VARIA

Roselle putih cegah obesiti

Roselle putih cegah obesiti

Walaupun sebelum ini, terdapat beberapa masalah berkaitan dengan tanaman roselle, namun penemuan ini memberi sinar baru untuk roselle kembali hangat di pasaran.


ROSELLE putih terhasil apabila benih Roselle merah ungu disatukan di bawah sinaran gama ray.


PADA awalnya, kajian mengenai Kestabilan Genetik Lili dan Roselle Dengan Sistem Fertigasi adalah untuk menghasilkan beberapa jenis Roselle yang baru, unggul, bermutu dan mampu memberi hasil lumayan kepada petani.

Namun bukan itu sahaja yang terhasil, malah penyelidikan itu turut menemui sesuatu di luar jangkaan apabila sejenis asid organik semula jadi dikenali sebagai Hydroxy Citric Acid (HCA) didapati membantu mengurangkan berat badan.

"HCA diperoleh menerusi satu daripada mutant Roselle berwarna putih setelah benih Roselle dilalukan pada sinaran gama ray."

"Sinaran tersebut mengganggu gen warna dan bentuk fizikal Roselle serta fungsinya sekali sebelum terhasilnya Roselle berwarna putih," kata Profesor Madya Dr Ahmed Mahir Mokhtar Bakri, Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurut beliau, jenis Roselle putih ini kaya dengan HCA yang hampir sama dengan asid sitrik dalam buah limau gedang dan oren.

HCA didapati secara semula jadi daripada pokok Garcinia Cambogia atau dikenali sebagai Asam Jawa Malabar iaitu bahan paling popular dalam masakan India.


ROSELLE tempatan berwarna merah ungu.


Secara umum, HCA dapat membantu mengurangkan berat badan menerusi dua cara asas.

Pertama, HCA membantu menghalang penghasilan lemak dengan mencegah makanan bergula dan karbohidrat bertukar menjadi lemak.

Kedua, penemuan terkini menunjukkan bahawa dengan meningkatkan paras bahan kimia tertentu di dalam otak seperti serotonin (pengawal selera yang utama), HCA berupaya membendung selera makan.

"Benih Roselle putih itu kemungkinan dikomersialkan pada hujung tahun ini apabila semua proses berkaitan seperti urusan perolehan hak harta intelektual disempurnakan, manakala dalam bentuk pil untuk kesihatan masih dalam proses," katanya.

Roselle atau nama saintifiknya Hibscus sabdariffa adalah sejenis tanaman tropika dan eksotik yang berpotensi tinggi dalam menghasilkan makanan dan minuman berkhasiat setanding dengan produk buah-buahan tempatan yang lain.

"Roselle juga berpotensi sebagai makanan kesihatan, ubatan dan kosmetik," katanya.

Berbanding dengan pokok Asam Jawa Malabar, yang hanya boleh hidup di India, tanaman Roselle sesuai ditanam malah lebih mudah diselenggarakan semasa cuaca panas. Namun keadaan yang lembap terutamanya musim hujan boleh menjejaskan hasil tanaman.


AHMED MAHIR MOKHTAR BAKRI menunjukkan pingat emas yang diraihnya pada tahun lalu.


"Kajian menunjukkan tanaman Roselle boleh hidup subur di kawasan tanah pasir atau disebut tanah buis yang banyak terdapat di Pantai Timur. Ia sejenis tanaman semusim yang mampu hidup selama lima bulan," katanya.

Penyelidikan beliau mendapat pengiktirafan antarabangsa dan berjaya memenangi pingat emas (roselle HS03100-29-7-1-6-3-1: Suatu titisan mutan berpotensi dengan kandungan HCA tinggi) dan perak (HCA Dari Roselle: Suatu agen anti-obesiti berpotensi) semasa Pameran Reka Cipta Britain di London pada tahun lalu.

Ahmed Mahir, seorang penyelidik dalam bidang Genetik dan Biakbaka Tumbuhan (Genetic and Plant Breeding), juga mengorak langkah untuk melakar sejarah baru dengan penciptaan kit yang mampu mengesan status halal haram sesuatu produk makanan.

"Kit itu nanti akan berfungsi sebagai alat mengesan sama ada sesuatu produk makanan itu mempunyai bahan campuran babi. Sementara itu, untuk menentukan daging lembu atau ayam disembelih atau pun tidak, satu ukuran kuantiti darah pada daging tersebut akan dilakukan," katanya.

"Kedengaran macam mustahil tetapi tiada yang mustahil di muka bumi ini. Ini semua boleh ditentukan melalui DNA haiwan tersebut dan diadun dengan kepakaran yang kita miliki untuk menghasilkan alat yang boleh menyelamatkan darah daging umat Islam," katanya lagi.

Ahmed Mahir mengingatkan agar isu halal haram tidak diambil ringan kerana apa yang dimakan akan menjadi darah daging.

"Kertas cadangan sudah siap dan kini dalam menguruskan proses untuk mendapatkan kelulusan perolehan dana bagi membiayai kos penyelidikan ini," katanya.- Bernama

Process time in ms: 47