun tidak pernah menghadiri kelasnya. Nota dan semangat yang disemainya begitu 'dirasai' dan melekat dalam diri saya.

"Ilmu ini amat berharga untuk saya," kata Saiful yang kini menganggap Che Mad sebagai seorang sahabat.

Sementara itu, Che Mad yang kini bertugas sebagai Ketua Pengajian Asasi Fakulti Multimedia Kreatif MMU, Cyberjaya, berkata, mendidik generasi muda adalah impiannya sejak kecil memandangkan ibunya merupakan seorang guru.

"Saya amat seronok berkongsi ilmu dan pengalaman bersama generasi muda kerana saya berpegang pada nasihat ibu bahawa kita tidak rugi apa-apa mahupun miskin jika berkongsi ilmu. Bahkan ilmu yang dikongsi akan bertambah dari sehari ke sehari," katanya yang mula mengajar sejak tahun 1992 di Limkokwing sebelum menyertai MMU pada tahun 1997.

Beranggapan guru sebagai satu kerjaya yang mulia, Che Mad kini mengajar subjek fotografi kepada pelajar tahun pertama dalam ijazah kreatif multimedia. Di samping itu, beliau juga mengajar subjek rekaan.

Seorang yang tegas dan mementingkan disiplin, Che Mad berkata: "Bagi saya, pelajar seumpama batu permata yang perlu digilap. Saya tegas kerana mahu membentuk individu agar berkebolehan melakukan sesuatu yang terbaik.

"Saya tidak mahu pelajar saya mengamalkan sikap bekerja sambil lewa dan semata-mata mahu menyiapkan tugasan, sebaliknya saya mahu mereka memberikan hasil kerja terbaik dan menghormati tarikh akhir penghantaran tugasan."

Sungguhpun tegas, Saiful mencelah, Che Mad sering dianggap sebagai pensyarah kegemaran pelajar.

"Saya menerapkan disiplin dalam kelas kerana apabila para pelajar ini melangkah ke dunia sebenar, mereka hanya akan dihormati dan disukai pelanggan atau individu lain sekiranya mengamalkan kualiti kerja yang cemerlang.

"Kreativiti boleh dipelajari, minat dan disiplin boleh disemai," kata Che Mad menamatkan bicara.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31