RENCANA UTAMA
Jelajah gerila hutan Aceh
Jika dahulu, mereka merupakan pemberontak Gerakan Pejuang Pemisah Aceh tetapi kini mereka menjadi pemandu pelancong. Mengapa?

SEBAGAI pejuang pemberontak, Marjuni Ibrahim bersembunyi di dalam hutan di Aceh. Hari ini, dia mengetuai 'jelajah gerila' yang membawa para pelancong merasai pengalaman ekstrem merentas hutan di Aceh.
Trek yang terdapat di barat laut Indonesia itu merupakan satu percubaan untuk mengeluarkan Aceh daripada belenggu kemiskinan dengan membangunkan projek pelancongan tempatan.
Ia bertujuan untuk memulihkan semula ekonomi wilayah itu yang agak mundur selepas konflik selama 30 tahun serta bencana tsunami yang melanda pada bulan Disember 2004.
Oleh itu, jika pelancong di Vietnam boleh melawat terowong Cu Chi yang digunakan oleh gerila Viet Cong dalam peperangan Vietnam, pelawat di Aceh pula boleh melihat di mana Gerakan Pejuang Pemisah Aceh (GAM) bersembunyi ketika menentang tentera Indonesia (TNI) sehingga kedua-duanya menandatangani perjanjian perdamaian pada 2005.
Marjuni akan membawa pelawat atau pelancong merangkak di atas laluan berbatu tajam, melepasi pokok-pokok jati yang diselaputi tumbuhan menjalar serta melihat keindahan air terjun semula jadi.
Bahagian ini di Aceh merupakan habitat harimau Sumatera yang berbahaya, rusa dan burung enggang serta lintah yang menunggu untuk menghisap darah.
"Kawasan ini amat cantik. Saya suka menerokanya dan amat berminat untuk melihat bagaimana kehidupan sewaktu konflik tersebut," kata Hugo Lamers, seorang pekerja bantuan kemanusiaan Belanda yang mengikuti jelajah gerila pada tahun lalu.
"Sukar dibayangkan tetapi dalam masa tiga atau empat tahun dahulu, berlakunya pergaduhan antara gerila GAM dan TNI. Ketika saya sampai di sini, mereka membawa kami melihat tempat di mana mereka kehilangan beberapa orang kawan.
"Kemudian anda akan menyedari bahawa kami berada di sini untuk berseronok tetapi bagi mereka, ia sesuatu yang serius."

Beberapa laluan pejalan kaki melindungi muka bumi di mana pergaduhan berlaku atau di mana pengunjung atau pelawat boleh melihat kesan-kesan konflik seperti bekas makanan yang ditinggalkan dan lukisan grafiti oleh tentera.
Namun, beberapa tempat persembunyian bekas gerila GAM masih kekal rahsia, kerana takut mereka mungkin memerlukannya kembali satu hari nanti.
Marjuni, 28, menyertai gerila GAM ketika berusia 20 tahun. Dia turut serta akibat rasa tidak puas hati kerana ketidakadilan seperti pembunuhan beramai-ramai penduduk oleh TNI hanya kerana mereka disyaki gerila GAM.
Dianggarkan lebih kurang 15,000 penduduk terbunuh sejak hampir tiga dekad peperangan untuk menuntut kemerdekaan Aceh. Malah ramai lagi diseksa oleh tentera Indonesia atau mengalami trauma kerana konflik tersebut.
Kepulauan Sumatera, salah satu wilayah yang terpisah merupakan pusat penting untuk perdagangan kerana kedudukannya agak strategik dan berhampiran Selat Melaka yang menghubungkan Asia ke Timur Tengah dan Eropah.
Tetapi kolonial Indonesia tidak berminat untuk membenarkan pemisahan Aceh. Wilayah itu mempunyai sumber alam semula jadi yang banyak termasuk minyak, gas dan kayu balak yang mendatangkan hasil untuk kerajaan.
Pada 2003, seramai 50,000 tentera dikerahkan ke Aceh yang mempunyai empat juta penduduk untuk menjalankan operasi di wilayah tersebut.
Marjuni berkata, kumpulannya yang mempunyai 20 pejuang GAM terpaksa bersembunyi di dalam hutan selama beberapa hari pada waktu itu kerana mengetahui jika kembali ke rumah, mereka akan ditangkap dan diseksa seperti abangnya yang dipenjarakan.
Tetapi setiap minggu, unitnya perlu keluar dari hutan untuk mendapatkan bekalan makanan atau lain-lain keperluan di lokasi yang telah ditetapkan.
"Waktu itu, saya berasa amat takut untuk keluar dari hutan kerana TNI berada di mana-mana," katanya.
Mereka mendapatkan bekalan minuman dari air terjun dan jika tidak mempunyai makanan, mereka terpaksa memakan tumbuh-tumbuhan atau buah-buahan hutan yang ditemui.
Ketika berada di puncak bukit di hutan tersebut, Marjuni dan unitnya dapat melihat bencana tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004. Bunyi yang begitu kuat menyebabkan pada mulanya mereka menganggap ia adalah serangan bom.
"Ketika melihat ombak yang begitu tinggi melanda, kami berasa amat takut dan menyangka mungkin kami akan mati," kata Marjuni yang ibu bapa serta adiknya antara 170,000 orang yang terkorban atau hilang dalam kejadian tsunami di Aceh itu.

Ketika hampir semua kawasan di pinggir laut Aceh musnah, bencana tersebut turut membawa hikmah untuk kedua-dua pihak, TNI dan GAM kembali berdamai.
Indonesia mengeluarkan tentera dan polis manakala pejuang GAM keluar dari hutan dan menyerahkan senjata mereka dalam pertukaran untuk pengampunan.
Marjuni kemudian bekerja membina rumah dan infrastruktur untuk bayaran beberapa dolar sehari. Kemudian pada satu hari, dia ditawarkan oleh Mendel Pols, seorang rakyat Belanda yang mengasaskan firma pelancongan dipanggil Aceh Explorer dan mencari bekas pejuang GAM untuk menjadi pemandu pelancong di hutan.
"Apabila saya memberitahu GAM idea tersebut, mereka melihat saya seperti orang asing dari Marikh," kata Pols yang mengahwini rakyat tempatan dan menetap di Banda Aceh.
Setakat ini, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pekerja bantuan kemanusiaan dari luar negara yang berpangkalan di Aceh untuk pemulihan semula wilayah itu selepas bencana tsunami.
"Saya mahu menjadikan penduduk Aceh sedar akan potensi pelancongan yang ada di wilayah ini dan meletakkan Aceh dalam peta sebagai destinasi pelancongan yang mesra," ujar Pols sambil tersenyum. - Reuters




Moden chic Jalan Masjid India
Bebas yang bertanggungjawab
Saraf bahu terkoyak