NEGARA

Bila musang 'naik minyak'

Bila musang 'naik minyak'


HABSAH dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star selepas diserang musang di rumahnya di Kampung Lubuk Teriang, Titi Haji Idris semalam.


ALOR STAR - Gara-gara mahu menyelamatkan ayam peliharaannya daripada dimakan musang, seorang wanita warga emas menerima lebih 10 jahitan di kedua-dua belah tangannya akibat dua kali diserang seekor musang di rumahnya di Kampung Lubuk Teriang, Titi Haji Idris di sini kelmarin.

Mangsa, Habsah Mohd. Saad, 73, berkata, sebelum kejadian pukul 5.30 pagi itu, dia yang baru selesai solat Subuh tiba-tiba terdengar bunyi ayamnya riuh.

"Mak cik yang hairan dengan keadaan itu keluar dan pergi ke reban.

"Terkejut mak cik apabila nampak ada seekor musang sedang makan salah seekor ayam," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah di sini semalam.

Menurutnya, kerana tidak mahu kehilangan lebih banyak ayam, dia cuba menghalau binatang itu, tetapi musang tersebut menerkam dan gigit tangannya pula.

"Mak cik yang terkejut dan kesakitan terus memukul badan musang itu menyebabkan haiwan itu lari," kata Habsah.

Bagaimanapun cerita wanita itu lagi, dia lebih terperanjat apabila ketika baru membuka pintu untuk masuk ke rumahnya, tiba-tiba musang yang sama sekali lagi menerkam dan mencakarnya.

Jelasnya, luka akibat gigitan musang semasa bergelut di reban tidaklah seteruk mana.

Bagaimanapun, serangan kedua haiwan itu yang mencakar kedua-dua belah tangannya menyebabkan kecederaan menjadi lebih teruk.

"Semasa diterkam kali kedua, mak cik kena bergelut dengan musang itu selama kira-kira 10 minit sambil memukul haiwan tersebut dengan seketul bata.

"Lepas mak cik pukul musang tu sampai mak cik letih, baru musang itu berhenti menyerang dan lari masuk dalam hutan sebelah rumah mak cik," katanya yang masih trauma.

Habsah memberitahu, dia yang masih takut diserang sekali lagi haiwan itu terus menjerit memanggil anak tunggalnya, Zaiton Othman, 50, yang tinggal berjiran dengannya.

"Zaiton menghantar mak cik ke Hospital Sultanah Bahiyah pukul 8 pagi untuk mendapatkan rawatan.

"Nasib baik doktor kata gigitan musang itu tidak beracun dan tidak memberi kesan kepada mak cik, cuma luka saja yang dalam," ujarnya.

Process time in ms: 32