STAILO

Rekaan eksklusif Adnan

Rekaan eksklusif Adnan

Lelaki ini pernah diberi gelaran Raja Denim kerana keunikan hasil rekaannya. Kini Adnan Hassan meluaskan lagi imaginasinya menghasilkan gaun-gaun ratu sehari.




RAJA Denim Malaysia. Itulah gelaran yang dianugerahkan oleh industri fesyen tanah air dan antarabangsa kepada pereka fesyen tempatan, Adnan Hassan.

Pengiktirafan ini sebagai mengangkat usaha beliau yang melonjakkan populariti industri fesyen tempatan selaras dengan hasil rekaannya. Beliau berjaya menonjolkan gabungan denim dan irama fesyen tempatan.

Pereka yang berusia awal 30-an ini menampilkan sifat unik dalam rekaannya dengan konsep tersendiri.

Menyedari permintaan perkahwinan yang semakin meningkat, jejaka kelahiran Kluang, Johor ini terus menghasilkan rekaan eksklusifnya yang penuh dengan perincian-perincian mewah untuk si ratu sehari.


DARIPADA dres denim, Adnan kini beralih angin menghasilkan gaun-gaun pengantin yang moden dan eksklusif.


"Sebelum ini, koleksi yang ditampilkan oleh saya mempunyai unsur-unsur denim. Keghairahan menghasilkan koleksi denim semata-mata untuk mengukir identiti tersendiri dalam dunia fesyen yang sentiasa mengalami pelbagai transformasi."

Itulah luahan Adnan Hassan mengimbas pengalaman dan pencapaiannya selama sedekad.

Sejak beberapa tahun lalu, penampilan dan penglibatan Adnan dalam industri fesyen ini kurang menyerlah. Namun, ini tidak bermakna beliau memencilkan diri.

Sebenarnya segala tumpuan dan perhatiannya kini lebih berfokus dalam bidang pendidikan dan perniagaan apabila beliau lebih berminat untuk mencurahkan segala ilmu dan pengalaman yang dimiliki untuk dikongsi bersama generasi muda.

"Sejak tahun 2007, saya mula berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Universiti Lim Kok Wing. Kini, tiga semester telah berlalu dan saya berasa cukup gembira dan teruja dapat berkongsi pengalaman.

"Tempoh pengajaran selama dua hingga tiga hari seminggu secara tidak langsung memberi ruang dan peluang kepada saya untuk meneruskan perniagaan menghasilkan rekaan eksklusif untuk perkahwinan dan mendapatkan tempahan daripada orang ramai," kata Adnan ketika ditemui di kediamannya di Bandar Seri Permaisuri, Cheras, baru-baru ini.


DENIM menjadi identiti Adnan sejak sekian lama.


Jejaka tinggi lampai dan berambut panjang ini, mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan apabila beliau diberi kepercayaan oleh sebuah majalah perkahwinan terkenal tempatan dalam ruangan soal jawab pengantin bagi menyelesaikan masalah bakal ratu sehari untuk mendapatkan rekaan yang sesuai.

Ruangan tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan. Impiannya meneruskan perniagaan rekaan perkahwinan turut mendapat perhatian media elektronik tempatan apabila beliau sering menjadi tetamu undangan dalam program-program televisyen khususnya yang berkaitan dengan fesyen pengantin.

Graduan Sarjana Muda Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini memberitahu, rekaan baju pengantin pula lebih kepada konsep pengantin moden. Ini jelas kelihatan menerusi potongannya yang ringkas dan kemas. Namun, kadangkala sesuatu rekaan bergantung kepada si pengantin. Jika mereka menginginkan rekaan yang bersifat ekstravaganza dan unik maka rekaan akan dibuat mengikut cita rasa mereka.


RONA warna putih dan merah jambu disatukan menghasilkan busana pengantin yang anggun dan ekstravaganza.


"Alang-alang membuat pakaian perkahwinan, saya juga turut menawarkan perkhidmatan lengkap sebagai perancang majlis perkahwinan apabila semua kelengkapan dan keperluan persiapan mempelai ditawarkan di bawah satu bumbung.

"Bukan itu sahaja, saya dan rakan-rakan lain sentiasa menerima tempahan untuk perkhidmatan merancang majlis-majlis lain seumpama majlis hari jadi, pelancaran produk dan perkhidmatan serta lain-lain lagi," ujar jejaka yang pernah meraih dua anugerah fesyen iaitu The Sixth Brother Cup China Young Fashion Designer Contest di Beijing China pada tahun 1998 dan Juara Anugerah Benang Emas pada tahun 2002 anjuran majalah Jelita.

Beliau juga cuba sedaya upaya merealisasikan impian para pelanggannya kerana kepuasan pelanggan adalah segala-galanya. Komitmen dan perkhidmatan yang berkualiti menjadikan perniagaannya terus maju.

Pereka yang banyak mencipta rekaan yang cukup hebat untuk artis tempatan seperti Nasha Aziz dan Mawi ini berkongsi pengalaman dan pengetahuannya dalam dunia rekaan fesyen menerusi penganjuran kelas intensif, kursus, seminar dan bengkel.

"Aktiviti-aktiviti seumpama ini dianjurkan bagi mereka yang meminati bidang ini sama ada sekadar hobi baik menambah ilmu mahupun untuk memulakan perniagaan.

"Satu bengkel intensif jahitan manik secara kreatif bagi peringkat asas dan lanjutan baru sahaja dimulakan atas permintaan orang ramai dan para pelanggan," jelasnya sambil menunjukkan bilik khas yang diadakan bengkel tersebut di kediamannya.

Tambahnya, bengkel yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang mendapat sambutan.

Namun, pelajarnya bukan sahaja datang dari sekitar Kuala Lumpur. Ada juga beberapa pengusaha wanita dari Kelantan dan Terengganu mahu mempelajari rahsia dan teknik-teknik menghasilkan sulaman manik yang menarik.


RANGGI dengan fesyen denim.


Apakah perancangan Adnan dalam tempoh sedekad akan datang? Beliau bercadang memperkembangkan perniagaannya dan ingin memiliki lebih banyak butik yang memperagakan rekaan eksklusif di seluruh negara.

"Saya juga ingin menubuhkan sebuah kolej yang menawarkan pengajian fesyen kreatif khas buat generasi muda yang ingin menceburi industri fesyen yang menjanjikan populariti dan kemewahan," ujar Adnan.

Rencana Utama!»

Persiapan warga emas hadapi banjir

PAK LEH yang tinggal di Kampung Pasar Lama, Pasir Tumboh, Kampung Pasar Lama, Kota Bharu, Kelantan menunjukkan jarak sungai dengan rumahnya yang terlalu hampir.

Varia!»

Mengimbau kenangan lampau Malaysia

SAMSUDIN (kiri) memberi penerangan kepada tetamu pada majlis pelancaran Paint&Ink: Just Add Water di Muzium dan Galeri Seni BNM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15