RENCANA UTAMA

Kisah hitam ‘duta dadah’

Kisah hitam ‘duta dadah’

Penderitaan akibat penagihan dadah telah memercikkan api keinsafan dalam diri Duta Belia Benci Dadah 2006, Hafizi Harun, dan Rusbaiti Rosli yang menagih sejak usia 13 tahun. Kepada wartawan YEO LI SHIAN, mereka berkongsi cerita.




MUNGKIN benar kata orang, jika tidak jatuh tersungkur, masakan tahu manisnya jika bangun semula. Najis dadah yang pernah menjadi ‘penyeri’ hidup dan penjara pula rumah kedua, kini hanya tinggal memori silam.

Jika lebih sedekad lalu, beliau dipandang hina seperti sampah masyarakat, gelaran itu tidak lagi relevan baginya kini.

Hari ini, Hafizi Harun sudah boleh tersenyum lebar. Senyuman itu katanya, bukan bererti lega. Tetapi tanda bangga dengan anjakan hidup yang dipilihnya.

Lelaki berusia 30 tahun yang suatu ketika dahulu terjerumus ke dalam lubuk dadah akibat kenaifan dan perasaan ingin tahu, kini menjelajah dunia bagi memberi ceramah yang diharap dapat menginsafkan masyarakat tentang buruknya kesan dadah terhadap diri sendiri, keluarga, bangsa, agama dan negara.


HAFIZI HARUN yang fasih berbahasa Inggeris mahu menjadi pakar mengenai penagihan dadah.


Dilantik sebagai Duta Belia Benci Dadah (2006) oleh Kementerian Belia dan Sukan, selain menjadi Duta Belia Komanwel dari tahun 2002 sehingga hari ini, Hafizi adalah bukti hidup yang boleh dijadikan rujukan.

Kata Hafizi, jika bukan kerana tersedar awal daripada kesilapan serius menagih, agaknya beliau masih hidup merempat di jalanan. Kehidupannya pada ketika itu ibarat, hidup segan, mati tak mahu.

Namun, sepanjang bergelar Duta Belia Komanwel menerusi Program Belia Komanwel, Hafizi telah berkunjung ke tujuh buah negara untuk tujuan murni ini. Ia satu pencapaian yang tidak pernah terlintas di fikirannya. Antara negara yang telah dilawatinya termasuk Britain, Amerika Syarikat (AS), Maldives, Indonesia dan Brunei.

Tugas penting selaku duta termasuk penganugerahan Duta Belia Negara 2006 yang disampaikan oleh Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dianggapnya peluang terbaik untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Ketika memberi ceramah di luar negara misalnya di Pakistan, saya sedar betapa bertuahnya rakyat Malaysia. Di sana, penduduk hidup dalam ketakutan dan dihimpit kemiskinan.

“Penagih-penagih dadah di Pakistan turut dipulaukan oleh masyarakat. Tiada bantuan pemulihan yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan. Tidak seperti di Malaysia,” katanya yang berada di Pakistan selama tiga bulan.

Bercerita lanjut, Hafizi yang kini melanjutkan pelajaran dalam jurusan psikologi tahun pertama di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, psikologi dipilih kerana subjek tersebut dekat dengan hatinya.

“Dulu rasa seperti sampah, orang pun tak pandang. Sekarang, saya dijemput sebagai penceramah. Kadang-kadang saya rasa seperti bermimpi. Jika dibandingkan dengan kehidupan dahulu, saya kini lebih mengenali diri sendiri,” katanya.


PENAGIHAN dadah di kalangan belia suatu masalah yang serius. Namun Hafizi dan Rusbaiti telah membuktikan ketagihan itu boleh dilawan. – Gambar hiasan.


Selain belajar, Hafizi yang sudah 11 tahun menjadi sebahagian daripada Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), turut diberi tugas penting menyandang jawatan pengurus latihan. Menurutnya, jawatan itu memberinya peluang melatih staf-staf di Pengasih.

Di universiti pula, para pensyarah dan kawan-kawan banyak memberi dorongan dari aspek pengajian. Jadi, tidak timbul soal disisihkan kerana katanya, cara beliau mempersembahkan idea dan berkomunikasi banyak membantunya meraih kepercayaan kembali.

Sepanjang perbualan dengan anak sulung daripada empat beradik ini, daya kepimpinan dalam dirinya cukup terserlah.

