RENCANA UTAMA

Cendawan komersial - <br><i>Alah asap dan bau wangi</i>

Cendawan komersial -
Alah asap dan bau wangi

Pembiakan cendawan tiram kelabu secara komersial bukanlah satu proses yang sukar. Ia cuma memerlukan suhu yang lembap, tidak terdedah pada cahaya matahari dan kerja-kerja suntikan benih oleh pekerja mahir, organisma ini juga mempunyai pantang larang yang perlu dipatuhi.


Dengan kalori yang rendah, tinggi kandungan protein, chitin, zat besi, zink, fiber, vitamin dan mineral tiada siapa yang boleh menafikan kehebatan cendawan


SEJAK lima dekad lalu, organisma kecil seperti kulapuk cendawan, yis dan kulat memberi sumbangan yang besar dalam dunia perubatan.

Antibiotik pertama sendiri terdiri daripada ekstrak kulat. Ubat penicillin, tetracylene dan auremycin terhasil daripada kulapuk cendawan.

Organisma ini turut digunakan untuk mengkomersialkan produk seperti roti, bir, keju asid organik dan vitamin C.

Pil vitamin C yang anda ambil selama ini juga berasal daripada ekstrak sejenis kulapuk cendawan. Ini adalah antara khasiatnya oyang tidak diketahui ramai.

Cendawan hakikatnya adalah salah satu sumber makanan yang baik untuk kesihatan. Mengapa? Dengan kalori yang rendah, tinggi kandungan protein, chitin, zat besi, zink, fiber, vitamin dan mineral, tiada siapa yang boleh menafikan kehebatan cendawan.


CENDAWAN tiram kelabu boleh dipelbagaikan dalam hidangan.


Lantaran itu, tidak hairanlah cendawan yang popular dalam kuisin masyarakat Cina kini sudah menghiasi kulinari dunia. Di Malaysia populariti cendawan melonjak kerana permintaannya yang tinggi.

Hari ini terdapat pelbagai jenis cendawan di pasaran. Salah satu yang semakin popular ialah cendawan tiram kelabu.

Tetapi tahukah anda, cendawan tiram kelabu alah kepada bau-bauan dan asap seperti minyak wangi dan asap rokok kerana ia boleh menjejaskan pertumbuhannya?

Malah tanaman tersebut juga memerlukan kelembapan suhu sekitar 28 darjah Celsius pada waktu siang dan 25 hingga 26 darjah Celsius pada waktu malam.

Berbeza dengan tumbuhan lain yang memerlukan cahaya matahari yang banyak untuk melakukan proses fotosintesis, cendawan memerlukan 90 peratus kegelapan bilik dan berkeadaan tertutup untuk ia membiak dengan sihat.

Salah seorang pengusaha tanaman cendawan tiram kelabu di negeri Terengganu, Wan Hassan Wan Nawang, 48, memberitahu tanaman cendawan memerlukan kelembapan yang mencukupi untuk pertumbuhannya dan tidak memerlukan penjagaan yang sukar.

"Bagi memastikan tumbuhan itu mendapat kelembapan yang secukupnya saya telah membina rumah cendawan yang dikenali sebagai green house atau rumah hijau.

"Rumah hijau itu diperbuat daripada daun nipah yang dijadikan atap dan dinding yang berupaya memberi kelembapan secara semula jadi.

"Selain itu, pekerja-pekerja saya akan menyiram air ke atas lantai sebanyak dua kali sehari bagi melembapkan suhu di dalam rumah hijau itu pada waktu pagi dan tengah hari," katanya ketika ditemui di rumah cendawan miliknya yang terletak di Kampung Bukit Jong, Tepoh, Kuala Nerus, Kuala Terengganu.

Wan Hassan yang dibantu anak lelaki sulungnya, Wan Hafizi Wan Hassan, 24, mengusahakan projek tanaman tersebut sejak Oktober tahun lalu bersama 20 pekerja lain.


KERJA-KERJA memasukkan penutup dilakukan secara manual bagi memastikan silinder serbuk kayu mampat dan kemas.


Bekerja di rumah cendawan Wan Hassan, beliau mempunyai pantang larang tambahan yang mungkin kedengarannya agak pelik.

Jika di tempat kerja lain, memakai pewangi digalakkan semasa bertugas tetapi di rumah hijau cendawan Wan Hassan mengharamkan pekerja-pekerjanya daripada merokok dan memakai bau-bauan.

