RENCANA UTAMA

Keunikan Tasik Meromiktik

Keunikan Tasik Meromiktik

Di sebalik kemajuan Pulau Mutiara, negeri ini masih menyimpan taman negara sendiri yang kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna menakjubkan.


PERCUTIAN di TNPP pasti meninggalkan kenangan manis buat setiap pelancong.


MENJADI salah sebuah negeri terawal yang melalui proses urbanisasi di Malaysia dengan menjadi sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat pada era sebelum merdeka, Pulau Pinang kini boleh berbangga dengan status urban yang dialami.

Terkenal dengan jambatan terpanjang di Asia Tenggara iaitu Jambatan Pulau Pinang dengan jarak 13.5 kilometer (km), selain menara Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang merupakan bangunan keenam tertinggi di Malaysia, kemajuan Pulau Pinang sememangnya semakin gah.

Selain itu, negeri ini juga menjadi pelabuhan bagi kapal-kapal besar serta menempatkan kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) di Batu Maung.

Yang pasti, di sebalik megahnya bangunan-bangunan batu yang berceracak di sebahagian besar negeri ini terutama di Georgetown, ia tidak melupakan pentingnya mengekalkan kehijauan alam semula jadi.

Maka, tidak hairanlah sehingga ke hari ini perkataan mutiara dek kecantikan dan kehijauan negerinya tidak pernah lekang daripada nama Pulau Pinang.

Umum hanya mengetahui, jika berkunjung ke Pulau Pinang, destinasi wajib yang perlu dilawati adalah Tokong Ular, Taman Bunga, Nasi Kandar Line Clear, menaiki feri atau singgah di Bukit Bendera. Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa Pulau Mutiara juga mempunyai sebuah taman negara.

Taman Negara Pulau Pinang (TNPP) yang dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas pada 5 Januari lalu merupakan Taman Negara yang pertama diwujudkan di bawah Akta Taman Negara 1980.

Taman yang diurus sepenuhnya oleh Jabatan Perhilitan ini selepas diwartakan pada 10 April 2003, mempunyai keluasan keseluruhan 2,562.963 hektar (ha) meliputi keluasan 1,181.949 ha (daratan) dan 1,381.014 ha (laut)

TNPP atau Bay of Glowing Amber terletak di daerah Barat Daya Pulau Pinang yang mengadap Selat Melaka. Ia digelar Bay of Glowing Amber kerana menjelang waktu senja, kita akan dapat melihat pemandangan menarik yang berlainan pada setiap hari.




Taman ini mempunyai dua pintu masuk iaitu pintu utama yang terletak di Teluk Bahang manakala pintu kedua pula terletak di Kuala Sungai Pinang di daerah Balik Pulau.

Di Teluk Bahang, pengunjung dikehendaki mendaftar untuk mendapatkan permit masuk percuma. Terdapat dua pilihan iaitu berjalan kaki atau menaiki bot tetapi di Kuala Sungai Pinang, pengunjung perlu menaiki bot pelancong untuk masuk ke taman ini.

Menurut Penguasa Taman Negara Pulau Pinang, Noor Alif Wira Osman, penubuhan TNPP adalah berdasarkan kepada kepentingan untuk mengekalkan kawasan hutan Pantai Acheh bagi mengimbangi pembangunan pesat Pulau Pinang.

Menurutnya, pada asalnya, kawasan hutan Pantai Acheh telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Pantai Acheh di bawah taraf Hutan Simpan Kekal (Ordinan Hutan 1928) yang diurus oleh Jabatan Perhutanan Negeri.

"Sebahagian kecil kawasan ini pernah dibalak, namun aktiviti pembalakan telah dihentikan sejak tahun 1970-an.

"Kewujudan TNPP adalah bagi menyokong usaha kerajaan negeri dalam menyahut saranan kerajaan pusat untuk memperbanyakkan kawasan perlindungan hidupan liar di Semenanjung Malaysia," katanya.

Tambahnya, persetujuan untuk mewartakan Hutan Simpan Pantai Acheh sebagai taman negara menunjukkan komitmen pihak pentadbiran terhadap usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi negara dalam membuktikan keupayaan untuk mengurus serta memajukan kawasan hutan tersebut secara mapan untuk tujuan ekopelancongan.

TNPP merupakan sebuah taman negara yang terdiri daripada lima jenis habitat yang menjadikan ia kaya dengan kepelbagaian biologi.


SENJA di jeti pantai Kerachut.


Habitat yang terdapat di TNPP ialah Hutan Pamah Dipterokap, Hutan Bukit Dipterokap, Hutan Paya Bakau, Pantai Berpasir dan Tasik Meromiktik.

'Mutiara' yang paling berharga yang terdapat di TNPP adalah Tasik Meromiktik iaitu satu-satunya tasik unik yang terdapat di Malaysia.

Ia digelar meromiktik kerana airnya adalah separa campuran air laut dan air tawar yang terjadi dan berubah secara semula jadi apabila berlakunya perubahan monsun. Apabila bercampur, air laut akan berada di atas manakala air tawar di bawah.

