RENCANA UTAMA

Lupakan tentang erotik

Lupakan tentang erotik

Peredaran masa dan peralihan persepsi mewujudkan suasana baru apabila masyarakat moden kini mengiktiraf tarian ghairah ini sebagai satu senaman aerobik.




APA yang akan terlintas di fikiran anda, sekiranya disebut tarian pole (tiang)? Seksi, menggoda atau erotik.

Hakikatnya, tercetus tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat setempat dan antarabangsa bahawa tarian pole diibaratkan satu seni persembahan yang bersifat erotik dan bercanggah dengan norma-norma tradisi dan kebudayaan.

Hakikatnya, tarian ini berasal dari kelab-kelab malam yang mengadakan persembahan melalui gadis-gadis seksi dan menggoda sedang melengkungkan tubuh pada sebatang tiang besi sambil menghiburkan pengunjung.

Peredaran masa dan peralihan persepsi mewujudkan spektrum pemikiran yang lebih luas apabila masyarakat moden kini mengiktiraf tarian ghairah ini sebagai satu senaman aerobik melibatkan langkah-langkah jasmani yang membantu mengekalkan kecergasan diri secara fizikal dan mental.

Perubahan ini kian jelas kelihatan di Malaysia apabila Viva Vertical P.O.L.E yang berpusat di Talent Hub mempelopori tarian kecergasan ini dengan menawarkan pelbagai sesi latihan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai tarian itu di negara ini.

Akui seorang pereka tari pusat kecergasan ini, Emily Tan, 23, sebelum ini memang begitu sukar untuk mendapatkan satu pusat kecergasan yang menawarkan dan mengendalikan sesi latihan tarian pole di sekitar ibu kota.

"Walaupun naluri ingin mempelajari tarian begitu membara di sanubari saya, namun kegagalan memperoleh peluang dan lokasi yang sesuai melambatkan proses mempelajari tarian ini.

"Namun, saya tetap berusaha. Akhirnya, hasrat ini tertunai apabila saya terserempak dengan iklan mengenai kelas tarian pole di satu laman web dan tanpa berfikir panjang, saya terus mendaftar. Kini, saya telah mengikuti latihan itu selama setahun," kata guru tari yang lebih mesra dengan panggilan Lola ini.


KEISTIMEWAAN tarian ini terletak pada variasi pergerakan yang dilakukan oleh penari.


Selepas itu, Lola diberi peluang mengendalikan kelas-kelas tarian dengan memberi tunjuk ajar kepada penari-penari yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti kecergasan ini.

"Kami mengajar tarian pole yang bersifat kecergasan dan orang ramai begitu teruja untuk memasuki kelas-kelas yang diadakan di pusat ini.

"Ini membuktikan perspektif negatif yang bermain dalam pemikiran rakyat semakin hilang dan mereka berupaya melihatnya sebagai satu kegiatan rekreasi yang menenangkan jiwa," jelasnya kepada Kosmo! ketika ditemui di Talent Hub, Desa Sri Hartamas baru-baru ini.

Jelas Lola lagi, walaupun tarian ini biasanya dikaitkan dengan golongan wanita, ironinya kaum Adam juga ingin mencubanya apabila sekumpulan penari lelaki turut mengikuti latihan tarian pole bagi mengekalkan kecergasan badan dan kecerdasan otak.

"Kelas tarian yang dikendalikan selama sejam ini bermula dengan pelbagai senaman memanaskan badan. Ini dapat mengaktifkan otot-otot badan diikuti pergerakan asas seperti cara menaiki dan bertahan di atas tiang, pegangan yang betul, melengkung badan, kaki dan sebagainya.

"Keistimewaan tarian ini terletak pada variasi pergerakan yang dilakukan oleh penari. Setiap pergerakan diajar secara teliti dan penuh kesabaran agar ia mudah diikuti serta dapat mengelakkan sebarang kecederaan yang tidak diingini," ujarnya sambil memberitahu ada juga pelajar mampu mempelajari pergerakan yang lebih mencabar dalam masa dua minggu hingga sebulan.

Guru tari yang turut mahir dalam tarian urban dan rap ini mengakui sifat kesabaran yang tinggi dan keghairahan dalam mempelajari pergerakan amat diperlukan jika seseorang ingin menjadi penari pole yang hebat.

"Selain kecergasan fizikal, ia juga memberi manfaat aerobatik kepada penari. Ini kerana pergerakan-pergerakan yang dipelajari mampu membakar 250 kalori dalam satu sesi yang mengambil masa selama 45 minit.

"Tambahan pula, ia membantu mengurangkan berat badan, tekanan darah dan lemak serta risiko menghadapi penyakit kardiovaskular manakala keyakinan diri dan interaksi sosial turut terbentuk melaluinya," jelas Lola lagi.