Peraturan itu penting bagi mengelakkan implikasi yang tidak diingini kepada tumbuhan itu kerana ia amat sensitif kepada unsur-unsur tersebut.

"Cendawan tidak boleh terdedah dengan asap atau bau-bauan yang terlalu kuat. Ini akan menjejaskan pertumbuhan dan kualitinya. Saya amat menitikberatkan mutu produk yang dihasilkan," katanya.

Wan Hassan sekarang memiliki tiga buah rumah cendawan seluas 20 x 80 kaki setiap satu. Ia berupaya memuatkan 30,000 bongkah kayu cendawan pada satu-satu masa.

Lelaki ini memulakan projek tanaman itu setelah mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Terengganu dan Jabatan Pertanian Muar, Johor yang banyak memberi bimbingan dan nasihat kepadanya tentang projek tanaman itu.

Sebelum cendawan mengeluarkan hasilnya, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membuat bongkah yang merupakan tempat di mana tumbuhan itu akan dibiakkan.

Kerja-kerja membuat bongkah dilakukan oleh lapan orang pekerja Wan Hassan yang bermula daripada memasukkan habuk kayu getah atau dedak padi halus yang dicampurkan dengan kapur pertanian ke dalam mesin adunan khas sehingga sebati.


WAN HASSAN WAN NANG menunjukkan rumah cendawan yang menggunakan daun nipah untuk memastikan suhu dingin.


Wan Hassan berkata, adunan tersebut akan dimasukkan ke dalam bungkusan plastik yang disediakan dengan anggaran berat satu kilogram bagi setiap satu bungkus bongkah.

"Kemudian, bongkah-bongkah tersebut akan ditutup dengan penutup khas agar ia tidak dicemari bakteria-bakteria dari persekitaran luar.

"Bongkah-bongkah kayu tersebut perlu berada dalam keadaan sederhana lembap yang terdiri daripada campuran air bagi menggalakkan pertumbuhan cendawan," katanya.

Setiap hari sebanyak 1,000 unit bongkah dapat dihasilkan sebelum dimasukkan ke dalam mesin pengewap bagi menghapuskan bakteria yang terdapat pada bongkah-bongkah tersebut.

"Mesin pengewap itu mampu mensterilkan 1,000 unit bongkah kayu sehari untuk tempoh lapan jam sebelum ia dibiarkan selama 48 jam di luar.

"Selepas tamat tempoh tersebut, bongkah-bongkah kayu itu akan diberi suntikan benih dengan anggaran satu sudu besar benih cendawan kulat tiram kelabu melalui penutup khas yang akan dibuka seketika untuk tujuan itu," katanya.

Jelas beliau yang memperoleh benih cendawan dari Johor dan Selangor, kerja-kerja suntikan itu akan dilakukan oleh seorang pekerja mahir.

"Ini kerana kerja-kerja suntikan adalah tugasan yang paling penting dan perlu dijaga rapi kerana pada peringkat ini aspek kebersihan amat dititikberatkan dan kecuaiannya boleh menyebabkan penghasilan benih yang kurang baik.

"Oleh itu, pekerja tersebut perlu sentiasa berkeadaan bersih dan memakai uniform khas. Sekiranya dia keluar dari bilik suntikan itu, dia dikehendaki memakai pakaian lain. Bilik suntikan juga perlu bersih," katanya yang mengakui proses menjaga cendawan bagaikan menatang minyak yang penuh.

Kemudiannya, setelah selesai tugasan menyuntik itu, cendawan-cendawan itu akan dibawa masuk ke dalam rumah hijau dan diletakkan di atas rak-rak yang ditetapkan. Seorang pekerja akan mencatat rekod seperti tarikh masuk dan tempoh bila ia akan dibuka.

Cendawan kulat tiram kelabu akan mengeluarkan hasilnya yang pertama pada hari ke-50 dan ke-60 iaitu apabila penutupnya boleh dibuka dan hasilnya dapat dipungut.

Seterusnya, penutup tersebut akan ditutup semula dalam tempoh seminggu sebelum ia dibuka semula bagi mendapatkan hasil yang seterusnya.

Rencana Utama!»

Tagih kehidupan baharu

Awal Muharam dijadikan titik permulaan kepada penghuni rumah pemulihan Perkid untuk mengubah kehidupan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15