REKREASI

Sukan lasak di Bukit Cerakah

Sukan lasak di Bukit Cerakah

Berlatarbelakang alam semula jadi, aktiviti rekreasi semakin menyeronokkan.




PERNAHKAH anda menyimpan angan-angan untuk bertempur dan berperang di dalam hutan tebal sambil membawa senapang berpeluru?.

Jika jawapannya ya, anda boleh merealisasikan impian tersebut di Taman Pertanian Malaysia atau lebih dikenali sebagai Bukit Cerakah yang terletak di Shah Alam.

Dikelilingi rimbunan pokok dan beraksi di dalam hutan belantara, semestinya memberikan pengalaman yang sungguh menyeronokkan dan sukar untuk dilupakan.

Namun begitu, jangan salah anggap kerana pihak pengurusan Bukit Cerakah, tidak menyediakan alatan menembak atau pakaian seragam askar yang sebenar.


PEMAIN paintball akan diberi penerangan terlebih dahulu.


Ia cuma permainan sukan yang semakin menambat hati peminat sukan lasak iaitu pengunjung Bukit Cerakah berpeluang bertempur dan berperang dalam aktiviti sukan menembak bola cat (paintball).

"Seperti yang diketahui, sukan perang ini sering dilakukan di padang atau kawasan yang luas. Oleh kerana Bukit Cerakah terkenal dengan pelbagai spesies pokok dan tanaman, kami mengambil keputusan untuk mengadakan sukan menembak bola cat menggunakan elemen hutan yang semula jadi.

"Saya percaya dengan kelainan yang ditampilkan ini, ia akan memberikan kesan dan pengalaman baru kepada pemain. Permainan yang memakan masa selama 30 minit hingga satu jam ini memerlukan pemain bergerak aktif di dalam kawasan permainan yang seluas lapan hektar," jelas Penolong Pegawai Perhubungan Awam, Taman Pertanian Malaysia, Ahmad Farid Abu Dzarim.

Tambah Ahmad Farid, keluasan taman yang diperuntukkan, mampu memuatkan kapasiti 400 orang pemain dalam satu masa. Setiap pemain dikenakan bayaran sebanyak RM80 dan akan disertakan marker (senapang), peluru, topeng, jaket perisai, air mineral dan sebagainya.

Selain daripada keasyikan bermain aktiviti paintball, pengunjung juga berpeluang melakukan aktiviti rekreasi seperti Skytrex.

Permainan yang popular di negara Perancis itu terbahagi kepada dua fasa untuk dewasa dan kanak-kanak.

Sebelum memulakan aktiviti Skytrex, pemain perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal. Ini kerana permainan ini memerlukan anda memanjat tangga, berjalan di atas jambatan gantung dan bergayut ala tarzan.


PERMAINAN Skytrex memerlukan ketahanan mental dan fizikal.


"Istimewanya Skytrex di Bukit Cerakah, kami masih mengekalkan elemen permainan yang mendekatkan pemain dengan pokok.

"Setiap halangan seperti jambatan gantung, jaring atau tali untuk bergayut diikat di setiap batang pokok," jelas salah seorang operator aktiviti Skytrex, Jullien Repllien dari Perancis, sambil menunjukkan cara-cara menyarungkan alat-alat keselamatan diri.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melalukan aktiviti rekreasi lain seperti berbasikal, menangkap ikan dalam sawah, berjoging dan sebagainya. Bukan itu sahaja, antara aktiviti lain yang turut disediakan ialah seperti berikut:

Aktiviti rekreasi luar


MENYEBERANG tasik memerlukan anda menggunakan tali sepanjang 50 meter.


*** Merentas hutan

Perjalanan merentas hutan memerlukan anda berjalan sejauh tiga hingga tujuh kilometer yang memakan masa antara dua hingga lima jam.

Selain dapat menikmati keindahan flora yang menghijau, aktiviti ini juga menguji ketahanan diri serta menguji minda dan fizikal.

Ini kerana anda perlu berhadapan dengan beberapa halangan yang mencabar, merempuh duri rotan dan memanjat pokok.

Sekiranya anda melakukan aktiviti ini secara berkumpulan, ia dapat memupuk semangat kerjasama dan kesabaran dalam mencapai kejayaan kumpulan.

*** Abseiling dan flying fox

Abseiling atau repelling adalah aktiviti menuruni pokok dengan menggunakan tali dari ketinggian yang ditetapkan.

Sementara itu, flying fox pula memerlukan anda menyeberangi tasik secara terbang dengan menggunakan tali yang diikat dari sebatang pokok ke sebatang pokok yang lain.

Pengunjung tidak perlu berasa bimbang dan gusar untuk melakukan aktiviti lasak sebegini kerana setiap aktiviti akan dipantau oleh jurulatih yang profesional.

Bagi anda yang pertama kami mencuba permainan ini, anda akan diberi pendedahan dan cara-cara permainan supaya selamat menyelesaikan 'misi' sukan tersebut.

Selain itu, peserta turut diberi penerangan mengenai peralatan seperti kermantle (tali), carabiner (cangkuk besi) dan harness (abah-abah).

*** Menyeberang tasik

Jika anda seorang peminat sukan air, jangan ketinggalan untuk mencuba kemahiran berhadapan dengan cabaran menyeberangi tasik.




Aktiviti ini memerlukan anda merentas tasik dengan menggunakan tali sepanjang 50 meter.

Peserta akan memakai jaket keselamatan sebagai langkah keselamatan sepanjang melakukan aktiviti yang menyeronokkan ini.

Varia!»

Ketokohan Bapa Perbankan Islam

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) menyampaikan Anugerah Diraja Kewangan Islam kepada Abdul Halim di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16