Setelah mengulas mengenai seni persembahan yang bukan lagi bersifat erotik ini, Kosmo! bertemu dengan tiga orang penari yang baru mengikuti kelas tarian yang dikendalikan oleh Lola ini.


DISIPLIN dan kesungguhan penting untuk seseorang penari membuat pergerakan seperti melengkung dan menjunamkan badan.


Sambil tersenyum sipu, April Yim, 24, berkongsi pengalaman mengikuti kelas tarian yang cukup mencabar dan menyeronokkan itu.

"Pada mulanya, saya menghadapi sedikit kesukaran untuk membuat pergerakan antaranya bertahan lama di atas tiang, melengkung dan menjunamkan badan.

"Kadangkala, ia menyakitkan namun tetap menyeronokkan sebab saya berjaya melakukan aksi-aksi yang jarang dapat dilakukan oleh sesiapa," kata penyelidik perubatan di sebuah syarikat di ibu kota itu.

April menyedari kewujudan pusat ini melalui seorang rakan yang turut mengikuti kelas tarian tersebut bersama-samanya.

Penggemar tarian berbentuk aerobatik ini memberitahu, pada mulanya, ibu bapanya membantah ketika dia meminta izin untuk memasuki kelas tarian pole gara-gara mempunyai tanggapan bahawa ia merupakan tarian yang tidak senonoh.

Tetapi gadis ini teguh pendirian dan mendaftarkan diri sebagai penari. Kini setelah empat bulan mengikuti kelas, dia berasa gembira serta menanti saat-saat untuk mengadakan persembahan.

Sementara itu, seorang lagi penari yang masih menuntut di Universiti Monash dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan, Frances Kwan pula meluahkan perasaan bahawa orang ramai perlu mengikis persepsi buruk terhadap tarian ini, sebaliknya perlu berfikiran terbuka dengan memberi galakan dan sokongan moral.

"Pusat ini juga mengadakan kelas tarian secara berasingan bagi penari lelaki dan wanita. Ini jelas membuktikan mereka begitu menitikberatkan imej, disiplin dan kesopanan para pelajarnya.

"Setelah mengikuti kelas selama empat bulan, secara fizikalnya, saya tampil cergas terutamanya otot dan bahagian atas tubuh kelihatan tegap," jelas mahasiswa berusia 22 tahun ini.




Dalam pada itu, Ong Seow Yew, 17, memberitahu tujuan utamanya memasuki kelas tarian tersebut adalah untuk kesihatan dan ketenangan jiwa.

Pelajar yang bercita-cita menjadi seorang pemuzik ini, berkata, dia sudah mampu melakukan dua hingga lima pergerakan yang mencabar.

"Seronok dan gembira. Itulah dua perkataan yang boleh menggambarkan perasaan saya ketika memulakan latihan. Tempoh masa 60 minit membuatkan saya melupakan segala kekangan yang dilalui sepanjang hari ini.

"Kini, saya menunggu saat mengadakan persembahan di khalayak ramai bagi memperkembangkan tarian pole di negara ini," jelasnya yang mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa.

Hab pencetus bakat seni

“JIKA anda ada bakat dan minat, Talent Hub merupakan tempat ideal yang mampu mengasah bakat serta merealisasikan impian menjadi seorang seniman.

Itulah antara kata-kata semangat Pengarah Talent Hub, Fiona Jane Gomez untuk mereka yang ingin mengembangkan bakat yang terpendam sekali gus menikmati kejayaan menerusi bidang kesenian ini.

Fiona memberitahu, pusat seni bakat ini menawarkan pelbagai program berbentuk kesenian yang boleh diadaptasikan oleh masyarakat setempat.

“Di sini, mereka boleh mempelajari pelbagai tarian moden, drama, muzik, seni mempertahankan diri dan sebagainya. Kesemua program ini dikendalikan oleh variasi jurulatih yang profesional dalam bidang masing-masing.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2005, pusat ini mempunyai kira-kira 100 orang ahli yang mengikuti latihan dalam pelbagai program,” katanya.


ORANG muda lebih gemarkan tarian semasa atau terkini seperti hip hop atau MTV jam.


Ujarnya, ahli-ahli yang menyertai kelas tarian datang daripada pelbagai lapisan usia.

“Kalau orang muda, saya boleh katakan mereka lebih gemarkan tarian-tarian semasa atau terkini seperti hip hop atau MTV jam.

“Manakala bagi generasi lama, mereka lebih menggemari tarian yang bersifat sederhana dan kurang mencabar,” jelasnya.

Process time in ms: 62