SUKAN
Chelsea tetap datang
KELAB Liga Perdana England, Chelsea sah akan datang ke Malaysia.
Ia sudah tiada keraguan lagi selepas Wisma Putra memberi ‘lampu hijau’ berhubungan kehadiran kelab dari Stamford Bridge itu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, keputusan tersebut membuktikan kerajaan tidak mencampurkan perkembangan sukan dan politik.
Menurutnya, tindakan kerajaan itu dilihat sebagai langkah untuk pembangunan sukan bola sepak negara.
“Ia merupakan petanda baik ke arah pembangunan sukan negara. Kami menyambut baik keputusan daripada kerajaan.
“Pihak penganjur ProEvents telah membuat inisiatif sendiri membuat permohonan kepada Wisma Putra,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Isu kehadiran Chelsea menjadi tanda tanya kerana Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, dan kelulusan perlu diperoleh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membolehkan warga Israel dalam skuad Chelsea iaitu pengurusnya, Avram Grant serta pemain tengah, Tal Ben Haim menjejakkan kaki ke Malaysia.
Azzuddin berkata, tiada bantahan daripada Wisma Putra dan mereka memberi ‘lampu hijau’ kepada FAM dan penganjur, ProEvents merancang program dengan teliti untuk peminat tanpa rasa ragu-ragu.
“Setelah tidak ada lagi keraguan berhubung kehadiran Chelsea ke Malaysia, saya yakin perancangan membabitkan program untuk peminat harus bermula dari sekarang,” katanya.
Semalam Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pihaknya tiada bantahan mengenai kedatangan dua warga Israel dalam kelab Chelsea itu yang akan berkunjung ke negara ini walaupun ada larangan perjalanan terhadap rakyat negara Yahudi itu.
“Kami tidak menghalang sesiapa untuk datang ke Malaysia. Dalam kes ini, walaupun kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel atau perdagangan secara terus dengan negara itu, kami tiada bantahan terhadap lawatan mereka.
“Mereka adalah satu pasukan sukan dengan dua warga Israel. Kami tidak melihatnya sebagai sesuatu yang salah.
“Kami kena melihat kes-kes seperti ini daripada satu kes ke satu kes. Kami tidak mahu campurkan antara politik dan sukan,” katanya.
Kali terakhir atlet Israel dibenarkan memasuki Malaysia adalah ketika kejohanan kriket Trofi ICC pada 1997, yang mendapat bantahan di Kuala Lumpur.
Kelab dari barat London itu dijangka menentang pasukan Liga Super China, Guangzhou Pharmaceutical pada 23 Julai dan pilihan Malaysia di Kuala Lumpur pada 29 Julai.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.




Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