Fenomena ini akan berlaku pada sekitar bulan April dan Mei setiap tahun iaitu ketika berlakunya peralihan musim antara dua monsun iaitu Monsun Timur Laut dari bulan November ke Mac dan Monsun Barat Daya dari akhir bulan Mei ke September.

Tasik Meromiktik di Pantai Kerachut ini pada asasnya merupakan sebuah lagun. Ia merupakan tasik meromiktik yang terdapat di Malaysia dengan anggaran keluasan 2.77 km persegi. Tasik ini akan kering dan dipenuhi air pada satu jangkamasa tertentu secara bergilir setiap tahun.

Selain itu, di TNPP juga terdapat penyu mendarat untuk bertelur di Pantai Kerachut, Teluk Ketapang, Teluk Ketampi, Batu Feringgi, Teluk Bahang dan Teluk Kumbar.

Ujar Noor Alif, terdapat dua spesies penyu iaitu penyu Agar (Chelonia mydas) dan penyu Lipas (Lepidochelys olivacea) yang mendarat untuk bertelur di kawasan tersebut.

"Sebuah Pusat Konservasi Penyu juga telah dibina di Pantai Kerachut di bawah pengurusan Jabatan Perikanan sejak tahun 1995 bagi melaksanakan tugas konservasi tersebut.




"Aktiviti ini melibatkan pengumpulan dan pengeraman telur penyu, pelepasan anak penyu ke laut dan program kesedaran awam seperti Program Pendidikan Kepelbagaian Biologi (PPKB) yang diusahakan secara bersama dengan pihak TNPP," jelasnya lagi.

Di samping itu, pengunjung juga dapat melihat dengan lebih dekat sebuah rumah api yang terletak berhampiran Pantai Teluk Duyung di Muka Head yang dibina pada tahun 1883 di ketinggian 227 meter di atas paras laut.

Ia merupakan elemen bersejarah yang boleh dilawati dan menariknya masih lagi berfungsi sehingga kini kerana menjadi pedoman kepada nelayan-nelayan dan kapal-kapal yang melalui lautan di perairan Muka Head.

TNPP juga menyimpan kepelbagaian khazanah unik flora dan fauna dengan terdapat lebih daripada 1,000 spesies tumbuhan direkodkan, selain 36 spesies mamalia, 19 spesies amfibia, 24 spesies anai-anai, 44 serangga akuatik (kawasan berair), 35 ikan (sungai), 14 spesies reptilia dan 148 spesies burung.

Antaranya tumbuhan yang direkodkan ialah meranti, periuk kera, seraya, pelbagai tumbuhan herba seperti tongkat ali manakala spesies-spesies hidupan liar seperti burung lang siput (White-bellied Sea Eagle), lang merah (Brahminyl Kite), murai batu, punai tanah dan pekaka.

Selain itu, mamalia yang biasa dilihat ialah tupai kerawak, tupai terbang dan kubung manakala mamalia besar yang terdapat di TNPP ialah ikan lumba-lumba (Bottlenose dan Irrawady).

Noor Alif berkata, antara kemudahan yang disediakan di taman ini ialah pos kawalan renjer, tandas, dewan, tapak perkhemahan, tempat memasak dan jeti.

Bagi memastikan pengunjung mendapat keselesaan, pihak pengurusan kini sedang menaiktaraf kemudahan tandas, pondok wakaf dan tapak perkhemahan bernilai RM200,000, yang dijangka siap tidak lama lagi.

"Selain itu, kita juga bercadang untuk membina laluan Canopy Walk yang pertama di negeri ini bernilai RM1 juta sejauh 200 meter yang konsepnya hampir sama seperti yang terdapat di Taman Negara Pahang," jelasnya.

Pengunjung yang ingin bermalam di Pantai Kerachut perlu berkhemah di tempat disediakan bagi mengelakkan gangguan kepada penyu yang bertelur di sepanjang pantai berkenaan, selain dilarang melakukan sebarang pembakaran, merosak atau mengambil hasil hutan, pencemaran dan sebagainya.

"Kita tidak akan berkompromi kepada sesiapa sahaja yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan seperti mana yang termaktub dalam Akta Taman Negara 1980," kata Noor Alif.


PERCUTIAN di TNPP pasti meninggalkan kenangan manis buat setiap pelancong.


Rencana Utama!»

Ukiran kayu cerminan kisah nenek moyang

Samri mengambil masa antara tiga minggu hingga dua bulan untuk menyiapkan sesebuah karya.

GenK»

Pelajari kemahiran ikhtiar hidup

AKTIVITI penjelajahan hutan memberi peluang kepada peserta beriadah sambil melihat keindahan alam semula jadi yang terdapat di sekitar Hutan Lipur Sungai Tua.

Varia!»

Getaran simbolik karya Mad Anuar

MAD ANUAR mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan arca Perentas Ribut No. 18.

Process time in ms: 125