NEGARA
Disimbah minyak panas sebab mahu bercerai
KUANTAN - Gara-gara minta cerai, seorang suami disimbah minyak panas di seluruh muka dan badan oleh isterinya di rumah mereka dekat Carnation Park, Tanah Rata di Cameron Highlands di sini Selalu lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, Supritendan Nordin Mustapha berkata, ketika kejadian pada pukul 11 malam itu, suami yang berusia 37 tahun dan bekerja sebagai pemandu pelancong dikatakan baru pulang ke rumah selepas bekerja.
"Mangsa yang menunggu isterinya memasak hidangan makan malam di dapur duduk berehat di atas sofa di ruang tamu rumah.
"Ketika menunggu, si suami berborak-borak dengan isteri sambil membuka cerita bahawa dia mahu menceraikan isterinya kerana mahu berkahwin dengan perempuan lain," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini semalam.
Menurut beliau, isteri mangsa yang terkejut dengan permintaan suaminya telah keluar bersama kuali berisi minyak panas dan cuba memujuk suaminya supaya menarik kembali kata-katanya itu.
Bagaimanapun, Nordin memberitahu, mangsa enggan menarik semula kata-katanya malah mengulangi pendiriannya untuk bercerai.
"Mungkin terlalu marah, si isteri terus menyimbah minyak panas yang terdapat di dalam kuali tersebut ke arah mangsa menyebabkan mangsa menggelupur menahan kesakitan,'' katanya.
Katanya, akibat kejadian itu, mangsa melecur hampir 50 peratus di bahagian badan dan muka sebelum dibawa oleh isterinya ke Hospital Cameron Highlands.
Bagaimanapun, kerana kecederaan parah yang dialami mangsa, dia telah dipindah ke Hospital Ipoh untuk menerima rawatan lanjut.
Menurut Nordin, adik mangsa telah membuat laporan mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Cameron Highlands.
Berikutan itu, tambahnya, isteri mangsa yang berusia 28 tahun ditahan dan kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah.
Difahamkan, pasangan terbabit yang sudah berkahwin selama lima tahun baru dikurniakan seorang anak berusia lima bulan.
Varia!»

JUM-P rawat masalah hati
ABDUL MALEK menunjukkan produk keluaran syarikatnya.



Spa batuan sungai
Karya kreatif di alam maya
Awasi bengkak keras


