NEGARA
Pantai Chenang diceroboh

Chenang, Langkawi.
LANGKAWI - Seperti Belanda dapat tanah.
Sudahlah tanah diceroboh, kemudian dicuri pula pasirnya untuk dibina calet dan restoran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Begitulah keadaan yang terjadi ke atas tanah rekreasi sepanjang 150 meter di Pantai Chenang yang kini dipenuhi bangunan haram.
Tinjauan Kosmo! di tanah milik kerajaan berhampiran Menara Tsunami Jabatan Pertahanan Awam (JPA) di Pantai Chenang, Langkawi semalam, mendapati kawasan tersebut kini tidak ubah seperti penempatan setinggan.
Tanah tersebut yang sebelum ini didakwa mempunyai keluasan sebesar empat padang bola sepak yang disediakan kerajaan sebagai kawasan rekreasi pengunjung berhampiran tandas awam Pantai Chenang dekat sini, kini tiada lagi.
Difahamkan sejak dua tahun lalu kawasan tanah tersebut yang disediakan kerajaan kini 'ditumbuhi' restoran dan calet haram bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan yang didirikan oleh individu tidak bertanggungjawab.
Lebih memeranjatkan pihak tidak bertanggungjawab itu turut mengambil kesempatan dengan mencuri pasir pantai tersebut untuk digunakan sebagai bahan mentah bagi binaan yang didirikan mereka.
Menurut sumber yang hanya ingin dikenali sebagai Rahman Ibrahim mendakwa keadaan tersebut berlarutan sejak dua tahun lalu dan aduan kepada pihak berkuasa telah dilakukan namun tiada tindakan diambil setakat ini.
Malah katanya lagi, individu yang menceroboh kawasan tersebut seolah-olah 'kebal' dari dikenakan tindakan undang-undang.
"Saya sudah melaporkan masalah tersebut kepada pihak polis, Majlis Perbandaran Langkawi dan pejabat daerah. Namun mereka kata: "Kami tidak boleh buat apa-apa".
"Bagaimana ini boleh berlaku sedangkan pihak berkuasa tahu ada pihak melakukan kesalahan di segi undang-undang, tindakan tidak dapat diambil," katanya.
Sementara itu, Rahman menjelaskan keadaan tersebut menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk dan pengunjung yang datang ke kawasan tersebut untuk beriadah.
"Disebabkan pencerobohan dan kecurian tanah pasir pantai di situ, kawasan menjadi kian sempit.
"Apabila tiba musim air pasang besar kawasan ini pasti akan tenggelam. Berbanding sebelum ini kawasan pantai tinggi tetapi sekarang pantai semakin dalam," katanya.
Tambahnya lagi, berikutan itu, pengunjung di pantai itu semakin berkurangan dan keadaan ekosistem alam semula jadi semakin terjejas.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.




Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


