KESIHATAN

Skizofrenia bukan gila

Skizofrenia bukan gila

Di Malaysia, masyarakat masih memandang hina pesakit skizofrenia dengan menggelar mereka orang gila. Namun tahukah anda ia sebenarnya penyakit yang boleh dirawat?


JIKA mendapat rawatan yang sewajarnya, pesakit skizofrenia boleh dipulihkan.


SIAPA sangka pemenang hadiah Nobel, John Nash dari Amerika Syarikat (AS) yang juga seorang individu genius dalam bidang matematik merupakan penghidap skizofrenia selama tiga dekad.


SKIZOFRENIA dikaitkan dengan gangguan ketidakseimbangan unsur kimia tertentu dalam otak.


Namun, selepas tiga dekad berjuang melawan penyakit tersebut, Nash akhirnya berjaya pulih seperti sediakala dan menjalani kehidupan normal seperti manusia biasa.

Cerita di atas membuktikan bahawa pesakit skizofrenia boleh disembuhkan. Pesakit berpeluang menjalani kehidupan normal meskipun terpaksa mengambil masa bertahun-tahun lamanya.

Tetapi, apa itu skizofrenia? Mengapa ia dianggap sejenis penyakit mental yang teruk dan kenapa masyarakat memandang hina kepada pesakit skizofrenia? Adakah pesakit skizofrenia mampu membahayakan keadaan sekeliling?


KEENGGANAN pesakit skizofrenia mendapat rawatan boleh mendorong mereka melakukan perkara negatif.


Skizofrenia sebenarnya adalah satu penyakit kronik, teruk dan merupakan masalah kegagalan fungsi otak. Pesakit skizofrenia biasanya mendengar suara yang tidak didengari oleh orang lain atau mempercayai orang lain sedang membaca dan menguasai pemikiran mereka, mahupun cuba mencederakan mereka.

Keadaan ini biasanya menimbulkan ketakutan kepada pesakit. Mereka yang menghidap skizofrenia selalunya bercakap perkara-perkara yang tidak masuk akal, duduk tanpa bercakap atau terlalu banyak cakap selama berjam-jam, atau kelihatan baik sehinggalah memperkatakan apa yang mereka fikirkan.

Gangguan ini dikaitkan dengan ketidakseimbangan unsur kimia tertentu dalam otak yang dipanggil neurotransmiter. Jika kimia yang membantu sel saraf berkomunikasi dengan otak ini terjejas, maka ia akan menyebabkan berlakunya pelbagai kemungkinan termasuk simptom penyakit mental.

Justeru, tidak mustahil pesakit skizofrenia akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nilai-nilai norma manusia normal seperti membunuh dan sebagainya.


PEMENANG hadiah Nobel, John Nash pernah menghidap skizofrenia selama tiga dekad.


Di AS sendiri, kajian membuktikan, bahawa prevalen tiga daripada 1,000 orang adalah penghidap skizofrenia manakala di Malaysia, berdasarkan statistik perangkaan pada tahun 2003, seramai 11,120 orang merupakan penghidap skizofrenia. Jumlah ini meningkat kepada 17,250 orang pada tahun 2005 dan dikatakan ia semakin bertambah tahun demi tahun.

Sementara itu laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pula mencatatkan bahawa sebanyak 20 peratus pesakit yang menghidap skizofrenia atau masalah mental dan gangguan otak enggan mendapatkan rawatan.

Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara negatif seperti bapa sanggup membunuh anak, anak membunuh ibu dan sebagainya yang mana berita-berita tersebut boleh kita baca dan tatap di dada-dada akhbar.

Bagaimanapun, skizofrenia biasanya sering dialami oleh kaum lelaki berbanding wanita atau dalam erti kata lain, kebarangkalian lelaki menghidap penyakit ini adalah lebih tinggi.

Mengikut kajian, lelaki akan mula menghidap penyakit ini dalam usia 20 tahun hingga 28 tahun manakala wanita pula pada usia 26 tahun hingga 32 tahun. Ini merupakan peringkat awal bagi penghidap penyakit skizofrenia. Justeru jika tidak dirawat lebih awal, ia boleh membawa kepada akibat dan kesan yang buruk.


ROHANA (kanan) sedih dengan sikap segelintir masyarakat yang memandang hina pesakit skizofrenia.


Di Malaysia, masyarakat masih memandang hina terhadap pesakit skizofrenia yang sering digelar sebagai 'orang gila'. Justeru, penghidap skizofrenia sering terpinggir dalam masyarakat. Kehadiran mereka tidak dialu-alukan malah menganggap akan mendatangkan bahaya.




Stigma beginilah yang menyebabkan pesakit skizofrenia sukar untuk sembuh sedangkan hakikatnya mereka boleh pulih dan menjalani kehidupan seperti sediakala jika menerima rawatan yang betul daripada aspek perubatan dan psikologi.

Menurut pengasas Rumah Titian Ashraful Rohaniah di Teluk Intan, Perak, Rohana Saidin, sikap tidak ambil peduli masyarakat terhadap penghidap skizofrenia dan memandang rendah kepada mereka menyebabkan pesakit sukar untuk pulih.

"Saya sebenarnya sedih dan kecewa apabila melihat masyarakat Malaysia yang diuar-uarkan sebagai penyayang dan prihatin bersikap negatif terhadap pesakit skizofrenia. Mereka menganggap pesakit skizofrenia ini boleh mendatangkan mudarat dalam masyarakat dan dianggap seperti sampah.

"Keadaan ini berbeza dengan masyarakat di luar negara yang prihatin dan tidak menyisihkan pesakit skizofrenia. Sebaliknya mereka akan dilayan seperti insan istimewa dan diterima dalam masyarakat.

"Contohnya ketika saya dijemput melawat ke Thailand bersama anak-anak di bawah jagaan Rumah Titian Ashraful Rohaniah, orang-orang di sana tidak segan silu memeluk dan menunjukkan kasih sayang mereka kepada pesakit-pesakit ini. Saya rasa begitu terharu dengan penghargaan yang mereka berikan yang mana tidak diperoleh di negara sendiri.

"Namun di Malaysia, paling menyedihkan apabila keluarga sendiri yang membuang dan menyisihkan mereka," jelas Rohana dalam satu Forum Memahami Skizofrenia: Menyangkal Prejudis dan Stigma Sosial di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Process time in ms: 78