RENCANA UTAMA

Usahawan bawah rumah

Usahawan bawah rumah

Bidai kayu Mat Bidai mampu menghalang cuaca panas seolah-olah kawasan sekitarnya sudah dipasang pendingin hawa - sejuk dan selesa.




MAHU mencari pelindung daripada tempias hujan dan pancaran panas matahari? Sudah tentu bidai adalah jawapan yang paling sesuai.

Tetapi mampukah bidai menjadi penyelamat untuk tempoh yang lama tanpa mengalami kelunturan warna mahupun terputus talinya?

Bidai yang dijual di pasaran terdiri daripada pelbagai kategori. Ada yang cantik tetapi tidak tahan lama dan begitulah sebaliknya. Namun ada juga yang memiliki kedua-dua ciri iaitu cantik dan tahan lama.

Jika anda ingin mencari bidai seperti itu, mungkin perusahaan Mat Bidai di Kuala Terengganu ada jawapannya.

Ini kerana bidai yang dihasilkan pemiliknya adalah seratus peratus menggunakan tangan. Bidai kayunya menarik dipandang dan dipercayai cuma akan rosak atau reput selepas kira-kira enam tahun digunakan.

Menurut pengusahanya, Mohd. Syamsuddin Embong, 35, peminat bidai kayu asli akan berpuas hati dengan hasil anyaman yang berkualiti walaupun harganya mungkin lebih sedikit.


BIDAI Mohd. Syamsuddin banyak ditempah agensi kerajaan dan orang perseorangan.


Katanya, mereka langsung tidak menggunakan mesin bagi menganyam bidai, sebaliknya lebih mempercayai kudrat tangan empat pekerjanya.

"Mereka dah jadi macam mesin," ujar Mohd. Syamsuddin berseloroh.

Beliau menambah, ketelitian menganyam tali bidai yang kemas membuatkan harganya mencecah ratusan ringgit sekeping.

"Jika tersilap langkah, tali yang dianyam boleh jadi seperti ular yang sedang menyusur dalam bentuk zig-zag," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ladang Sekolah, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Mohd. Syamsuddin, berkata, daripada proses menganyam hingga mengecat, semuanya dilakukan oleh pekerja yang terlatih dan berminat menyambung tradisi pembuatan bidai milik keluarganya.

"Hasil kerja tangan lebih tahan lama dan kemas berbanding jika dihasilkan dengan bantuan mesin," katanya.

Tambah Mohd. Syamsuddin yang kini bekerjasama dengan abang ketiganya, Mohd. Zubir, bidai yang dihasilkan dengan tangan mampu mengurangkan kecacatan pada hasil kerja akhir.


MATERIAL kayu dapat menahan haba dengan lebih baik.


Contohnya, jika anyaman dibuat dengan tangan, tali pengikat yang digunakan untuk menyambung kayu akan menjadi lurus.

"Sebaliknya, jika mesin digunakan, ia boleh menjadikan ikatan tadi bengkang-bengkok dan tidak cantik," katanya yang menggunakan kayu jenis Merawang.

Namun, bukan senang untuk memastikan tali berkenaan lurus kerana ia memerlukan kepakaran dalam mengagak dan mengawal anyaman.

"Mereka yang baru berkecimpung dalam bidang ini memerlukan kira-kira 30 hari untuk menjadi mahir dalam meluruskan anyaman dan ia juga bergantung kepada tahap kecekapan seseorang," katanya.

Menceritakan cara pembuatan tradisional bidai itu, beliau yang mementingkan kepuasan pelanggan berkata, jika salah satu tali pengikat terpotong pendek daripada tali-tali yang lain, seluruh tali pengikat terpaksa dibuang.

"Mahu atau tidak, semua tali yang sudah diikat terpaksa dibuang. Kerja-kerja membuang semula tali ini agak rumit dan memerlukan kesabaran.

"Ia tidak boleh disambung begitu sahaja sebab pelanggan membelinya pada harga yang agak mahal. Kalau disambung, nampak seperti ada yang tidak kena pula," katanya.


JENIS tali juga menentukan jangka hayat bidai.


Tambahnya, tali pengikat yang digunakan untuk menyambung setiap keping kayu akan diikat pada tin susu yang diisikan dengan simen.

Jelasnya, tin yang berat itu akan mengemaskan tali pengikat.

