NEGARA

‘Tiada siapa datang minta maaf’

‘Tiada siapa datang minta maaf’


FAZILAH bersama anak-anaknya di hadapan rumah sewa mereka di Kampung Belakang Kilang Ais, Kuala Perlis semalam.


KANGAR – Sudahlah suaminya maut dibelasah atas dakwaan suspek satu kes skodeng dan cubaan cabul, balu mangsa dan lima anaknya yang kini hidup mereka terumbang-ambing masih ternanti-nanti jika ada orang kampung yang datang berkongsi sedih atau sekurang-kurangnya meminta maaf.

Fazilah Muhammad, 34, menganggap nasib mereka cukup malang kerana bukan sahaja hilang ketua keluarga dan sumber pencarian tetapi juga kian tersisih.

“Saya tak ada kerja, macamana nak sara lima orang anak berusia dua bulan hingga 17 tahun?

“Rumah yang kami duduk ni pun kena bayar sewa RM80 sebulan katanya,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau mengharapkan pembelaan dan mahu polis menyiasat seadil-adilnya kejadian suaminya, Hatib Leman, 35, diserang hingga mati itu selepas orang kampung marah dengan satu kejadian mengintai serta cubaan mencabul seorang kanak-kanak 12 tahun di Kampung Belakang Kilang Ais, Kuala Perlis, Sabtu lalu.

Ketika serangan itu, Fazilah dilaporkan berkata, gadis sunti itu cuba memberitahu bahawa mereka telah memukul orang yang salah tetapi dia tidak dipedulikan.

Menurut Fazilah, sebelum ini Hatib bekerja kontrak dengan gaji RM500 sebulan.

Sementara itu, jiran mangsa, Bahariza Buyung mendakwa Allahyarham seorang yang baik dan mesra dengan penduduk setempat.

“Saya amat bersimpati dengan nasib arwah dan penduduk kampung pula tidak sepatutnya bertindak melulu,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Yusof Mohd. Diah berkata, tujuh lelaki yang ditahan selepas kejadian itu kini direman seminggu.

Menurut beliau, perintah tahanan reman itu diperoleh dari Majistret Kangar, petang kelmarin.

Mereka yang ditahan berusia antara 30 dan 40 tahun dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri

ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15