VARIA

Popularkan Farmasi

Popularkan Farmasi

Pengarah muda Syarikat Naturalife Solution Sdn. Bhd., Ili Zawani Ismail yakin kosmetik dari Istanbul, Turki ini mampu menambat hati wanita negara ini.


ILI ZAWANI ISMAIL


USIANYA bakal mencecah 22 tahun pada 30 Julai ini. Namun pada usia yang masih muda, Ili Zawani Datuk Ismail sudah bergelar pengarah sebuah syarikat pengimport dan pengedar barangan kosmetik dari Timur Tengah.

Walaupun pada usia sedemikian boleh dikatakan seseorang itu masih belum cukup berpengalaman untuk menguruskan sebuah syarikat, tetapi bagi Ili Zawani atau lebih mesra disapa Wani tetap mempunyai keyakinan tersendiri dalam menjawat jawatan penting itu.

"Saya tahu ramai yang beranggapan saya masih muda untuk menerajui syarikat pengimport dan pengedar barangan kosmetik dari Timur Tengah ini.

"Namun, saya percaya jika kita sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap tugas yang dilakukan, usia yang muda bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.

"Tambahan pula, saya tidak segan meminta bantuan daripada mereka yang berpengalaman terutama ayah yang banyak memberi sokongan untuk saya meneruskan kesinambungan syarikat ini," kata Wani ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


ZAWANI memperakui kosmetik Farmasi dijamin halal.


Syarikat Naturalife Solution Sdn. Bhd. mula ditubuhkan pada awal tahun 2006. Pada awal penubuhannya, Wani baru memperoleh sijil tambahan daripada badan perakaunan profesional, The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dari Kolej Universiti Sunway.

Mengapa Wani memilih bidang kosmetik? Anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini lantas menjawab ia satu bidang yang mempunyai yang potensi baik pada masa hadapan.

"Kosmetik adalah satu bidang yang saya percaya mampu untuk pergi lebih jauh pada masa akan datang. Tambahan pula, pengguna di Malaysia terutamanya wanita terlalu obses dengan kosmetik.

"Justeru, saya ingin mengambil kesempatan seperti pengusaha kosmetik yang lain untuk memperkenalkan produk baru sebagai pilihan alternatif bagi pengguna.

"Setelah perbincangan yang mendalam dengan pihak-pihak tertentu, akhirnya saya mengambil keputusan untuk memasarkan produk kosmetik dari Istanbul, Turki yang dikenali sebagai Farmasi ini ke dalam pasaran negara," jelas Wani yang turut mempunyai ijazah dalam Perakaunan Gunaan dari Universiti Oxford Brookes.

Menurut Wani, pelbagai jenama kosmetik yang terdapat dalam pasaran di Malaysia datangnya dari Eropah dan negara-negara Barat. Justeru, dia mahu membawa satu kelainan terhadap pengguna di negara ini.

"Kosmetik Farmasi ini sebenarnya mempunyai kualiti tersendiri dan ia dijamin halal. Walaupun masih baru bertapak di sini, tetapi saya yakin ia mampu menambat hati pengguna.




"Saya sendiri sudah mencubanya beberapa kali pada peringkat awal sebelum ia dipasarkan, saya berpuas hati dengan kualiti dan mutu produk ini. Walaupun jenamanya kurang dikenali berbanding jenama-jenama kosmetik antarabangsa yang lain, tetapi ia masih boleh dibanggakan," jelas Wani.

Tambah Wani, kosmetik Farmasi yang boleh dipakai ketika bersolat ini mula dicipta sejak 200 tahun dahulu untuk golongan kerabat diraja di Turki. Ketika itu, ia hanya mampu digunakan oleh golongan bangsawan sahaja.

Namun, seiring dengan peredaran zaman, kosmetik Farmasi mula direka untuk membolehkan ia diguna dan dipakai oleh semua lapisan tanpa mengira pangkat atau darjat.

"Di Malaysia, kosmetik Farmasi ini baru tiga bulan di pasaran, tetapi sambutan yang terima amat menggalakkan. Untuk semburan pewangi, krim mandian, minyak dan krim badan, ia telah mula dipasarkan sejak dua tahun lalu.


KOSMETIK Farmasi pilihan alternatif kepada pengguna.


"Buat masa ini, kami mempunyai empat buah outlet tetap yang menjual produk kosmetik Farmasi iaitu di Eraman Duty Free Shop, Lapangan Terbang Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Butik Cosry dan di Butik Calvin Thoo," ujar Wani sambil menambah pihaknya akan membuka dua cawangan baru tidak lama lagi.

Rencana Utama!»

Bandar raya paling selesa di dunia

MASJID Jamek Kuala Lumpur serta kawasan sekitarnya turut akan menjalani proses transformasi menerusi pelan Greater KL.

Varia!»

Cubaan pinggirkan bahasa Kantonis

BERMULA 1 September lalu, Guangdong TV telah menggantikan rancangan berbahasa Kantonis dengan Mandarin.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16