HIBURAN

Cerita hidup Noorkumalasari

Cerita hidup Noorkumalasari




Ikrar wanita bertudung hitam ini, dia sudah bersara dari dunia seni, lakonan mahupun nyanyian. Hari berganti hari, tahun berganti tahun, diam tidak diam, rupa-rupanya sudah 12 tahun wanita yang pernah berselimut kemilau popular ini meninggalkan dunia glamor.

Seluruh hidupnya, hanyalah untuk keluarga dan mendambakan diri mencari dan mengutip keredhaan Ilahi.

Itulah kehidupan yang sedang dilalui oleh nama yang pernah mekar harum di laman hiburan tanah air, Noorkumalasari, satu nama yang pernah menjadi sebutan, dalam bidang peragaan, nyanyian mahupun lakonan.

Dia yang juga anak seniman dan seniwati ternama, Allahyarham Datuk S. Roomai Noor dan Datin Umi Kalthom ini juga mengakui, bukan setakat tidak lagi bergiat dalam bidang seni, menonton drama-drama dan program TV berbentuk keagamaan juga sudah lama tidak menjadi agendanya.

"Hidup saya semakin tenang. Entahlah, minat saya terhadap seni sudah lama mati. Dulu, ada juga terlintas di hati saya untuk berlakon filem atau drama bercorak keagamaan, tetapi memikirkan jadual penggambaran dan masa yang terlalu lama di lokasi, saya tidak sanggup," jelas Noorkumalari membahasakan dirinya Kak Noor dengan ramah ketika ditemui pada majlis pelancaran tiga program terbaru Astro di ibu negara, Selasa lalu.

Noorkumalasari turut terlibat dalam program berjudul Cerita Artis Malaysia (CAM) yang akan disiarkan di Astro Ria, 7 April depan. Selain Noor, anak seni lain yang turut menjadi pengisi program ini adalah Fauziah Ahmad Daud, Aznil Nawawi, Awie, Amy Search dan Datuk Siti Nurhaliza.




Memeranjatkan, Noorkumalasari yang sering menolak untuk muncul dalam program-program hiburan seperti ini, buat pertama kalinya akan mendedahkan kisah keluarganya di layar kaca.

"Saya bersetuju untuk terlibat dengan CAM kerana pada tafsiran saya program ini boleh memberikan satu tauladan kepada semua. Peminat boleh mengenali siapa Noorkumalasari dengan lebih dekat," kata wanita berusia 52 tahun ini penuh ramah.

Realistik dan sedar siapa dirinya sebelum ini, Noor memberitahu semua supaya jangan terkejut sekiranya menerusi program itu nanti, penonton akan disajikan dengan gambar-gambar seksi yang pernah dirakam ketika dia di ambang popular dahulu.

"Saya sendiri mengizinkan pihak penerbit menyelitkan gambar-gambar lama saya. Alasannya, saya mahu penonton khususnya remaja sekarang mengenali saya, siapa saya dahulu dan siapa saya ketika ini.

"Saya anggap itu sebagai dakwah. Saya tidak pernah menyesal dengan dunia dahulu bahkan bersyukur kerana Tuhan tidak mencabut nyawa saya dan memberikan peluang untuk saya meneruskan hidup dengan cara begini hari ini," jelas Noor optimis.

Bahagia dengan corak hidupnya, kata Noor, dia dan suaminya, Wan Muhammad Yusuf, 57, kini semakin menikmati kemanisan hidup sebagai pasangan suami isteri.

"Suami saya sudah bersara, anak-anak pula sudah besar. Jadi, selepas menghantar mereka ke sekolah, masa yang terluang adalah untuk kami. Kami boleh beriadah, pergi berenang, beribadah dan banyak menghabiskan masa bersama," luah Noorkumalasari dalam nada ceria. - TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

Stailo!»

Stereostar Clothingdidik remaja Muslim

PERANAN simbol, nombor dan tulisan jawi dapat membantu anak-anak muda memahami konsep asas Islam menerusi fesyen.

Varia!»

Pameran seni anjuran korporat

STOWE (dua dari kanan) dan Serenella (tiga dari kiri) pada pelancaran buku Prudential Malaysia Eye: Contemporary Malaysian Art baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0