AKADEMI

Rasuah cemar bola sepak

Rasuah cemar bola sepak

Adakah pemain tidak mendapat imbuhan yang setimpal? Adakah pemain tiada lagi semangat untuk meneruskan aksi mereka di kancah bola sepak, sukan yang menjadi kegemaran utama rakyat negara ini.


BEKAS pemain bola sepak Sarawak mengelak wajahnya dirakam jurugambar. Beliau ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengatur keputusan perlawanan Liga Super.



RASUAH telah wujud sejak berabad yang lalu dalam bidang sukan. Ia memerlukan dua pihak yang korup, pemberi sogokan (penyogok) dan penerima sogokan.

Kini, gejala itu menular ke dalam kancah bola sepak negara kita setelah sekian lama berita ini menyepi. Ia ibarat kembalinya virus pembunuh yang tidak mungkin dapat dihapuskan sepenuhnya.

Jika dahulu orang ramai ke stadium dengan semangat yang berkobar-kobar dengan pelbagai tawaran menarik disediakan untuk merancakkan liga bola sepak. Peminat berlumba-lumba membeli jersi dan cenderamata pasukan pujaan mereka. Industri berkembang dengan begitu teratur. Sedikit demi sedikit kita melahirkan pemain tempatan yang boleh dibanggakan.

Namun satu malapetaka telah berlaku, rasuah terjadi. Maka semua orang terkejut. Dalam kata lain, perkembangan dan pembangunan sukan bola sepak negara telah dihantui dan dibutakan oleh kemewahan wang ringgit dan kepentingan diri sendiri.

Sukan bola sepak negara gempar dengan isu rasuah pada tahun 1994 di mana seramai 126 pemain dan jurulatih dipanggil untuk membantu siasatan. Akibatnya sebanyak 58 daripada mereka dikenakan hukuman gantung selama satu hingga empat tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Seramai 21 pemain dan jurulatih diberhentikan manakala beberapa pemain dibuang daerah dan seumur hidup tidak dibenarkan menyertai pertandingan bola sepak kelolaan FAM.

Kesannya, Malaysia kehilangan pemain handalan yang ramai. Kelompok pemain yang didakwa pada tahun itu adalah antara yang terbaik pernah dilahirkan oleh negara.

Kini, pasukan Malaysia semakin tidak kompetitif ditambah dengan keadaan yang tenat berikutan prestasi yang semakin merudum. Sekadar di tangga 156 dan berkongsi kedudukan dengan Myanmar dan Grenada, itulah pencapaian pasukan bola sepak negara kini.

Soalnya, adakah pemain tidak mendapat imbuhan yang setimpal? Adakah pemain tiada lagi semangat untuk meneruskan aksi mereka di kancah bola sepak, sukan yang menjadi kegemaran utama rakyat negara ini.

Kewujudan kegiatan rasuah berpunca daripada beberapa sebab seperti ketamakan, kelemahan pengurusan dalaman, penyalahgunaan kuasa dan kewujudan peluang.

Pemain yang tamak sering kali menjadi punca permasalahan ini tetapi mungkin juga pemain terlibat tersepit. Mereka bermain separuh mati tetapi tidak diberi gaji yang dijanjikan. Jadi, mereka sanggup menerima sogokan sehingga RM20,000.

Di samping itu, kelemahan mekanisme kawalan di peringkat dalaman menjadi punca gejala rasuah ini berlaku. Persatuan gagal menguruskan kebajikan pemainnya dengan dibayar gaji tidak konsisten sehingga menyukarkan kehidupan mereka.

Selain itu, penyalahgunaan kuasa juga menjadi antara punca rasuah kerana pihak pengurusan pasukan bola sepak boleh membuat percaturan dari segi teknik dan taktik permainan untuk memberikan kelebihan kepada pasukan lawan.

Diakui rasuah memang sentiasa berlaku dalam bidang ini sama ada ringan atau berat, terancang atau tidak, bookie yang menjadi dalangnya.

Mereka mencari peluang di mana ada kesempatan untuk memberi, menerima, menawar dan menuntut sesuatu terutamanya wang berdasarkan kuasa dan kedudukan masing-masing. Sama ada liga bola sepak itu popular atau tidak. Asalkan ada peluang, mereka akan meneruskan kegiatan.

Rasuah menyebabkan usaha kerajaan memperuntukkan berjuta-juta ringgit ke arah kecemerlangan sukan di negara ini gagal mencapai matlamat. Sia-sia segala usaha bertahun-tahun FAM untuk membangunkan sukan ini dari peringkat akar umbi.

Gejala rasuah dan skandal mengatur perlawanan secara tidak langsung menyebabkan peminat bola sepak tempatan hilang keyakinan dan enggan datang untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Malaysia.

Selain itu, kualiti bola sepak di Malaysia macam itu juga, seperti hilang sengat. Kita tidak akan terasa kehilangan pemain-pemain yang bagus jika mereka dihukum. Ini kerana pemain itu bukanlah sesiapa.

Dari sudut ekonomi, ia sudah tentu akan menjejaskan pendapatan persatuan bola sepak negeri tanpa kehadiran peminat ke stadium.

Kita melihat sudah menjadi satu lumrah bagi kebanyakan orang sekarang. Mereka tidak lagi berkata mengenai halal dan haram. Mereka terus lakukan sahaja, asalkan perut terisi dan kehidupan terjamin.

Apa yang menyedihkan lagi cadangan membenarkan pertaruhan membenarkan pertaruhan bola sepak mengikut undang-undang demi mencegah gejala mengatur keputusan perlawanan seperti di negara United Kingdom dan Singapura.

Jika situasi 'menghalalkan' pertaruhan bola sepak menular di negara kita, pasti ia akan mencalarkan imej yang tidak sejajar dengan pendirian kerajaan apatah lagi Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati di seluruh dunia.

FAM perlu meneliti semua yang disusun menepati keperluan sebenar. Jika diteliti, tidak boleh dinafikan bahawa Malaysia mempunyai ramai individu yang terlibat dengan judi dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

Kementerian Belia dan Sukan harus memandang serius gejala rasuah dalam sukan bola sepak dan mengambil langkah proaktif memantau gejala tidak bermoral ini dengan telus dan adil mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575).

Rasuah membunuh semangat patriotik dan kesukanan. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu bagi membanteras jenayah rasuah di negara ini sekali gus meningkatkan integriti sebagai budaya dan nilai murni dalam kehidupan kita.

Kepada para pemain, kegiatan rasuah boleh dielakkan. Dalam masa yang sama, hargailah sokongan peminat yang berkunjung ke stadium tanpa menghiraukan kesesakan, hujan dan panas demi memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.

Yang pasti, peminat masih lagi setia menunggu kelibat pemain hebat seperti Mokhtar Dahari, Abdul Ghani Minhat, Santokh Sigh, Hassan Sani, R. Arumugam dan Soh Chin Aun.

Rencana Utama!»

Tingkatkan pendapatan penternak

PROGRAM Pembangunan Tenusu di Vietnam bertujuan untuk mengoptimumkan keuntungan.

Pemotoran!»

HLYM kukuhkan saingan motosikal kuasa tinggi

CH Ng (tengah) bersama dua pelumba pasukan Yamaha MotoGP turut menyertai majlis pelancaran model MT-07 di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Horizon!»

Percutian santai di bumi Perlis

PARA pengunjung boleh merasai pengalaman memberi makanan kepada burung unta di Taman Agro-Lancong.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15