NEGARA

Penyangak lebuh raya - <i>‘Longkai’ semakin agresif</i>

Penyangak lebuh raya - ‘Longkai’ semakin agresif


SEBUAH trak tunda memasuki laluan menghala ke km 34 Lebuh raya KL-Karak yang didakwa kerap berlaku kejadian ‘longkai’ menumpahkan minyak.


BENTONG – Demi wang, perbuatan tuang minyak di jalan kini semakin menjadi-jadi.
Setelah beberapa lebuh raya menjadi sasaran angkara pihak yang mengaut untung atau dikenali longkai, kini Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak pula menjadi tumpuan.

Malah selekoh selepas terowong di lebuh raya berkenaan dianggap ‘lubuk emas’ kepada longkai dan pengusaha trak tunda.

Lebih-lebih lagi ia jalan menuju Genting Highlands dan pusat peranginan Bukit Tinggi yang sentiasa dikunjungi ramai saban minggu.

Difahamkan, perbuatan itu bertujuan menyebabkan kenderaan terbabas dan berlaku kemalangan sebelum penyangak lebuh raya ini tiba-tiba muncul untuk menawarkan perkhidmatan trak tunda.

Antara mangsanya ialah seorang pemandu yang hanya mahu dikenali sebagai Razak yang berang dengan satu kejadian yang hampir meragut nyawanya sebelum cuti perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Akibatnya, kenderaannya gagal dikawal dan merempuh pembahagi jalan.

“Apabila saya tukar lorong, kereta saya mengelongsor tiba-tiba sebelum menghentam pembahagi jalan, setelah berhenti saya dapati kawasan itu di penuhi minyak,” katanya kepada KOSMO!.

Jelas Razak, tidak sampai lima minit selepas itu, sebuah lagi kenderaan terbabas dan berpusing di atas jalan sebelum terbabas ke dalam longkang.

“Ini nampak benar kerja longkai..mujur tidak ada sebarang kejadian buruk menimpa saya dan kereta dapat dipandu seperti biasa,’’ ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Razak, beberapa beberapa kilometer dari tempat itu, dia melihat lima buah trak penunda sedang menanti.


KAWASAN bertanda di Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak inilah yang didakwa antara lokasi 'longkai’ kerap mencurahkan minyak.


Malah beberapa rakannya juga mengalami nasih yang sama dan hampir terlibat dengan kemalangan selepas melalui selekoh yang sama.

Pada Disember lalu KOSMO! pernah melaporkan kejadian yang serupa mengenai kes kemalangan yang disengajakan semata-mata bagi menambah peluan bisnes kepada sesetengah pengusaha bengkel.

Semuanya gara-gara kegiatan ‘longkai’ atau ‘call man’ yang diupah oleh bengkel tertentu mencari wang dengan merancang banyak kemalangan.

Di Lembah Klang, ‘longkai’ berleluasa di Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Damansara-Puchong, Sungai Besi, Lebuh Raya Lembah Klang Utara, Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2, Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), Kajang Silk, Penchala Link dan Karak.

Mengulas perkara yang sama, Pengarah Institut Kajian Keselamatan Jalan Malaysia (Miros) Prof. Ir. Dr. Radin Umar Sohadi menjelaskan, selain minyak terdapat kaedah lain digunakan ‘longkai’ termasuk menabur guli dan kacang hijau di atas jalan.

Beliau menasihatkan agar mangsa perlu membuat laporan kepada LLM, syarikat konsesi terbabit dan pihak polis.

“Yang penting kena ambil gambar sebagai bukti,” ujarnya.

Process time in ms: 47