NEGARA

'Saya nikah Halina Julai 2009'

'Saya nikah Halina Julai 2009'


HALINA dan Sheikh Muszaphar


KUALA LUMPUR - Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha mengakui bakal mendirikan rumah tangga dengan buah hatinya, Dr. Halina Mohd. Yunos, 27, pada pertengahan Julai 2009.

Menurut beliau, Halina menjadi pilihannya setelah mereka saling mengenal hati budi masing-masing sejak masih menuntut di universiti lagi.

"Benar, saya kenal dia masa kami sama-sama menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," akuinya ringkas.

Pada 27 November tahun lalu, KOSMO! berjaya mendapatkan reaksi balas doktor dalam bidang kecantikan estetik di Prima Nora Women's Wellness Centre itu mengenai hubungannya dengan Sheikh Muszaphar.

"Saya serasi dan suka berkawan dengan Mus," kata Halina ketika itu tetapi pada masa yang sama Sheikh Muszaphar mengambil sikap mendiamkan diri tanpa memberi sebarang komen.

Ditanya lebih lanjut soal perkahwinannya, Sheikh Muszaphar dengan tenang berkata: "Saya tak mahu bercakap tentang hal kehidupan peribadi saya lagi."

Mengulas mengenai perkembangan terkini dirinya, beliau berkata, dia telah kembali kepada jawatan hakikinya sebagai pakar bedah di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) tetapi hanya bertugas seminggu sekali saja.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, pada 19 hingga 22 Februari ini beliau akan berlepas ke Rusia bagi meneruskan eksperimen berhubung dengan penerokaannya di angkasa lepas dengan pihak negara itu.

Tambahnya lagi, kemungkinan pada bulan Mac ini, jurnal yang memuatkan hasil eksperimen yang dijalankannya di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) akan diterbitkan dan bakal dipasarkan hingga ke peringkat antarabangsa.

Sebelum itu, kata Sheikh Muszaphar, buku tulisan arwah adiknya, Sheikh Mustapha Shukor yang bertajuk Mendukung Titian Ke Angkasa akan berada di pasaran terlebih dulu iaitu pada penghujung Februari ini.

"Buku setebal 100 muka surat itu akan diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Cina," katanya.

Buku itu secara keseluruhannya adalah catatan terperinci tentang Sheikh Muszaphar daripada kaca mata arwah dan perspektif beliau terhadap abangnya itu sejak zaman kanak-kanak sehingga bergelar angkasawan negara.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16