RENCANA UTAMA

Ilham Gunung Santubong

Ilham Gunung Santubong

Elemen budaya masyarakat negeri Sarawak terpancar pada seni ukiran batu pasir Ismawi Abang, lapor wartawan NOOR HASLIZA NUSI.




"KETIKA melihat kehalusan seni ukiran pada seketul batu di Sungai Jaung, Gunung Santubong, yang bentuknya seakan-akan seorang manusia sedang meniarap, tiba-tiba idea muncul dalam kepala saya.

"Malah penemuan pelbagai artifak di kawasan sekitarnya menguatkan lagi andaian terdapat kesan langsung kegiatan perdagangan di Santubong di samping penyebaran agama Islam dan Hindu di Sarawak pada abad lalu."

Begitulah cerita awal seorang pengukir batu pasir, Ismawi Abang, 60, mengenai perusahaan krafnya.

Menyingkap sejarah lama, hasil kerja seni terawal yang diketahui adalah ukiran di atas batu yang motifnya meninggalkan 1001 definisi.

Sebelum penemuan besi, ukiran batu dilakukan menggunakan teknik goresan, diikuti dengan memotong secara kasar dengan tukul keluli pada bongkah kayu.


HAMPIR keseluruhan proses mengukir dilakukan secara manual oleh Ismawi.


Sehingga hari ini, ukiran batu pasir sememangnya terkenal di kalangan penduduk Bumi Kenyalang. Antara ukiran yang popular ialah bentuk paruh burung kenyalang.

Mengukir di atas lukisan yang dilakar sehingga terbentuknya wajah seekor burung, nyata membuktikan identiti si pengukirnya.

Menurut Ismawi, bahan mentah yang diperoleh dari lereng-lereng Gunung Santubong di Sarawak telah memberi ilham kepadanya untuk menghasilkan ukiran batu pasir.


UKIRAN batu pasir akan dijadikan dekorasi dalaman.


Lelaki ini banyak mengadaptasikan elemen budaya masyarakat dari seluruh Semenanjung dan Sarawak. Berpaksikan tiga elemen penting - berbatu, berbudi dan berbudaya, Ismawi mempunyai objektif tersendiri dalam rekaannya.

"Batu adalah elemen yang boleh dihuraikan mengikut warisan dan budaya, sekali gus melambangkan keperibadian masyarakat yang terdapat di Malaysia.

"Bagi menghargai nilai keagungan khazanah alam yang tiada tandingannya ini, ukiran batu yang menggabungkan motif masyarakat kaum Iban, Melanau, Orang Ulu, Bidayuh serta corak Melayu asli sememangnya menjadi pilihan utama dalam seni pengukiran.

"Malah pemilihan motif sebegini juga turut melambangkan ciri-ciri kehidupan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama," katanya.

Tambah Ismawi, ukiran pada batu lebih mudah berbanding mengukir di atas kayu.

Keunikan reka bentuk batu yang terhasil membuatkan Ismawi lebih gemar memilih seni ukiran batu sebagai mata pencariannya sejak sedekad lalu.


SENI ukiran batu pasir bermotifkan bunga teratai.


Ditanya mengenai cara membuatnya, jelas Ismawi, hampir keseluruhan proses pengukiran batu dijalankan tanpa menggunakan sebarang peralatan elektrik. Pendek kata, kesemuanya menggunakan kaedah manual iaitu menggunakan tangan.

"Selain peralatan seperti tukul, kikir halus, kikir kasar dan ketam tangan, proses menghasilkan batu pelbagai bentuk turut melibatkan penggunaan 30 jenis batang pahat keluli.

"Penggunaan dan fungsinya bergantung pada saiz dan jenis corak batu yang dilakarkan.

"Fungsi pahat kol adalah untuk meratakan permukaan batu, pahat penguku pula digunakan untuk membentuk corak bunga atau haiwan manakala pahat jenis pengilat untuk mengukir garisan halus dan panjang," katanya.


PAHAT dan kikir antara peralatan utama yang digunakan.


Menurut Ismawi, warna batu pasir semula jadi boleh didapati dalam warna merah, coklat, perak dan krim.

Menjelaskan tentang idea dan bentuk ukiran lukisan katanya, sebelum proses mengukir dijalankan, teknik melakar corak di atas batu adalah bergantung pada mood yang hadir ketika itu.

Kreativiti dan kemahiran yang dimilikinya sejak sekian lama dibuktikan menerusi teknik lukisan tangan tanpa menggunakan sebarang acuan.

Beliau juga berjaya mencetuskan suatu kaedah abstraksi ornamen berasaskan tumbuh-tumbuhan dan elemen-elemen semula jadi yang lain seperti burung kenyalang dan corak klereng iaitu tempat simpanan mayat dan tulang-tulang kaum Iban dan Dayak.

Jelasnya lagi, batu pasir yang telah dibentuk akan dijadikan sebagai hiasan dalaman rumah, arca dan seni bina batu di laman.


LAKARAN elemen bunga-bunga masyarakat kaum Iban.


Bagi menghargai unsur alam semula jadi, baki pecahan batu tersebut akan dijadikan sebahagian daripada barangan kraf tangan atau tempat letak gaharu.

Malah ujarnya, cara penjagaan barangan perhiasan yang diperbuat daripada batu pasir juga perlu diambil kira. "Bagi mengelakkan perubahan warna atau berkulat, elakkan daripada terkena percikan air," jelas Ismawi.

Sebagai pengusaha ukiran batu pasir, Ismawi mengharapkan agar seni kraf yang dihasilkan dapat diketengahkan sebagai produk kraf warisan serumpun, sejajar dengan matlamat kerajaan dalam mempromosikan kraf tempatan di persada dunia.

Tambahnya lagi, produk seni kraf tempatan sememangnya perlu diperturunkan kepada golongan belia agar tidak hanyut dibawa arus pembangunan semasa.

Process time in ms: 15