VARIA

Rentak senam lagu rakyat

Rentak senam lagu rakyat

Aktiviti senaman sebegini bukan sekadar mahu meningkatkan tahap kecergasan setiap lapisan masyarakat, malah ia dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga dan rakan taulan.


SENAMAN ini digerakkan dengan tarian Inang Masri, Zapin Sarah, Asli Sewang, tarian Cina dan India yang disulami dengan muzik menyegarkan.


PAGI itu, ruang angkasa di Dataran Merdeka berkumandang dengan lagu-lagu tradisional. Mungkin terasa sedikit pelik apabila irama itu dilaungkan pada awal pagi ketika majoriti warga kota masih lena diulit mimpi.

Muzik itu kedengaran begitu kuat, disalurkan menerusi beberapa pembesar suara gergasi yang pasti membuatkan mata yang mengantuk akan menjadi segar serta merta.

Di atas padang yang masih basah dengan embun pagi, ribuan manusia berbaris dan mengambil kedudukan masing-masing. Dengan penuh semangat, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan tertentu yang dapat ditentukan menerusi warna-warna yang ada pada bendera Malaysia, apa lagi kalau bukan merah, biru, kuning dan putih.

Aktiviti senaman sebegini bukan sekadar mahu meningkatkan tahap kecergasan setiap lapisan masyarakat, malah ia dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga dan rakan taulan.

Mahu menjadikan aktiviti senaman seperti senamrobik yang selama ini sering dikonotasikan dengan muzik-muzik rancak lebih menarik, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA) mengambil pendekatan berbeza dan kreatif menerusi pengenalan program yang diberi nama Senam Seni Malaysia.

Mengetengahkan kepelbagaian bentuk tarian dan seni mempertahankan diri yang ada pada akar budaya rakyat Malaysia, keunikan seni ini dijadikan sebagai muzik latar dan gerak asas dalam senamrobik.

Senam Seni Malaysia ini didasari oleh lagu-lagu rakyat Malaysia. Mengambil durasi selama 27 minit, modul senam seni dimulakan dengan sesi memanaskan badan, sebelum diikuti gerakan regangan, kardiovaskular, penyejukan badan dan berakhir dengan gerakan singkat. Apa yang menariknya ialah setiap sesi ini diselitkan dengan muzik, tarian atau gerakan seni mempertahankan diri yang berbeza.

Pada empat minit pertama iaitu dalam sesi memanaskan badan, setiap peserta Senam Seni dibuai dengan keindahan muzik Zapin Budi dan Joget Rentak 106. Mereka diminta melakukan gerakan tarian Inang, Joget dan Zapin yang dipimpin oleh koreografer berpengalaman.

Awal-awal lagi, sudah ada yang tersalah langkah. Diiringi senyuman dan ketawa kecil, semua peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur cuba untuk mengikut langkah yang ditunjukkan sebaik mungkin.

Semangat setiap peserta semakin melonjak dalam sesi regangan yang dilatari dengan muzik gendang silat selama tiga minit. Mengikut gerak bunga silat yang ringkas, mereka seakan sedang mengikuti latihan silat di sekolah menengah.

Sesi kardiovaskular (aerobik) mengambil masa paling lama dalam modul Senam seni ini, selama 14 minit. Namun, masa itu terasa begitu pantas berlalu apatah lagi apabila senaman yang digerakkan dengan tarian Inang Masri, Zapin Sarah, Asli Sewang, tarian Cina dan India itu disulami dengan muzik menyegarkan.

Antaranya ialah lagu Hati Kama, Zapin Hanuman, Sewang dan Jumbalika. Walaupun ramai yang tidak pernah mendengar lagu-lagu rakyat ini (kecuali lagu Hati Kama nyanyian Datuk Siti Nurhaliza), ia tidak menjadi penghalang untuk mereka terus menari sambil mengelap penuh yang mula mengalir.

Senamrobik penuh berseni ini diakhiri dengan sesi menyejukkan badan selama tiga minit. Ruang masa ini diisi dengan muzik daripada lagu etnik Sabah dan Sarawak seperti Sape Kame'. Ketika ini, semua peserta mula menarik nafas lega kerana ia menandakan senamrobik bakal berakhir.

Tetapi, sebelum mereka dibenarkan berehat, para peserta perlu mengikut rentak dan gerak yang diambil daripada pergerakan tarian Datun Jalud, Sumazau, Manganutip, Mengiluk serta gabungan gerakan seni bela diri.

Biarpun agak memenatkan, kesemua peserta nampaknya begitu gembira mengikuti segala gerak tubuh koreografer senamrobik tanpa banyak masalah.


SENAMROBIK penuh berseni ini diakhiri dengan sesi menyejukkan badan selama tiga minit.


Sebenarnya, Senam Seni Malaysia ini bertitik tolak daripada aktiviti hampir sama yang diadakan di Laman Seni KL (LSKL) pada tahun 2005 dan 2006. Diilhamkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Senam Seni Malaysia ini turut mendapat kerjasama daripada Istana Budaya serta Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Kecergasan Kebangsaan (NFC).

Kemeriahan Senam Seni yang bertemakan 'Kekal Sihat Ala Malaysia' ini tambah terasa dengan penglibatan beberapa 'orang kuat' kementerian termasuklah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA), Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Dalam ucapannya, Rais menyatakan bahawa Senam Seni Malaysia membawa erti yang besar dalam usaha KeKKWA mendukung warisan seni negara, selain menandakan anjakan seni budaya pada sudut berbeza.

"Ilham mengadaptasi seni tarian dan seni bela diri masyarakat Malaysia dalam senaman mampu menjadi pemangkin usaha mengekalkan warisan bangsa. Sebabnya, pengisian senamrobik ini merangkumi semua tarian tradisi masyarakat berbilang kaum termasuk etnik di Sabah dan Sarawak.

"Senam Seni Malaysia harus dilihat sebagai titian dalam menjalin hubungan persahabatan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbeza latar budaya dan agama," katanya penuh semangat.

Disertai oleh kakitangan yang dibahagikan kepada beberapa kategori seperti pihak berkuasa tempatan, kementerian-kementerian, syarikat korporat dan banyak lagi, penganjuran kali ini dilihat begitu berjaya.

Kepada mereka yang terlepas peluang, tidak perlu bimbang kerana aktiviti ini tidak mustahil akan diluaskan kepada khalayak dan diadakan di negeri-negeri lain.

Infiniti!»

Terbang, rakam dan analisis imej

PELAJAR UTM (dua dari kiri) menerangkan bagaimana UAV dikawal menggunakan perisian khas dari paparan skrin komputer.

Varia!»

Belia Islam Belgium kunjungi Terengganu

TERUJA. Ahli-ahli belia islam Belgium tidak ketinggalan mencuba memainkan alat muzik tradisional

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15