VARIA

Manuskrip karya catur

Manuskrip karya catur

Leonardo Da Vinci dikaitkan dengan karya catur yang telah hilang. Manuskrip tersebut ditulis sekitar tahun 1500 oleh Luca Pacioli, seorang ahli matematik dan juga rakan kepada Leonardo.


IMEJ dan lakaran seperti permainan catur ini dipercayai dilukis oleh pelukis agung, Leonardo Da Vinci.


TEKA-TEKI permainan catur yang mencabar minda dan menjadi antara permainan popular di dunia, mungkin mempunyai kaitan dengan salah seorang pelukis agung, Leonardo Da Vinci.

Pakar sejarah tidak menolak andaian bahawa genius zaman Renaissance itu mungkin melukis teka-teki yang ditemui di atas karya catur yang telah lama hilang yang ditemui di perpustakaan milik keluarga bangsawan di utara Itali baru-baru ini.

Manuskrip tersebut ditulis sekitar tahun 1500 oleh Luca Pacioli, seorang ahli matematik dan juga rakan kepada Leonardo. Justeru, pakar percaya artis tersebut mungkin memberi idea terhadap kepingan catur yang menunjukkan perbincangan karya itu.

"Kepingan-kepingan ini amat luar biasa untuk era tersebut. Malah pada hari ini pun, ia kelihatan begitu futuristik," kata seorang arkitek dan pembuat arca, Franco Rocco dari Milan yang mengkaji kepingan itu.

Karya berjudul De Ludo Schaccorum dalam bahasa Latin atau bermaksud Of The Game of Chess itu mempunyai lebih 100 masalah catur, satu permainan yang mencabar pemain untuk sampai ke checkmate dalam beberapa pergerakan tertentu.

Salinan asal karya tersebut disangka hilang sejak seabad yang lalu sehinggalah ia dikenal pasti pada tahun 2006 di antara 22,000 jilid koleksi yang dimiliki oleh keluarga Coronini di kediaman mereka di Gorizia, sempadan antara Itali dan Slovenia.

"Ia kelihatan seperti catur Holy Grail. Kami tahu ia wujud tetapi tiada sesiapa pernah melihatnya," kata Serenella Ferrari Benedetti, kordinator budaya yang ditubuhkan untuk menguruskan estet Coronini.

Bagaimanapun, kepingan merah dan hitam yang digunakan untuk melukis masalah itu sendiri adalah satu teka-teki. Rekaannya yang halus dan abstrak juga adalah sesuatu yang luar biasa hingga Ferrari Benedetti meminta Rocco mengkajinya.

Selepas setahun menjalankan kajian, Rocco membuat kesimpulan bahawa Pacioli, seorang ahli matematik agung yang tidak diketahui kebijaksanaannya meminta bantuan Leornardo untuk melukis figura inovatif itu.

Dalam temu bual menerusi telefon bersama The Associated Press baru-baru ini, Rocco menyatakan bahawa kedua-dua legenda tersebut telah bekerjasama di Milan.

Ketika Leonardo melukis karya Last Supper, dia membantu Pacilo menghasilkan ilustrasi karya tersebut.

Ketika hasil kerja catur itu ditulis, kedua-dua mereka kemudian berhijrah ke Mantua dari Milan.

Rocco berkata, kajiannya terhadap kepingan tersebut dan hasil karya Leonardo yang lain telah membawa kepada lebih banyak bukti.

Gaya futuristik figura berada dalam kontra yang tepat dengan cara kepingan tersebut diletakkan dalam permainan catur yang diwakili masa sama ada huruf atau bentuk realistik.


BAHAGIAN luar kotak yang menyimpan lukisan catur yang kini disimpan di perpustakaan di Gorizia, Itali.


Arkitek itu turut menjelaskan, bahawa tidak semua figura mempamerkan kualiti yang sama kerana terdapat antaranya dilukis dengan tangan kanan dan selebihnya dengan tangan kiri.

"Ini menunjukkan bahawa Leonardo yang dikenali sebagai individu yang menggunakan tangan kiri, mungkin hanya melukis beberapa kepingan untuk menyediakan contoh atau dia sekadar mencadangkan rekaan kepada Pacioli," kata Rocco.

Alessandro Vezzosi, pengarah muzium dan pakar mengenai Leonardo berkata, idea terhadap kolaborasi Leonardo-Pacioli adalah munasabah tetapi bukti-bukti bertulis perlu untuk mengesahkannya.

"Kami tidak boleh mengatakan bahawa dia (Leonardo) melukis kepingan tersebut. Ia satu hipotesis yang menarik tetapi perlu disahkan," kata Vezzosi yang tidak terlibat dalam kajian Rocco.

Manuskrip Pacioli yang biasanya tidak diperagakan kepada orang ramai telah dipamerkan pada musim panas lalu di Florence.

Pameran tersebut akan diadakan semula di Gorizia sewaktu persidangan yang bakal berlangsung pada Jun depan di mana ia dianjurkan untuk membincangkan hasil karya Leonardo.

Pakar mengatakan karya tersebut dianggap sebagai dokumen penting dalam sejarah catur kerana ia menunjukkan peralihan antara peraturan Zaman Pertengahan dan yang digunakan hari ini. - AP

Rencana Utama!»

Ukiran kayu cerminan kisah nenek moyang

Samri mengambil masa antara tiga minggu hingga dua bulan untuk menyiapkan sesebuah karya.

GenK»

Pelajari kemahiran ikhtiar hidup

AKTIVITI penjelajahan hutan memberi peluang kepada peserta beriadah sambil melihat keindahan alam semula jadi yang terdapat di sekitar Hutan Lipur Sungai Tua.

Varia!»

Getaran simbolik karya Mad Anuar

MAD ANUAR mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan arca Perentas Ribut No. 18.

Process time in ms: 47