NEGARA

Pelajar tingkatan lima lari ikut 'Din'

Pelajar tingkatan lima lari ikut 'Din'


FOTO Zusyahirah (dalam bulatan) ketika bercuti bersama keluarganya baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU - Seorang gadis berusia 17 tahun hilang dari rumahnya dipercayai terpedaya dengan pujukan seorang lelaki bernama 'Din'.

Zusyahirah Ismail (gambar kecil), pelajar tingkatan lima sebuah sekolah dekat sini hilang dari rumahnya sejak Selasa lalu selepas keluar rumah menaiki basikal pukul 3.30 petang untuk latihan sukan di sekolah.

Menurut bapanya, Ismail Abdullah, 55, pada hari kejadian, anaknya yang dipanggil 'Ira' meminta duit RM1 untuk belanja air dan beliau menyerahkan duit itu tanpa soal panjang.




Menurutnya, beliau mula risau apabila anaknya itu masih tidak pulang petang tersebut, lalu bertindak keluar mencari Ira di rumah rakan-rakan anaknya itu pukul 8.30 malam.

"Apabila usaha itu gagal, saya ke sekolahnya keesokan hari dan selepas mendapati Ira tiada di sekolah, saya membuat laporan polis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir, di sini semalam.

Jelasnya, salah seorang rakan anaknya memberitahu, basikal Ira diletakkan berhampiran rumahnya tetapi dia tidak pasti bila ia diletakkan di situ.

"Di basikal itu kami jumpa beg sekolahnya yang mengandungi sepasang kasut sukan yang sepatutnya digunakan untuk latihan sukan," katanya.

Ujarnya, usaha menghubungi anaknya itu menggunakan telefon bimbit juga tidak berhasil kerana anaknya itu mematikan telefon bimbitnya.

"Tetapi pukul 1 petang semalam (kelmarin), Ira menjawab panggilan tetapi dengan jawapan 'hello' sebelum memutuskan talian," katanya.

Daripada cerita rakan-rakan anaknya itu, jelas Ismail, Ira mengikut seorang lelaki yang dipercayai teman lelakinya yang seringkali bertemunya di tepi pantai berhampiran rumahnya.

Menurut adik bongsu Ira, Zulaika, 10, dia pernah beberapa kali mengikut kakaknya bertemu lelaki tersebut di pantai berhampiran rumahnya.

"Nama lelaki itu Din, tinggal dekat Manir dan kerja welding (juru kimpal)," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, beliau sudah penat berusaha, malah sudah empat hari tidak ke laut menangkap ikan semata-mata mencari anak keenam daripada tujuh beradik itu.

"Kami telah buat solat hajat malam Khamis lalu dan berdoa agar Ira sihat dan pulang ke rumah dengan selamat," katanya.

Process time in ms: 32