HIBURAN

Artis gila bedah

Artis gila bedah




MERUBAH wajah menjadi cantik melalui pembedahan plastik. Trend ini sebenarnya sudah sangat popular di negara luar terutamanya Korea dan Jepun.

Percaya atau tidak, golongan ibu bapa remaja Jepun mahupun Korea malah sehingga sanggup menghadiahkan wang untuk anak-anak mereka melakukan pembedahan kosmetik sebagai hadiah hari jadi.

Dan di Hollywood senario ini begitu berleluasa walaupun ada yang menyokong tindakan ini dan ramai juga yang membangkangnya.

Tidak kira untuk mengubah wajah atau mengekalkan rupa paras muda, pembedahan plastik bagaikan sudah menjadi budaya hidup terutamanya kepada golongan selebriti walaupun menyedari risikonya.

Kini, pembedahan plastik bukan lagi perkara yang dirahsiakan atau memalukan. Michael Jackson dan penyanyi yang sudah bergelar nenek, Cher, adalah dua contoh popular yang ‘menghalalkan’nya menerusi pengaruh mega mereka.

Bukan sahaja artis, tetapi mereka yang berkait dengan artis juga turut kemaruk dengan pembedahan plastik.

Ibu penyanyi Kanye West, Donda West sebagai contohnya, membuat kejutan apabila meninggal dunia November tahun lalu akibat pembedahan plastik.

Minggu ini, disingkap beberapa kisah menarik artis Hollywood yang pernah menjalani pembedahan kosmetik dan suntikan botox serta kolagen untuk tujuan kecantikan.

Hidung baru Ashlee Simpson

ADIK Jessica Simpson, Ashlee Simpson memberikan pelbagai alasan apabila dilihat ‘memiliki’ hidung baru pada Mei, 2006.

Pembedahan itu sangat ketara tetapi dia hanya membisu tanpa sebarang kenyataan media, sehinggalah membuat pengakuan dalam majalah Harper Bazaar.


ASHLEE SIMPSON


Bijak bermain kata-kata, Ashlee menegaskan, “Ia (pembedahan plastik) adalah pilihan peribadi. Saya percaya jika seseorang itu memilih untuk melakukan pembedahan, ia adalah untuk dirinya sendiri dan bukan untuk orang lain.”

Rahsia kulit Teri Hatcher

PADA usia 43 tahun, aktres yang popular menerusi drama bersiri, Desperate Housewives ini masih kelihatan menawan.

Hatcher sebenarnya tampak muda 10 tahun daripada usia sebenarnya.


"TERI HATCHER


Gambarnya selalu menunjukkan kulitnya yang berseri-seri tanpa sebarang kedutan. Apakah rahsia kepada kecantikan kulit Hatcher?

Pada tahun 2006, dalam satu temu bual bersama majalah Glamour, Hatcher mengaku dia mendapatkan bantuan daripada doktor.

“Sebelum ini saya pernah menggunakan botox serta kolagen tetapi telah berhenti selama setahun. Kini saya berpendapat adalah biasa untuk hidup dengan muka berkedut dan tidak cuba untuk kelihatan seperti berusia 25 tahun,” jelasnya.

Secara umum, penggunaan botox hanya mampu bertahan selama tiga bulan. Selepas itu, garisan dan kedut akan muncul semula. Namun, apa menjadi tanda tanya ialah bagaimana Hatcher mengekalkan kecantikan wajahnya sekarang ini sedangkan dia mendakwa sudah berhenti menggunakan botox selama setahun.

Pengakuan telus Cindy

RAMAI yang hairan bagaimana supermodel Cindy Crawford mampu menjaga dan mengekalkan kecantikan pada usia 42 tahun. Mungkin artis seperti Ashlee Simpson dan Teri Hatcher menafikan mereka melakukan pembedahan kosmetik, tetapi Cindy bagaimanapun mengaku pernah mendapatkan bantuan pakar.


CINDY CRAWFORD


Ibu kepada dua anak ini memberitahu majalah Gala bahawa ubat dan losyen tidak lagi boleh membantu. "Saya tidak mahu menipu diri sendiri.

"Pada sesetengah usia, krim muka mungkin boleh membantu tetapi bagi mengekalkan kualiti elastik, saya perlukan suntikan vitamin, botox dan kolagen. Saya terhutang budi kepada pakar kosmetik yang membantu saya."

