AKADEMI

Jurupulih cara kerja bertaraf dunia

Jurupulih cara kerja bertaraf dunia

Berperanan membantu meringankan beban dan meningkatkan kualiti hidup golongan istimewa dan warga tua, kursus Pemulihan Cara Kerja yang ditawarkan oleh UiTM ini menawarkan prospek kerjaya yang cukup cerah.


UiTM Cawangan Jalan Othman komited dalam menghasilkan graduan pemulihan cara kerja yang berkualiti.


"PROSPEK kursus ini sangat bagus memandangkan pasaran kerjaya di bidang ini masih belum tepu dan permintaan terhadap graduannya terus wujud. Pelajar yang belum habis peperiksaan akhir sudah ditawarkan pekerjaan daripada hospital swasta atau NGO," kata pensyarah Program Pemulihan Cara Kerja, kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jalan Othman, Petaling Jaya, Mohd Sulaiman Murad.

Sebenarnya, program ini bermula di peringkat diploma pada tahun 1996 dengan pengambilan pelajar seramai empat orang sahaja. Bilangan itu kemudiannya terus bertambah berikutan permohonan yang diterima oleh pihak UiTM daripada mereka yang berminat kian memberangsangkan.

Kemudian, pada Julai 2005, program pemulihan cara kerja di peringkat ijazah sarjana muda dimulakan. Jika program diploma berlangsung selama tiga tahun, pengajian di peringkat ijazah sarjana pula memakan masa empat tahun.


MOHD SULAIMAN


Kurikulum program ini melibatkan pengajian asas seperti anatomi, fisiologi dan sains perubatan yang merangkumi kondisi pesakit termasuklah keadaan psikiatrik mereka.

Program pemulihan cara kerja turut melibatkan proses klinikal (praktikal) yang memerlukan pelajar berjumpa dengan pesakit sebenar di hospital supaya mereka dapat mengaplikasikan teori yang dipelajari di bilik kuliah dengan lebih berkesan.

"Setiap semester merangkumi 14 minggu. Jadi, bermula pada minggu ke-11, pelajar akan menjalani sesi klinikal. Pihak UiTM akan memohon kerjasama dengan hospital sebelum menghantar pelajarnya ke sana. Setakat ini, kerjasama daripada pihak hospital sangat baik.

"Sesi klinikal ini penting kerana ia adalah kelayakan yang telah ditetapkan oleh pihak Kesatuan Jurupulih Cara Kerja Dunia (World Federation of Occupational Therapist) iaitu praktis klinikal selama 1,000 jam sebelum mereka layak menjadi seorang jurupulih cara kerja," kata Mohd Sulaiman.

Mengakui masih ramai yang kurang pasti apakah sebenarnya program Pemulihan Cara Kerja, Mohd Sulaiman menerangkan bahawa ia berhubung kait dalam kerja-kerja membantu pesakit yang mengalami kecacatan, kemalangan, ketidakupayaan serta masalah mental atau psikologi.


UNTUK menjadi seorang jurupulih cara kerja, mereka perlu memiliki kemahiran komunikasi yang baik.


Apabila seseorang mengalami kecederaan atau kecacatan, mereka sukar menjalani kehidupan seharian. Kalau kanak-kanak pula, mereka mungkin mengalami masalah pembelajaran.

Justeru, jurupulih cara kerja bertanggungjawab membuat penilaian ke atas pesakit sebelum rancangan rawatan jangka pendek dan panjang dibuat. Penilaian terdiri daripada penilaian standard dan tidak standard.

Penilaian standard menggunakan peralatan khas yang memiliki pemboleh ubah yang sah. Manakala penilaian tidak standard pula biasanya melibatkan pemerhatian dan temuramah.

Contohnya, seorang kanak-kanak yang tidak boleh mengenal bentuk objek. Rawatan jangka pendeknya mungkin mengenal warna dan perancangan jangka panjang pula ialah belajar menulis.


SETIAP pelajar diajar untuk menggunakan peralatan dengan betul.


"Jangka masa rawatan bergantung kepada keseriusan kecacatan atau penyakit yang dihadapi. Rawatan bagi pesakit kanak-kanak biasanya lebih lama dan mungkin sepanjang hayat. Kalau kes patah tulang atau sebagainya, mungkin lebih cepat kerana proses pemulihan tidak mengambil masa lama," jelasnya.

Bercerita tentang pentingnya peranan seorang jurupulih cara kerja, Mohd Sulaiman menegaskan, mereka bertanggungjawab membantu golongan kurang upaya ini berdikari dalam kehidupan seharian mereka.

Jika hendak dibandingkan dengan negara maju lain seperti Jepun yang memiliki kira-kira 40,000 orang jurupulih cara kerja atau OP (occupational therapist), jurupulih cara kerja di Malaysia hanyalah sekitar 600 hingga 800 orang sahaja.

Ditanya kenapa bilangan itu masih kecil, Mohd Sulaiman memberitahu, masalah itu berpunca daripada perkembangan kursus yang agak lambat. UiTM adalah institusi pengajian tinggi pertama yang menawarkan kursus ini di peringkat diploma dan ijazah. Sebelum ini, ia dilaksanakan di Kementerian Kesihatan, tetapi terhad untuk pasarannya sahaja.


PARA pelajar dilengkapi dengan ilmu sewajarnya sebelum menjalani latihan fizikal klinikal di setiap penghujung semester.


"Pasaran untuk graduan pemulihan cara kerja bukan hanya di hospital, malah turut diminta oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan pusat pemulihan. Saya pernah membaca artikel dalam akhbar bahawa negara kita turut mengalami kekurangan jurupulih cara kerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya sambil memberitahu, kini sudah ada beberapa institusi yang menawarkan kursus yang sama seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berikutan permintaan yang kian meningkat, UiTM berhasrat untuk menambah bilangan jurupulih cara kerja, biarpun sedar ia memang tidak mampu untuk menampung keperluan industri sepenuhnya.

Kini, kapasiti bagi setiap pengambilan di UiTM cawangan Jalan Othman, Petaling Jaya di peringkat diploma ialah seramai 60 orang dan 30 orang untuk ijazah.


KAMPUS ini memiliki kemudahan makmal yang lengkap.


"Tidak boleh ambil terlalu ramai kerana pengajian kursus ini banyak melibatkan masa di makmal dan mengajar kemahiran. Kalau ramai, sukar untuk beri tumpuan.

"Kesedaran pelajar sekolah mengenai program ini bagus kerana ada ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka mengambil kursus ini," katanya.

Di luar negara, lepasan sekolah yang mahu mengambil jurusan ini perlu menjalani sesi temu duga. Sebabnya, profesion ini memerlukan individu memiliki kemahiran berkomunikasi yang baik dengan pesakit.

Menyedari keperluan tersebut, Mohd Sulaiman tidak menolak kemungkinan wujudnya syarat kelayakan tambahan pada masa akan datang.


PARA pelajar tekun mendengar penerangan daripada pensyarah.


Bercerita tentang cabaran sebagai salah seorang pensyarah program ini, Mohd Sulaiman memberitahu cabarannya ialah untuk meningkatkan kualiti program supaya setanding dengan peringkat antarabangsa.

"Hampir 90 peratus pelajar kursus ini adalah pelajar perempuan. Saya kurang pasti kenapa pelajar lelaki kurang berminat, sedangkan tenaga mereka amat diperlukan.

"Jadi, saya harap, selepas ini akan lebih ramai pelajar lelaki memohon kursus pemulihan cara kerja. Usah risau tentang kerjaya kerana tidak susah untuk cari kerja selepas tamat belajar," katanya.

Process time in ms: 46