NEGARA

Sepakat tiga madu <i>- Benarkan suami kahwin kali keempat</i>

Sepakat tiga madu - Benarkan suami kahwin kali keempat


MOHAMED NOR keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu semalam sambil diiringi isteri kedua, Khalthom Dollah (dua dari kiri), isteri pertama, Wan Rukiah Mat Yusof dan isteri ketiga, Noraini Daud.


KUALA TERENGGANU - "Kami bertiga sepakat membenarkan suami berkahwin lagi malah anak-anak pun setuju bapa mereka kahwin lagi."

Demikian pengakuan tiga isteri yang bermadu ketika ditanya hajat suami mereka, Mohamed Nor Awang, 57, untuk berkahwin kali keempat yang permohonannya didengar di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.

Walaupun mahkamah keberatan meluluskan permohonan pemandu lori itu untuk berkahwin lagi, namun tiga isterinya sanggup 'berjuang' mempertahankan keputusan suami mereka.

Malah isteri pertama, Wan Rukiah Mat Yusof, 52, isteri kedua, Khalthom Dollah, 39, dan isteri ketiga, Noraini Daud, 40, sama-sama hadir di mahkamah bagi menyatakan sokongan mereka.

Wan Rukiah seorang suri rumah sepenuh masa manakala dua madunya, bekerja sebagai penoreh getah.

Ketika perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Sheikh Ahmad Ismail, ketiga-tiganya bersetuju tanpa syarat membenarkan suami mereka berkahwin dengan seorang kerani, Suzi Sulong, 34, dari Jalan Sekolah Kebangsaan Chendering, yang dijadualkan 23 Mei ini.

Sheikh Ahmad beberapa kali bertanyakan isteri-isteri Mohamed Nor tentang kesungguhan mereka merelakan suami berkahwin lagi dan rahsia Mohamed Nor menjaga keharmonian rumah tangganya walaupun sudah mempunyai 18 orang anak berusia empat dan 34 tahun serta empat cucu.

Mohamed Nor membalas, beliau hanya berlaku adil kepada isteri-isterinya yang tinggal berdekatan di Merchang, Marang dan tiada petua khusus yang digunakan.

Sheikh Ahmad kemudiannya berkata, beliau pelik dengan kes itu kerana sepanjang menjadi hakim, itu kali pertama beliau melihat tiga isteri membenarkan suami berkahwin lain malah isteri pula yang kuat menyokong.

Walaupun selepas mendengar hujah lelaki itu dan isteri-isterinya, Sheikh Ahmad berkata, mahkamah masih berat untuk memberi keizinan kepada Mohamed Nor berkahwin seorang lagi dengan alasan beliau hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.

"Saya musykil kenapa bagi suami berkahwin lain, tak sayang suami ke? Kalau ikutkan saya, payah (susah) nak luluskan (permohonan Mohamed Nor) sebab pendapatan beliau hanya RM1,500 sebulan. Macam mana nak sara anak yang ramai?,'' katanya.

Menurut Sheikh Ahmad, berdasarkan syarak, mahkamah tidak boleh beri keizinan kepada Mohamed Nor berkahwin lagi kerana dibimbangi tidak mampu menampung perbelanjaan dan berlaku adil.

Tambahan lagi, katanya, usia Mohamed Nor telah meningkat tetapi mahkamah menggunakan budi bicaranya dengan memberi peluang kepada Mohamed Nor untuk mengemukakan alasan yang lebih kukuh.

Beliau kemudiannya menetapkan Ahad ini untuk keputusan permohonan tersebut dan mengarahkan Mohamed Nor membawa bakal isteri keempatnya itu bersama wali ke mahkamah pada hari tersebut selain bukti-bukti yang menyatakan kemampuannya daripada segi kewangan.

"Kalau bakal isteri tidak bersetuju dengan syarat yang dikemukakan nanti, saya tidak akan benarkan Mohamed Nor untuk berkahwin lagi. Tetapi jangan pula kahwin lari, nanti lebih banyak kesulitan yang akan timbul,'' tegas Sheikh Ahmad.

Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 32