HIBURAN
Bahagia, derita seorang isteri

BERITA mengenai perkahwinannya sudah tersebar luas dua tahun lalu. Namun, penyanyi kelahiran Sabah ini masih 'enggan' mengulas lanjut mengenai kisah 'peribadinya' itu dan mengundang pelbagai spekulasi kurang elok.
Tidak mampu bertahan dengan spekulasi yang pelbagai, akhirnya dia 'terpaksa' membuat pengakuan, "Benar saya sudah bergelar isteri orang."
Biarpun telah mengaku statusnya sebagai isteri pada September lalu, Azharina Azhar, 23, yang mahu dikenali sebagai Nina masih menegaskan bahawa isu kahwin adalah sesuatu yang peribadi. Seboleh mungkin dia tidak mahu ruang itu diceroboh oleh mereka yang berada di luar lingkungan dirinya dan suami.
"Setiap manusia ada hak peribadi apabila berbicara mengenai soal perkahwinan. Sebagai manusia biasa, saya juga menghadapi tekanan pelbagai pihak.
"Jadi adalah lebih baik bagi saya untuk mendiamkan diri, kurang bercakap soal peribadi dan hanya memberi fokus kepada perniagaan saya," jelas Nina ketika ditemui pada sidang media mempromosikan Minggu Setiausaha Rafflesia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sungguhpun tidak bercerita lanjut mengenai alam perkahwinannya, Nina tidak lagi mahu berahsia mengenai lelaki yang menjadi peneman hidupnya itu. Nina memberitahu suaminya berasal dari Kelantan dan merupakan bekas ahli Parlimen.
"Namanya Datuk Syukri Haji Mohd. Dia adalah ahli perniagaan dan merupakan peguam selama 29 tahun," beritahunya tanpa ragu.
Menurut wanita anggun ini, dia mempunyai sebab untuk memilih lelaki yang jauh lebih berusia sebagai pasangannya. Sudah tentu perwatakannya yang matang serta berpengalaman yang membuatkan Nina suka dan jatuh cinta dengan lelaki berkenaan.
Ditanya mengapa sebelum ini Nina kurang terbuka bila bercakap soal suami dan perkahwinannya, dia dengan spontan menjawab,
"Bukannya tidak mahu menjemput pihak media. Tetapi saya juga tidak menjemput ibu bapa saya (mereka berada di Sabah). Keadaan yang memaksa saya berbuat demikian."
"Namun, ayah saya pernah bertemu dengan dia dan merestui perkahwinan kami. Lagipun ibu bapa saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana jodoh terletak di tangan Tuhan."
Suami belum bersedia
Mencungkil lebih mendalam untuk mengetahui kehidupan Nina, dia tidak menafikan hidupnya adalah sama seperti pasangan suami isteri lain.
"Kita tidak boleh hidup bahagia macam dalam cerita Cinderella. Ini adalah dunia realiti dan hakikatnya kami juga bergaduh. Namun, kami cuba sedaya upaya untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing dan hidup bahagia bersama," tambah Nina.
![]() |
|
AZHARINA mengakui belum ada rezeki untuk menimang anak. |
Dilihat lebih 'senyap' semenjak mengumumkan perkahwinannya, ramai yang tertanya-tanya adakah Nina dikongkong oleh suaminya.
Begitu pun, kata Nina, itu hanyalah tanggapan orang. Hakikatnya dia masih seperti di zaman solonya, bebas bergerak ke mana saja yang disukai atas tiket kerjayanya.
"Suami saya tidak pernah membantah dan saya masih boleh menyanyi. Tetapi saya sendiri ada tanggungjawab dalam perniagaan dan keluarga yang menjadikan masa saya tidak statik.
"Saya sibuk dengan syarikat produksi, Top 3 Production Sdn. Bhd. Kami membikin dokumentari, klip video, iklan untuk badan kerajaan dan syarikat swasta. Syarikat ini sudah ditubuhkan setahun lalu.