Berkali-kali menekankan enggan mengungkit kisah silam, Hafizi merenung jauh mengimpikan masa hadapan yang lebih cerah.

“Saya selalu percaya dalam sesuatu yang buruk pasti ada baiknya. Bagi yang sudah tersalah pilih jalan, jangan banyak merungut dan hanya tengok pada kelemahan. Sebaliknya, pertingkatkan diri dan fokus pada kekuatan,” katanya yang mula terjerumus dalam najis dadah seawal usia 13 tahun. Mencecah usia 18 tahun, beliau sudah dikira penagih tegar bagi dadah jenis heroin.

Bercakap daripada pengalaman sendiri, Hafizi yakin penagih-penagih dadah tegar boleh berubah asalkan ada niat dan sokongan daripada masyarakat.

Beliau yang amat terhutang budi kepada beberapa individu penting seperti Presiden Pengasih, Mohd. Yunus Pathi, ibu sauadara, nenek dan datuknya berharap masyarakat dapat menerima semula bekas-bekas penagih yang telah bertaubat.

“Walaupun saya jahat, nenek tak pernah buang saya. Itulah yang membuatkan saya ingin berubah. Begitu juga kepada Tuan Haji (Mohd. Yunus Pathi) yang banyak memarahi sehingga saya sedar untuk tidak terus hanyut,” jelasnya penuh makna.

Apakah perancangan masa depannya? Lelaki berkulit cerah dan fasih berbahasa Inggeris ini menjawab: “Saya berharap akan menjadi seorang pakar mengenai penagihan dadah suatu hari nanti. Di AS, terdapat profesion yang mengkaji ketagihan tetapi belum ada lagi di Malaysia.

“Disebabkan saya pernah bergelar penagih dadah dan bebas daripada cengkamannya, saya percaya kerjaya ini dapat membantu lebih ramai memahami topik ini dan keluar daripada kongkongan dadah,” tambahnya panjang lebar.

Habis RM600 sehari


RUSBAITI telah keluar masuk penjara sejak berusia 15 tahun.


RUSBAITI Rosli, 22, pernah suatu ketika dahulu menghabiskan RM600 sehari semata-mata untuk mendapatkan satu lot morfin.

Mula terjebak dalam dadah sewaktu berada di Tingkatan Satu, katanya, ia berlaku akibat pengaruh teman lelaki yang 20 tahun lebih tua daripadanya.

“Saya sedar adalah bodoh menyentuh dadah biarpun sekali.

“Setelah enam bulan bersama, baru saya tahu, teman lelaki adalah penagih. Masa itu, saya pujuk dia berhenti tetapi tidak berjaya. Akhirnya, untuk membuktikan bahawa tidak susah meninggalkan tabiat ini, saya pun mencuba sendiri. Tetapi cubaan itu akhirnya memakan diri,” cerita gadis jelita ini.




Ketika rakan sebayanya menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada usia 15 tahun, anak kelahiran negeri Kelantan ini sudah berkali-kali keluar masuk penjara. Malah, baginya perbuatan mencuri duit ibu demi memuaskan nafsu dadah juga tidak sedikit pun menginsafkan.

Walaupun penjara ibarat rumah kedua baginya, akui Rusbaiti, jauh sekali hatinya terbuka untuk keinsafan mahupun untuk berubah sehinggalah ternampak wajah Yunus Pathi di kaca televisyen.

“Masa masuk penjara, ramai kenalan dan tiada apa yang perlu ditakutkan kerana duduk di bilik berasingan. Maklumlah, saya bawah umur.

“Tapi suatu hari, selepas keluar dari penjara dan ternampak Yunus Pathi di televisyen, timbul niat untuk berhenti. Jadi, saya pun mintalah bantuan ibu untuk carikan dan masukkan saya ke Pengasih,” katanya berkongsi cerita.

Kini, selepas lapan bulan, Rusbaiti, bekas pekerja salon kecantikan ini menyimpan hasrat membuka butik kecantikan setelah pulih sepenuhnya daripada kekangan najis dadah.

“Dulu, pernah terfikir, mungkin sampai mati pun nak hisap dadah. Tetapi jika kita pandai memilih kawan dan teman lelaki, susah terjerumus dalam kancah dadah. Kenal dahulu siapa dia kerana purata satu dalam 10 orang adalah pengguna dadah.

“Bersosial boleh, tapi jangan sesekali mencuba dadah. Ingatlah nasihat ini,” pesan Rusbaiti.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 78