NEGARA
'Kami sudah tidak sanggup'

KUALA TERENGGANU - Tiada wanita yang sanggup hidup dibayangi anjing liar dan babi hutan, serta tinggal dalam rumah yang gelap dan dikelilingi pokok getah.
Itulah yang terpaksa ditempuhi dua bekas isteri Mamat Abdullah, 61, sepanjang tinggal di rumahnya di Kampung Banggol Nyamuk, Sungai Ikan, Kuala Nerus yang tiada bekalan elektrik.
Isteri pertama, Temah Yusof, 56, berkata, dia sering kali bimbang apabila malam menjelma kerana kawasan rumah akan menjadi sunyi dan hanya bunyi-bunyian di dalam hutan yang kedengaran.
"Pernah beberapa kali saya terserempak dengan kumpulan babi hutan di bawah rumah menyebabkan saya takut untuk turun ke tandas di luar rumah pada waktu malam.
"Suasana amat menakutkan apatah lagi semuanya gelap kerana tak ada lampu macam di rumah orang lain. Saya tidak sanggup lagi tinggal di situ," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Binjai, semalam.
Kosmo! semalam melaporkan dua isteri Mamat meminta cerai gara-gara mereka tidak sanggup tinggal di rumah yang tiada bekalan elektrik sejak empat tahun lalu.
Kemudahan itu tidak dapat disalurkan kerana rumah mereka yang satu-satunya terletak di kawasan tersebut serta jauh dari kediaman orang lain.
Menurut Temah, keadaan semakin sukar untuk anak tunggal mereka yang semakin membesar, Mohd. Ikmal Iskandar Mamat, 13, untuk menelaah pelajaran dengan hanya bercahayakan lilin.
Kata Temah, perkahwinan yang dibina selama 12 tahun terpaksa berakhir pada penghujung 2007 apabila masalah itu menjadi semakin rumit buat mereka.
Bagi isteri kedua, Kiah Jusoh, 53, pula, dia menangis ketakutan apabila ditinggalkan Mamat walaupun seketika pada waktu malam.
"Pada waktu itu, kami baru tiga hari berkahwin dan segala macam bunyi yang kedengaran memang menakutkan," katanya.
Jelasnya, biasanya beliau menumpang di rumah jiran atau balik ke rumahnya di Kampung Bukit Nangka, Tepoh dekat sini.
"Saya juga tidak pernah pergi ke tandas pada waktu malam dan terpaksa membuang air melalui sebuah lubang khas yang dibuat di lantai rumah," katanya.
Tetapi, katanya, perkahwinan mereka menemui jalan buntu penghujung tahun lalu iaitu selepas sembilan bulan berkahwin akibat pelbagai masalah lain termasuk ketiadaan elektrik.

Dalam pada itu, pengalaman serupa turut dilalui isteri Mamat ketika ini, Midah Hitam, 60, yang hanya mampu bertahan tinggal di rumah tersebut selama dua malam.
"Kalau awak sendiri macam mana, sanggup ke tinggal di rumah itu?," katanya menyoal kembali wartawan Kosmo!
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.




Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


