FAMILI

Nurfarahin kuat berpantang

Nurfarahin kuat berpantang

Personaliti dan bekas pengacara TV3, Nurfarahin Jamsari, memilih seorang bidan lelaki untuk menjaganya selepas bersalin.


ANAK-ANAK menjadi sumber inspirasi untuk Nurfarahin menghasilkan buku tentang amalan berpantang.


"BERSALIN tak susah seperti yang orang ramai fikirkan. Yang susah ialah berpantang selepas bersalin," ujar seorang ibu kepada tiga orang anak.

Berpantang dianggap sesuatu yang leceh mundur dan membuang masa oleh ramai ibu moden.

Berbeza dengan Nurfarahin Jamsari, 45, beliau melihat berpantang sebagai amalan yang sangat bernilai untuk wanita.

"Saya sudah melahirkan empat orang cahaya mata. Shaikh Amir, 13, Shaikh Imran, 10, Siti Sarah, 8, dan Shaikh Arif, 7.

Setiap kali selepas bersalin, saya akan berpantang sebaiknya mengikut tempoh. Kebaikannya lebih daripada sekadar untuk fizikal," ujarnya yang melahirkan semua anaknya secara normal.

Terkenal dengan keterampilan serta gerak aktifnya sehingga hari ini, Nurfarahin yang kini mengetuai Unit Pengurusan Imej Media Prima Berhad, umpama bukti nyata kebaikan yang diperoleh daripada amalan yang diwarisi daripada nenek moyang itu.

Nurfarahin pernah menjadi pengacara rancangan Nona, Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini, Hati Ke Hati, Wanita Hari Ini, Potret Kejayaan, Medik TV dan banyak lagi program di bawah TV3.

Melahirkan seorang puteri dan tiga orang putera yang sihat dan aktif daripada perkahwinan pertama, Nurfarahin yang baru mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Noor Eddie Putera Noordin pada 29 April 2006, kini masih mampu mengimbangi hidupnya sebagai seorang ibu, isteri dan wanita berkerjaya.

"Memang saya rasa lebih sihat sekarang berbanding semasa masih anak dara," katanya yang menjelaskan amalan berpantang turut merangkumi diet dan gaya hidup sihat termasuk bersenam.

Kerana sudah meraih kebaikannya, Nurfarahin yang memang dikenali dengan semangat kewanitaannya, dalam diam telah mendedikasikan lebihan masanya daripada hidup berumah tangga dan berkerjaya untuk menghasilkan buku tentang berpantang yang bertajuk 44 Hari Bersama Nurfarahin.

"Saya mahu lebih ramai wanita mendapat kebaikan daripada amalan berpantang. Jika kita fikirkan ia untuk kebaikan pada masa depan, ia tidak susah," ujarnya yang mengambil masa lima tahun untuk menghasilkan buku ini.

Buku setebal 128 halaman ini ditulis berdasarkan pengalaman peribadi Farahin dan kenalannya serta hasil pemerhatian terkumpul terhadap masyarakat sekeliling.

Menyingkap dan mengupas sebab-sebab di sebalik amalan berpantang dengan menggunakan logik, sains dan penyelidikan, Nurfarahin menjadikan medium ini sebagai saluran untuk memudahkan kefahaman ramai dengan panduan yang sempurna secara total.

Buku ini, kata Nurfarahin, adalah sebagai panduan terutama untuk bakal ibu bapa, keluarga yang berjauhan, pasangan yang kurang arif atau tidak berpengalaman dalam mengharungi kehidupan berpantang.

"Amalan berpantang yang saya tampilkan ini bukan tradisional atau ortodoks, sekurang-kurangnya bukan sepenuhnya. Boleh dikatakan ia bersifat kontemporari kerana saya menggunakan barang-barang yang ada di dapur," katanya.

Menurut beliau, melalui berpantanglah beliau dapat mempelajari banyak khasiat makanan sebagai rawatan alternatif.

Mengakui setiap orang akan memberi reaksi yang berbeza terhadap rawatan yang diamalkan, Nurfarahin menggalakkan ibu-ibu yang tidak serasi dengan petua yang diketengahkan supaya tidak meneruskannya.

"Petua yang saya turunkan ini tidak semestinya sesuai dengan semua orang. Saya sekadar berkongsi ilmu kerana dengan bercakap (mengacara) sahaja tidak menjanjikan orang ramai mendapat kebaikan daripadanya," jelas beliau.

"Saya sendiri pernah melalui tempoh getir semasa berpantang seperti kurang lawas, payu dara bengkak, puting merekah, murung dan pelbagai lagi.

"Tetapi saya sentiasa berfikiran terbuka berkaitan pengambilan ubatan baik dari segi bentuk pil, rebusan atau asli. Saya ingin mencuba semua, asalkan ia membawa kebaikan pada tubuh saya," tambah Nurfarahin.

Berpantang itu perlu, katanya, bukan hanya kerana ia dapat mengembalikan bentuk tubuh yang langsing, tetapi juga keupayaannya menangani perubahan fizikal, fisiologi, emosi dan mental yang dialami sepanjang tempoh kehamilan.

Berat badan dan kandungan cecair dalam darah bertambah, denyutan jantung lebih deras, tekanan darah meningkat, pernafasan lebih cepat, kulit menegang dan retak, urat kaki timbul serta kemaluan meregang ialah antara perubahan yang disenaraikan Nurfarahin dalam buku ini.

"Pada waktu inilah wanita akan berasa dirinya tidak cantik, busuk, suami tidak sayang dan anak-anak menjauhi. Sedangkan pada waktu inilah wanita perlu dibelai seperti seorang permaisuri," tambahnya.

Menariknya, bidan yang menemani Nurfarahin sepanjang tempoh beliau berpantang bukanlah wanita.

"Haris Fathilah Ahamad atau Pak Ngah yang menjaga saya sepanjang saya berpantang selepas melahirkan keempat-empat anak saya.

"Beliau merupakan bidan dan pakar perubatan tradisional yang memperkenalkan pelbagai petua tradisi, memberi nasihat, membimbing dan mengajar segala yang perlu untuk saya menempuh waktu berpantang dengan selamat," kongsinya yang menyebut kehadiran suami juga penting untuk sokongan emosi dan rohani setiap ibu baru bersalin.

Ditanya sebab beliau memilih bidan lelaki, Nurfarahin meminta agar pembaca melihat situasi ini sebagaimana seorang pesakit wanita mendapatkan khidmat pakar sakit puan dari kalangan lelaki.

"Tambahan, Pak Ngah merupakan bidan kepada keluarga kami sejak lama dahulu. Yang penting saya selesa dengannya. Sekali-sekala ada juga saya berselisih pendapat dengannya, maklumlah saya banyak bertanya," ujar Nurfarahin.

Process time in ms: 15