RENCANA UTAMA

Stail resort di hentian R&R

Stail resort di hentian R&R

Reka bentuk dan konsep terkini Hentian Rawat dan Rehat memberi kesan efektif kepada pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan. Wartawan, NOOR HASLIZA NUSI menerokai kemodenannya.




SUATU ketika dahulu, hentian Rawat dan Rehat (R&R) hanya dianggap sebagai tempat persinggahan pengguna lebuh raya untuk berehat atau ke tandas atau melelapkan mata seketika kerana mengantuk sebelum meneruskan perjalanan. Tetapi hari ini, peranan R&R lebih daripada apa yang dinyatakan itu.

Kini, kunjungan orang ramai ke R&R bukan sahaja untuk mengurangkan keletihan kerana jauh memandu, bahkan mereka juga boleh membeli-belah dan beriadah sambil menikmati panorama indah yang terdapat di sekelilingnya.

Nyata, dengan perubahan yang dilakukan di sepanjang perhentian Lebuh Raya Utara-Selatan itu kini, ia menjanjikan seribu satu pengalaman dan kenangan paling menakjubkan buat para penggunanya.

Dulu dan kini

Bercerita mengenai perbezaan hentian R&R dulu dan kini, Kosmo! baru-baru ini berpeluang mengunjungi hentian R&R Seremban Arah Selatan dan Utara.


HENTIAN R&R kini mampu menyediakan fasiliti bertaraf antarabangsa.


Bagaikan berada dalam suasana sebuah resort. Itulah ayat pertama yang terlintas di minda. Hampir keseluruhan reka bentuk dalaman dan luarannya telah diberi sentuhan dan modifikasi terkini dan lebih eksklusif.

Berbanding dahulu, ia hanya menyediakan tandas, beberapa gerai buah-buahan dan makanan ringan serta surau.

Justeru, apabila melihat reka bentuk, idea dan konsep pelaksanaannya, mungkin ramai yang ingin mengetahui apakah falsafah di sebalik pengubahsuaiannya yang terkini.

Ketua Pegawai Operasi Lebuh Raya Plus Berhad, Nik Airina Nik Jaffar berkata, ilham membangunkan projek menaiktaraf 18 buah hentian R&R yang terdapat di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan adalah hasil kerjasama sekumpulan kakitangan profesional.

Katanya, bermula daripada perancangan, lakaran di atas kertas, melakukan kajian atau tinjauan, merancang strategik, mereka bentuk pelan pembangunan sehinggalah ke proses terakhir penyelenggaraan, semuanya melibatkan tenaga kerja yang ramai.

"Setakat tahun ini, sebanyak lapan buah R&R telah berjaya dinaik taraf. Ini berikutan faktor populasi pengunjung di setiap lokasi hentian R&R yang dianggarkan melebihi 20,000 pengguna sekali gus menjadikan hentian ini sebagai destinasi persinggahan utama menjelang hujung minggu.

"Kami begitu mengutamakan hak pengguna dengan memfokuskan segala bentuk pendekatan dan pengubahsuaian rekaan seni bina dalaman dan luaran berdasarkan kehendak dan cita rasa yang diinginkan.


NIK AIRINA NIK JAFFAR


"Dengan kemudahan moden yang disediakan, para pengguna akan berasa lebih selesa dan menjadikannya sebagai tempat paling kondusif serta selamat untuk beristirehat sambil menikmati keindahan panorama yang terdapat di sekeliling hentian R&R ini," jelasnya.

Antara hentian R&R yang telah dinaik taraf ialah hentian Gurun Arah Selatan, hentian Bukit Gantang Arah Utara dan Selatan, Taiping, Perak, hentianTapah Arah Selatan, Ipoh, hentian Ulu Bernam Arah Selatan, hentian Seremban Arah Utara dan Selatan, hentian Pagoh Arah Selatan dan Machap Arah Selatan, Johor serta hentian Sungai Perak Arah Utara, Perak.

Objektif naik taraf hentian R&R

Mempunyai matlamat pengubahsuaian yang tersendiri, Nik Airina memberitahu, objektif utama projek naik taraf di semua hentian R&R ialah untuk menyediakan fasiliti bertaraf antarabangsa dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Usaha menjadikan hentian R&R sebagai salah sebuah hentian destinasi yang mempunyai karakter paling unik adalah untuk menggalakkan pelanggan berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan. Secara tidak langsung, kita dapat meningkatkan sektor pelancongan negara.


TEMA dan reka bentuk terkini hentian R&R diselaraskan mengikut kehendak dan cita rasa pengguna.


"Kemudahan yang diketengahkan bukan sahaja tertumpu kepada industri pelancongan tempatan, malah ia juga mempunyai peranan untuk menarik perhatian pelancong asing agar menggunakan lebuh raya sebagai laluan terpantas.

"Di samping itu, mereka juga berpeluang menerokai keunikan seni warisan dan budaya tempatan serta berkesempatan merasai kelazatan sajian popular masyarakat di Malaysia," katanya.

Memperkenalkan konsep hentian R&R bertema

Apabila ditanya mengenai reka bentuk binaan di Perkampungan Buah-buahan Tropika di hentian R&R Bukit Gantang, Taiping, Perak, Nik Airina menjelaskan, pihaknya turut memperkenalkan konsep hentian R&R yang mempunyai tema tersendiri.




