DUNIA

Durian runtuh pesawah Thailand

Durian runtuh pesawah Thailand


PETANI di Suphan Buri, Bangkok menyemai benih padi untuk kali ketiga yang dijangka dituai pada Jun ini berikutan harga beras yang tinggi ketika ini.


PESAWAH-pesawah di Thailand mula meningkatkan pengeluaran tanaman mereka dan berharap dapat mengaut keuntungan daripada ledakan harga komoditi itu di pasaran dunia.

Kenaikkan mendadak harga beras itu didorong oleh kebimbangan berkurangnya bekalan makanan di Asia sejak empat bulan lalu sekali gus mencatatkan rekod ke paras tertinggi dalam sejarah.

Harga beras mula meningkat pada November tahun lalu apabila India menyekat eksport beras bagi memastikan bekalan makanan untuk satu bilion rakyat negara itu mencukupi.

Keadaan mula bertambah buruk selepas Vietnam yang merupakan pengeksport beras kedua terbesar dunia turut mengikut jejak India dengan mengurangkan jumlah eksport beras.

Tindakan Vietnam itu mencetuskan pembelian panik di pasaran dunia sekali gus mengakibatkan harga beras meningkat dua kali ganda sejak Januari lalu.

Situasi itu menyebabkan negara-negara pengeluar seperti Thailand dan Vietnam mula menghasilkan lebih tanaman untuk membolehkan negara pengguna menambahkan stok bekalan serta mengurangkan kebimbangan.

Seorang pesawah, Pranee On-lamoon seperti kebanyakan pesawah lain di Thailand terdorong dengan kenaikan itu untuk mengusahakan tanaman padi bagi kali ketiga.

“Menanam padi untuk kali ketiga dalam satu musim adalah satu usaha berisiko tetapi ia juga adalah satu peluang keemasan,” kata Pranee ketika mengerjakan sawahnya seluas enam hektar di wilayah Suphan Buri di utara Bangkok.

“Saya telah menjadi pesawah sejak kecil lagi dan saya tidak pernah melihat harga beras setinggi ini,” kata wanita berumur 56 tahun itu.

Walaupun, para pesawah seperti Pranee mungkin mengaut keuntungan daripada harga beras tetapi mereka juga terpaksa menanggung kos pertanian yang tinggi.

Bagaimanapun, kerja keras mereka itu mungkin tidak berbaloi kerana terdapat risiko harga beras kembali menjunam sebelum musim menuai pada Jun nanti.

Kebanyakan pesawah di Thailand terlepas peluang mengaut keuntungan daripada lonjakkan harga beras pada bulan ini yang mencecah AS$541 (RM1,700) setan.

Pesawah di negara itu terpaksa menjual hasil tanaman pada November lalu akibat kekurangan ruangan simpanan di ladang mereka.

Namun, Pranee dan pesawah yang lain tidak pasti sama ada kerja keras mereka ini akan membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Seorang pesawah, Kasem Laosittiwaro berkata, dia menjual tanamannya pada harga AS$222 (RM701) setan pada bulan November tahun lalu.

“Saya akan menanam padi lagi tetapi saya tidak pasti sama ada saya akan berjaya menjual pada harga yang tinggi apabila hasil dituai pada Jun nanti,” katanya.


SEORANG pekerja kilang beras melakukan pemeriksaan terhadap kualiti beras yang baru dibuang kulit di Suphan Buri, Thailand baru-baru ini.


Seorang lagi pesawah, Wattana Boonyatim, 53, memberitahu bahawa dia membelanjakan wang yang banyak bagi membeli benih dan baja untuk tanaman padi kitaran ketiganya.

Usaha menanamkan padi untuk kali ketiga menyebabkan kebanyakan pesawah terpaksa berhutang kerana mereka gagal menjual hasil tanaman dengan harga yang tinggi pada November lalu.

Kebanyakan pesawah juga terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat kenaikan harga minyak dan baja sejak tahun lalu.

Sekiranya harga beras turun mendadak para pesawah bimbang mereka tidak memperoleh keuntungan seperti yang diharapkan.

“Saya tidak pasti sama ada saya akan memperoleh keuntungan ketika harga beras sedang meningkat kerana kos pengeluaran juga semakin tinggi,” kata Wattana. – Reuters

Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri

ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 32