Bidai ini boleh dibeli mengikut ukuran kaki persegi iaitu berharga antara RM6 hingga RM8 sekaki persegi bergantung kepada corak.

Mohd. Syamsuddin merupakan pewaris keempat keluarganya yang bekerja menghasilkan bidai. Malah keluarganya merupakan satu-satunya pembuat bidai di negeri Terengganu.

Mengimbau kembali bagaimana perusahaan keluarganya mampu bertahan, Mohd. Syamsuddin, berkata, ia bermula daripada abang keduanya, Allahyarham Mohd. Gharib.

"Mohd. Gharib menjadi perintis kepada seni pembuatan bidai. Pada mulanya, dia mengambil alih perniagaan membuat perabot daripada arwah abang sulung saya, Mohd. Nasir.

"Oleh kerana dia tidak mempunyai bakat membuat perabot, Gharib mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang pembuatan bidai kayu asli kira-kira 10 tahun lalu," katanya.

Uniknya, tambah Mohd. Syamsuddin, beliau dan abang-abangnya tidak mempunyai kilang untuk memproses bidai, sebaliknya hanya memanfaatkan ruang di bawah rumah pusaka keluarganya.


KETELITIAN anyaman turut mempengaruhi harga.


Lagipun, katanya, rumah pusaka itu dibina agak tinggi, jadi ruang tersebut boleh digunakan sebagai 'kilang' memproses bidai yang lebih murah.

"Dengan ini, kami tidak perlu membazirkan wang untuk menyewa mana-mana tempat.

"Bukan kerana sayangkan wang ringgit untuk membina kilang, tetapi yang ada ini sudah memadai. Tidak tahulah masa akan datang, mungkin memerlukan kilang sendiri yang lebih besar," katanya.

Semasa awal perusahaan ini, Mohd. Syamsuddin menggunakan kayu jenis Jelutong yang diproses sendiri di bawah rumahnya.

Tetapi disebabkan pelanggan yang semakin bertambah, faktor itu tidak memungkinkan beliau memproses sendiri kayu untuk dijadikan bidai.

"Saya kini membeli kayu yang telah siap diproses di kedai.

"Kayu-kayu ini tidak perlu lagi diketam sekali gus menjimatkan banyak masa.

"Ini terpaksa dilakukan kerana saya tidak sempat memenuhi setiap tempahan yang semakin banyak dan ada kalanya, tidak menang tangan untuk membuatnya," katanya.

Tempahan pula katanya, datang daripada pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi, hotel, chalet serta orang perseorangan dari seluruh negara.

Kebanyakan mereka datang sendiri ke rumahnya untuk membuat tempahan.

Tambah beliau, bidai yang diperbuat daripada kayu asli terutama jenis Jelutong dan Merawang, mampu menyejukkan ruang.

"Walau cuaca panas macam mana sekalipun, jika bidai kayu dipasang di rumah, ia mampu menyerap haba.

"Seolah-olah dipasang pendingin hawa di rumah - sejuk dan selesa," katanya.

Ujar Mohd. Syamsuddin, faktor cuaca yang panas di negara kita membuatkan Mat Bidai tidak putus-putus menerima tetamu.

"Mahu atau tidak, mereka akan datang kepada saya untuk menempah bidai yang tahan lama dan sesuai dengan keadaan cuaca panas," katanya.

Bagi yang berminat untuk memulakan perusahaan ini, Mohd. Syamsuddin, berkata, modal perniagaan kira-kira RM20,000 diperlukan.

"Selain kewangan, kemahiran seni juga perlu ada pada seseorang pembuat bidai," ujarnya.

nnn MAT BIDAI

Kampung Ladang Sekolah, Kuala Terengganu.

Tel: 013-9613 949.

Rencana Utama!»

Dreadnoughtus terbesar di dunia

PELAJAR Universiti Drexel, Alison Moyer teruja dengan penemuan fosil Dreadnoughtus di Argentina pada 4 September lalu.

Varia!»

Sinar baharu kanak-kanak Myanmar

DARI kiri, Mohd. Azhari, Myint Lwin dan Tengku Zafrul bergambar pada majlis penyerahan tajaan oleh CIMB Bank dan IJN di Hospital Kanak-kanak Yankin, Myanmar.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15