Katanya, ia bertujuan untuk mengenengahkan keunikan yang terdapat di setiap kawasan hentian R&R tersebut.

Justeru, jelasnya, reka bentuk keseluruhan hentian R&R turut diselaraskan mengikut ciri-ciri tempatan dan faktor persekitaran.

Antaranya ialah tanaman asal yang dikerjakan penduduk kawasan sekitar, faktor sejarah negeri terlibat serta bertujuan memperkenalkan industri tempatan.

Konsep dan reka bentuk binaan Tandas

Faktor asas reka bentuk terkini adalah berdasarkan konsep bangunan terbuka (Open Concept), selain menitikberatkan keperluan dan maklum balas daripada pelanggan.

Pemilihan konsep tersebut bertujuan bagi membangkitkan suasana ceria dalam kalangan pengguna lebuh raya agar dapat menghilangkan stres kala menikmati udara segar di luar.

Justeru, ujarnya, melihat pada bentuk asas seni bina dalaman dan luaran tandas, pihaknya juga cuba mengenengahkan pelbagai reka bentuk dan kemudahan yang sesuai dengan kehendak pelanggan.

"Ruang tandas yang lebih besar, penyelarasan ruang berdasarkan zon basah (kubikal) dan kering, reka bentuk dalam tandas berkonsepkan Mirror Images yang mudah untuk penyelenggaraan serta penambahan dua pintu masuk ke tandas adalah antara pengubahsuaian yang telah dilakukan.

"Ini akan membolehkan sebahagian tandas ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan manakala sebahagian lagi masih boleh diguna pakai oleh pengguna.

"Konsep pengudaraan dan pencahayaan semula jadi yang terdapat di sudut luar tandas turut dititikberatkan. Antaranya ialah penyediaan skylight atau proses untuk pengeringan semula jadi, taman dalaman, dinding luar yang jauh dari rangka bangunan dan bukaan udara di aras lantai," ujarnya.

Di samping itu, bagi memenuhi kepuasan pengunjung, penggunaan peralatan moden seperti paip besi dan tembaga yang berkualiti serta kemudahan penyelenggaraan yang sistematik turut diketengahkan.

Surau


PENGGUNAAN konsep lantai kayu dan jubin, antara perubahan yang dilakukan di surau.


Bagi reka bentuk bangunan surau pula, pembinaannya adalah mengikut arah kiblat dan kedudukannya tidak menghala ke bangunan tandas serta dinding luar jauh dari rangka bangunan. Selain itu, ruang solat menggunakan lantai kayu dan zon basah dan tempat mengambil wuduk pula menggunakan jubin permukaan kasar.

Manakala pembahagian zon mengikut kegunaan seperti tandas keluarga, tempat menukar lampin dan tempat mandi juga diubahsuai untuk memudahkan ahli keluarga menggunakannya.

Di samping itu, sistem pengudaraan dan pencahayaan semula jadi turut dilaksanakan agar cahaya luar dapat menyerap masuk dan menembusi ruang dalaman seperti yang terdapat di kawasan medan selera, tandas dan surau.

Medan selera dan rangkaian teknologi

Bertempat di medan selera, penggunaan warna cerah dan ceria, kemudahan peralatan moden seperti kerusi, meja makan dan tempat basuh tangan turut diberi sentuhan baru.

Selepas menikmati hidangan tradisi masyarakat tempatan, pengunjung berpeluang menghirup udara segar di kolam air terjun mini sambil melabuhkan punggung di bawah gazebo atau wakaf yang dibina di setiap perhentian.

Persinggahan pengunjung tidak akan berhenti begitu sahaja setelah berpeluang mengunjungi kedai cenderamata yang berhawa dingin.

Selain itu, kecanggihan teknologi turut mengubah segala bentuk kemudahan yang terdapat di hentian R&R di sepanjang lebuh raya ini.


KEMUDAHAN peralatan moden dan berwarna ceria mampu membangkitkan selera pengguna.


Misalnya, di hentian R&R Machap di Johor, penggunaan tangga telah ditukar kepada eskalator.

Begitu juga dengan teknologi pengkomputeran wayarles dalam rangkaian pengkomputeran wayarles seperti WLAN (WiFi) juga disediakan di sebahagian hentian R&R seperti di Tapah dan Seremban.

Tambah Nik Airina, kos pelaksanaan projek naik taraf di setiap hentian R&R di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan menelan belanja hampir RM2.5 hingga RM10 juta ringgit dan jumlah itu berbeza mengikut konsep pengubahsuaian dan saiz lokasi hentian tersebut.

Rencana Utama!»

Cabaran penggal kedua Rousseff

AKHBAR-AKHBAR Brazil melaporkan kemenangan Rousseff sebagai President Brazil ke-36.

Pesona!»

Bantu baiki taraf hidup wanita

KEMAHIRAN mengurut menjadi punca rezeki buat Saodah untuk menyara keluarganya.

Varia!»

Penceraian yang dilaknat Allah

PERCERAIAN li’an yang melibatkan penafian nasab terhadap anak yang dikandung akan dilakukan selepas kelahiran bayi tersebut. – Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 47