RENCANA UTAMA

Digemari orang kenamaan

Digemari orang kenamaan

Mengapakah pancake durian Chng Lee Lee popular dalam kalangan orang-orang kenamaan biarpun tanpa pengalaman chef profesional? Wartawan YEO LI SHIAN mencungkil rahsia wanita itu.




SEPANJANG 15 tahun bergelar pramugari, Chng Lee Lee bertuah kerana berpeluang merasai pelbagai jenis pencuci mulut dari seluruh pelosok dunia.

Daripada lambakan pilihan pencuci mulut yang pernah dirasainya, dia bagaimanapun tertarik dengan keenakan 'pancake' durian yang tidak dapat dilupakan selepas satu kunjungan ke Singapura beberapa tahun lalu. Malah, peluang kedua merasai pencuci mulut ini berterusan apabila sekali lagi juadah ini ditawarkan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Sukar untuk melupakan keenakan juadah ini, hati Lee Lee terdetik untuk cuba menghasilkannya sendiri. Di rumah, cubaan demi cubaan berakhir dengan kegagalan.

Hanya selepas hampir tiga bulan, pancake durian yang diimpi-impikan akhirnya terhasil. Itu pun tidak sempurna sepenuhnya. Apa yang bermula sebagai minat terhadap pencuci mulut semata-mata, tidak disangka menjana pendapatannya hari ini.


LEE LEE gembira pancake duriannya digemari ramai.


Kini, setiap kali menjelangnya hujung minggu, gerai kecilnya di medan selera Asian Melting Pot di The Gardens, Mid Valley pasti mencuri tumpuan. Bagi penggemar pencuci mulut, ia destinasi yang perlu disinggahi.

Barisan panjang pelanggan di gerai bernama Sumptuous Dessert itu menjadi saksi populariti pancake durian Lee Lee. Pancake berbentuk bantal itu boleh mencecah jualan melebihi 1,500 ketul sehari pada hari minggu manakala sekitar 600 ketul pada hari-hari biasa.

Perniagaan yang pada awalnya bertapak di ruang legar Jusco, Metro Prima, Kepong mendapat sambutan baik. Namun, penamatan perniagaan berusia lapan bulan tersebut akibat masalah yang tidak dapat dielakkan, telah mengalihkan fokus produknya ke The Gardens sejak beberapa bulan lalu.

Pancake durian yang pada mulanya dibuat untuk santapan diri dan rakan-rakan kini turut menjadi sebutan orang-orang kenamaan.


DURIAN begitu sinonim dengan cita rasa rakyat Malaysia.


Lee Lee mengakui tidak banyak memberi perhatian terhadap publisiti pancake duriannya. Sungguhpun begitu, senarai pelanggan tetap berstatus VIP mahupun datin termasuk isteri seorang menteri kabinet panjang berjela. Semuanya mengetahui pancake tersebut menerusi promosi mulut ke mulut melalui kenalan rapat.

Selain menjual di gerai, Lee Lee turut menerima tempahan untuk majlis-majlis khas sama ada daripada individu mahupun syarikat-syarikat korporat seperti Louis Vuitton dan The Body Shop.

Tempahan terbanyak yang pernah diterima daripada seseorang individu adalah sebanyak 500 ketul pancake durian.

Keenakan pancake berbentuk bantal dan sarat dengan krim segar serta isi durian yang empuk itu pasti terkesan dalam minda sesiapa yang pernah merasainya.


PANCAKE durian ini dihasilkan dengan kerja tangan yang teliti.


Kepada soalan mengapa durian menjadi subjek pilihannya, Lee Lee ketika ditemui Kosmo! menjawab: "Durian adalah raja buah yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Secara kebetulan, ramai penduduk Malaysia menggemari durian. Jadi, pancake durian membolehkan penggemar-penggemar ini menikmati raja buah pada bila-bila masa sepanjang tahun. Tambahan pula, saya ingin ramai menikmati juadah ini pada harga mampu dengan kualiti yang baik."

Bercerita lanjut, Lee Lee mengakui beliau begitu selektif dari segi penggunaan durian untuk produknya. Hanya durian berkualiti seperti durian gred D24, 101 dan durian klon digunakan.

"Tidak seperti durian Thailand atau durian kampung, durian-durian berkualiti ini lebih manis, solid dan tidak berair isinya apabila digabungkan dengan krim. Kadangkala bila terdapat permintaan atau tempahan khas untuk menggunakan durian berkualiti tertentu, saya juga tidak menolaknya," ujarnya jujur.


KETELITIAN dan kebersihan amat dititikberatkan dalam penyediaan pancake ini.


Bagi perniagaan yang bergantung kepada buah durian sepertinya, bekalan durian yang berterusan sepanjang tahun sememangnya penting. Oleh sebab itu, Lee Lee mempunyai beberapa pembekal tetap di Pahang dan Johor termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Malaysia (Fama).

"Pelanggan tidak perlu bimbang mengenai kualiti isi durian tidak sesegar durian baru. Bekalan yang saya peroleh dari Fama misalnya menggunakan mesin 'blast freeze' untuk membeku dan mengekalkan kualiti durian pada kadar optimum. Justeru, tiada timbul soal durian basi," jelasnya.

Tambah Lee Lee lagi, bagi mengekalkan kualiti produk yang dihasilkan, bekalan durian akan dirasa terlebih dahulu setiap hari sebelum dibalut dalam pancake. Ibu kepada dua orang cahaya mata ini memberitahu, deria rasa yang terlatih selain minat, amat penting untuk mengesan sebarang perubahan pada kualiti sesuatu bahan atau produk.


GERAI Sumptuous Dessert ini terletak di The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur.


"Saya tidak mencampurkan sebarang bahan pengawet dalam pancake ini. Malah, bekalan durian yang diperoleh akan dicuba dan sekiranya dikesan tidak baik, kami akan pulangkan stok," katanya yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Oleh kerana tiada bahan pengawet digunakan, pancake sebesar jari telunjuk dengan berat di antara 32 hingga 34 gram ini sebaik-baiknya dihabiskan dalam masa tiga jam selepas dibeli. Ini untuk mengekalkan kelazatan pancake yang dihidangkan. Setiap satu pek yang mengandungi enam ketul pancake dijual pada harga RM10.

"Jika disimpan dalam peti sejuk sebaik dibeli, pancake boleh tahan selama dua hari," pesannya sambil memberitahu produknya sesuai dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.




Yang penting, golongan wanita yang sedang berdiet juga tidak perlu risau tentang soal kalori atau kegemukan kerana saiz pancake yang kecil dan kurang daripada sesudu durian digunakan.

Selain durian, pancake berintikan mangga dan cempedak madu (bergantung kepada musim) turut ditawarkan. Bagi yang tidak menggemari durian, gerai Sumptuous Dessert juga menawarkan variasi tart buah-buahan, jeli konyaku, mochi strawberi, puding mangga dan Tiramisu.

Rencana Utama!»

Tingkatkan pendapatan penternak

PROGRAM Pembangunan Tenusu di Vietnam bertujuan untuk mengoptimumkan keuntungan.

Pemotoran!»

HLYM kukuhkan saingan motosikal kuasa tinggi

CH Ng (tengah) bersama dua pelumba pasukan Yamaha MotoGP turut menyertai majlis pelancaran model MT-07 di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Horizon!»

Percutian santai di bumi Perlis

PARA pengunjung boleh merasai pengalaman memberi makanan kepada burung unta di Taman Agro-Lancong.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 32