"Selain itu, saya juga menguruskan syarikat reka hias dalaman, Azharina Design yang sudah berusia empat tahun. Pada masa yang sama, saya juga membuat persembahan di bawah syarikat Azharina Entertainment yang turut menguruskan acara artis tempatan dan antarabangsa," jelas Nina lagi.
Sudah kukuh sebagai isteri, Nina bagaimanapun memberitahu bahawa dia masih belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata.
"Suami saya belum bersedia. Lagipun dia kasihan melihat cara saya bekerja dan tidak mahu 'menyusahkan' saya dengan isu anak. Namun, kini saya sudah memelihara lima anak kucing. Ini sudah mencukupi."
Terbitkan album ketiga sendiri
Mempunyai perancangan untuk menerbitkan album ketiga dengan bajet sendiri, Nina kini sedang menunggu jawapan daripada Azlan Abu Hassan untuk mendapatkan lagu baru.
"Selain Azlan, saya ada meminta lagu dari Melly Goeslaw dan Erwin Gutawa tetapi percaya komposer Malaysia juga berbakat. Jadi saya masih menunggu sehingga kini kerana perlu bertanding dengan artis baru.
"Bukannya saya tidak menerima sebarang lagu tetapi 15 buah demo lagu yang diberikan tidak 'kuat' seperti Elergi Sepi. Dan jika diberi peluang, saya juga mahu bekerjasama dengan penyanyi lain seperti Amy Search bagi mencipta kelainan," jelas Nina yang mahukan album berkonsep R&B dan balada.
Album Liza Hanim tidak menyerlah
Album terbarunya, Imagin sudah berada di pasaran pada Ogos tahun lalu. Namun, sampai kini, Liza Hanim masih merasakan album yang diterbitkan sendiri dengan kos RM100,000 di bawah syarikatnya, LH Media Sdn. Bhd. itu tidak mendapat perhatian.
Mungkin kerana sibuk dengan penglibatan dalam teater muzikal P. Ramlee ketika itu, Liza akan membentuk semula pasukan khas untuk mempromosikan albumnya tersebut.
"Disebabkan itu adalah teater pertama saya, maka saya menghabiskan lebih banyak masa untuk menjayakannya. Namun, pada masa itu saya ada mengupah satu syarikat untuk mempromosikan album saya.
![]() |
|
LIZA bakal bertanding dalam Ikon Malaysia musim kedua. |
"Cuma hasilnya tidak menyerlah. Maka, kini saya sudah tubuhkan satu pasukan baru untuk tujuan itu. Kalau boleh saya ingin promosi secara besar-besaran tetapi kini saya agak sibuk dengan tanggungjawab sebagai peniaga, isteri, ibu, penyanyi dan aktres," kata penyanyi berusia 29 tahun ini.
Turut terlibat dalam pementasan semula muzikal P. Ramlee pada bulan Mei ini, Liza juga memberitahu bahawa dia akan menyertai pertandingan Ikon Malaysia musim kedua terbitan stesen televisyen, Astro.
"Ikon Malaysia adalah peluang yang baik untuk mempromosikan lagu baru saya. Inilah masa yang baik untuk menonjolkan bakat kita kepada masyarakat luar," jelas Liza yang akan menyampaikan sebuah lagu baru pada Minggu Setiausaha Rafflesia nanti.
Minggu Setiausaha Rafflesia di Hotel Istana
Seramai lapan penyanyi termasuk Azharina, Liza Hanim, Erra Fazira, Jaclyn Victor, Noryn Aziz dan Fauziah Latiff serta Harith Iskandar akan membuat persembahan pada majlis itu.
Minggu setiausaha ini juga akan disiarkan secara langsung dalam program Wanita Hari Ini, pukul 12.00 tengah hari selama satu jam pada 16 April. Selain persembahan nyanyian, hadirin juga akan dihiburkan dengan pertunjukkan fesyen.
Kepada mereka yang berminat tiket dijual pada harga RM650. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-2141 9988.






Moden chic Jalan Masjid India
Bebas yang bertanggungjawab
Saraf bahu terkoyak