Rose McGowan hilang watak

AKTRES jelita, Rose McGowan gagal dalam uji bakat filem Speed Racer pada September lalu kerana pihak penerbit khuatir peminat aktres jelita ini tidak dapat mengenalinya selepas dia menjalani pembedahan kosmetik.




"Pihak studio berpendapat Rose agak sukar untuk dikenali dan risau apabila filem ini mula ditayangkan, peminat mungkin tidak lagi mengenalinya," lapor akhbar Daily News.

Namun, McGowan memberitahu bahawa dia perlu menjalani pembedahan plastik pada matanya itu kerana tercedera semasa kemalangan jalan raya awal tahun lalu.

Sisi 'feminin' Simon Cowell

ADAKAH juri American Idol, Simon Cowell pernah menjalankan pembedahan plastik dan botox?

Sebelum ini banyak gosip yang menyatakan dia pernah menjalankan proses menegangkan otot dadanya yang mengendur supaya tegap tetapi dia telah menafikan berita itu.


DADA Simon Cowell yang kelihatan tegap (foto kiri) dikatakan hasil pembedahan kosmetik berbanding dadanya yang mengendur sebelum pembedahan (foto kanan).


"Tidak. Semua itu tidak benar. Saya tidak pernah menjalani pembedahan. Tetapi saya pernah menyuntik botox tetapi dengan kadar sederhana. Lagipun setiap lelaki yang saya kenali di bandar ini menggunakan botox," tegas Cowell.

Aniston bedah dua kali

MENURUT laporan Us Weekly, Jennifer Aniston telah menjalani pembedahan hidung sekali lagi. Dia mengunjungi Dr. Raj Kanodia dan menyatakan pembedahan itu adalah untuk membetulkan hidungnya.


JENNIFER ANISTON


Aniston sebelum ini pernah menjalani pembedahan 12 tahun lalu dan tidak puas hati dengan dengan keputusannya. Dan ada laporan yang menyatakan Aniston juga berkemungkinan besar menjalankan pembedahan payu dara.

Apa yang akan dilakukan olehnya selepas ini? Mungkin suntikan kolagen untuk mendapatkan bibir seksi seperti Angelina Jolie?

Sebenarnya, aktres jelita seperti ini tidak memerlukan pembedahan. Namun, itulah lumrah manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.

Pembedahan Tara Reid gagal

KETIKA berjalan di atas karpet merah sebelum menghadiri parti P. Diddy pada tahun 2004, dres Tara Reid secara tiba-tiba terjatuh dan mendedahkan payu daranya.

"Saya cuma sempat senyum dan kamera tidak berhenti merakamkan insiden tersebut. Apabila saya sedar, saya menangis dan merayu kepada jurugambar supaya tidak menyiarkan gambar itu tetapi tidak berjaya," imbas Reid yang pernah popular dengan filem American Pie.

Bukannya 'kemalangan' sebegini tidak pernah berlaku tetapi Reid sebenarnya baru sahaja menjalani pembedahan plastik yang malangnya gagal.


POTONGAN badan Tara Reid yang sedia ada sudah sempurna (foto berbaju merah) berbanding keadaan badannya menjadi haru-biru (gambar kecil).


Gambar payu dara saya yang 'rosak' tersebar di internet dan hidup saya telah musnah kerana dilabelkan sebagai pemilik payu dara terburuk di dunia.

"Saya berjumpa dengan pakar bedah pada tahun 2004 untuk mendapatkan payu dara saiz B dan dia 'memberikan' saya saiz C. Saya tidak mahu saiz itu," jelas Reid.

Selepas pembedahan, Reid kemudian sedar bahawa sebahagian payu daranya telah rosak. "Selepas enam bulan, semuanya telah beransur pulih. Saya tidak pernah terfikir untuk memiliki aset sebegini," tambah Reid.

Selain pembedahan payu dara, Reid juga pernah menjalani proses kontor (untuk mengembalikan bentuk badan) di klinik yang sama dan tidak gembira dengan keputusannya.

"Perut saya menjadi 'beralun' dan kembung. Saya juga menghidap hernia (bonggol besar di sebelah pusat). Disebabkan itu, saya tidak boleh memakai bikini dan kehilangan banyak peluang kerja," jelas Reid.

Beberapa bulan kemudian, selepas menjalankan penyelidikan, Reid menjalani pembedahan lagi untuk membetulkan kegagalan sebelum ini.

Varia!»

Snek sihat sepanjang hari

ESTHER (tengah) menunjukkan menu makanan ringan baharu yang diperkenalkan di restoran KRR, pusat beli-belah Encorp Strand, Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15