NEGARA
Nikah segera 'tok kadi Indonesia'

KUALA LUMPUR - Jika sebelum ini sindiket nikah ekspres sering dilakukan oleh rakyat tempatan dan di negara jiran, kini muncul sindiket nikah yang diuruskan oleh 'tok kadi Indonesia' pula.
Difahamkan, sindiket tersebut beroperasi di kawasan yang terdapat banyak komuniti warga mereka di sekitar Lembah Klang terutamanya di Petaling Jaya.
Sindiket ini dipercayai sudah menikahkan puluhan pasangan yang melibatkan rakyat tempatan dengan warga Indonesia yang bekerja di negara ini.
Lebih mengejutkan upacara perkahwinan dibuat seolah-olah ia sah di sisi undang-undang apabila jurunikah dan pembantunya meminta setiap pasangan mengisi borang dan dokumen tertentu termasuk pasport dan kad pengenalan.
Bagi setiap upacara pernikahan, setiap pasangan hanya dicaj sekitar RM200 oleh tok kadi berkenaan.
Lokasi yang menjadi tumpuan sindiket nikah itu juga dikesan terutama di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Indonesia bagi mengelak daripada perbuatan mereka dibongkar oleh pihak berkuasa.
Seorang mangsa perbuatan sindiket tersebut dikesan Kosmo! yang cuma ingin dikenali sebagai Rahmat mengaku anak lelakinya sendiri telah bernikah dengan seorang warga Indonesia menggunakan perkhidmatan sindiket yang sama baru-baru ini.
Malah menurut Rahmat, dia 'pening kepala' memikirkan status perkahwinan anaknya setelah diberitahu anaknya terpaksa berbuat demikian kerana bimbang hasratnya mengahwini wanita Indonesia tidak direstui olehnya dan keluarga.
Kini, menurut Rahmat, dia terpaksa menguruskan semula perkahwinan anaknya semula melalui urusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Jelas Rahmat, anaknya memberitahu yang mereka sudah dinikahkan oleh seorang kadi warga Indonesia di sekitar Subang Jaya.
Disebabkan perkara tersebut anaknya kini terpaksa melalui pelbagai proses seperti mengikuti kursus perkahwinan dan mendaftarkan semula permohonan untuk berkahwin supaya pernikahan tersebut sah.
"Kalau ikut cara yang betul mungkin perkara seperti ini tidak berlaku, sekarang semua sudah susah, saya sebagai orang tua tidak mahu mereka terus melakukan kesalahan," katanya.
Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.




Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


