NEGARA

'Saya ingin tahu pembunuh Noritta'

'Saya ingin tahu pembunuh Noritta'


HANIF BASREE ketika dibebaskan daripada tuduhan membunuh Noritta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2004.


SHAH ALAM - "Walaupun saya bebas, namun saya sendiri ingin tahu siapakah pembunuh sebenar Noritta."

Demikian harapan Hanif Basree Abdul Rahman, 40, yang dibebaskan Mahkamah Persekutuan kelmarin daripada tuduhan membunuh Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Noritta Samsudin, 22.

Jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam itu berkata demikian ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam bagi mengulas perkembangan kes pembunuhan Noritta yang juga peragawati sambilan.

Hanif berkata, beliau tidak mahu kes itu ditutup sebaliknya mahu polis terus menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian pembunuhan yang menjadi kontroversi lima tahun lalu.

"Saya harap kes ini akan terus disiasat supaya keadilan dapat ditegakkan sekali gus penjenayah yang sebenar dapat dihukum.

"Mereka yang terbabit perlu diheret ke muka pengadilan supaya semua orang mengetahui pembunuh sebenarnya," katanya yang mengambil iktibar di atas perkara yang telah berlaku selama ini.

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya kelmarin memutuskan Hanif Basree dibebaskan daripada tuduhan membunuh Noritta pada lima tahun lalu.

Panel lima hakim yang bersidang sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwa berhubung penghakiman Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Hanif.

Hanif didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh Noritta yang juga peragawati sambilan di antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember 2003 di Nombor D-7-1, Kondominum Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di ibu negara.

Sepanjang perbicaraan kes itu berlangsung Hanif memberitahu, pandangan negatif segelintir masyarakat termasuk pihak tertentu terhadapnya menyebabkan imej baiknya dan keluarga tercemar.

"Tak semua orang suka tengok muka saya dan membuat pelbagai andaian terhadap diri saya walaupun keputusan mahkmah belum lagi memutuskan bahawa saya yang bersalah dalam kes ini," ujarnya yang tetap bersyukur kerana masih ramai kawan yang menyokongnya terutama ahli keluarga.

Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri

ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 32