RENCANA UTAMA

Ragam kucing bila berfesyen

Ragam kucing bila berfesyen

Memang seronok melihat keletah si comel dalam busana berwarna-warni setiap kali menyertai pertandingan. Namun, bukan semua kucing suka didandan, silap langkah dicakar pula.




MENGGUNAKAN kain dengan corak pua kumbu, anak muda ini tekun menjahit baju untuk 'pelanggan' pertamanya. Walaupun ringkas, rekaan yang dihasilkan itu mestilah bercirikan etnik kontemporari dengan elemen masyarakat Iban Sarawak yang kental.

Selepas dua hari membuat lakaran sebelum dijahit tangan, rekaan yang terdiri daripada satu ikat kepala, baju yang lengkap dengan bunga dan gaun ini sedia untuk dipakai. Modalnya murah sahaja, satu meter kain dengan kos tidak melebihi RM50.

Jangan salah sangka, Freddie Mindeng, 25, bukannya mahu menyaingi pereka fesyen ternama seperti Tom Abang Saufi, Hatta Dolmat, Riezalman atau nama-nama pereka tersohor yang lain. Sebaliknya, promoter di Sunway Pyramid ini lebih suka mereka pakaian untuk kucing, bukannya model-model cantik yang bertubuh langsing.

Percubaan pertama Freddie nyata membuahkan hasil. Rekaannya itu berjaya menambat hati juri untuk menganugerahkannya tempat kedua dalam kategori yang julung-julung kali disertainya.

"Suka-suka sahaja masuk pertandingan ini, tidak sangka pula terpilih jadi pemenang. Saya tidak pernah buat baju untuk kucing sebelum ini, tetapi apabila dapat tahu ada pertandingan pakaian beragam kucing, saya pun cubalah.

"Susah juga hendak menjahitnya. Bagi pertandingan tahun hadapan, saya merancang untuk menghasilkan baju kimono dan pakaian tradisional masyarakat Iban yang penuh dengan manik-manik," kata anak kelahiran Sarawak ini sambil tersenyum.

Pertandingan Kucing Antarabangsa Kelab Kucing Malaysia (MCC) yang berlangsung di pusat beli-belah South City Plaza, Sri Kembangan Selangor pada hujung minggu lalu cukup meriah.


SEBAHAGIAN daripada pemilik kucing yang menyertai Pertandingan Kucing Antarabangsa MCC di pusat beli-belah South City Plaza, Seri Kembangan, Selangor.


Pengunjung juga tidak melepaskan berpeluang untuk melihat baka kucing yang jarang didengar seperti Bengal, Sacred Birman, Sphynx, Oriental, Cornish Rex, American Curl, Maine Coon dan banyak lagi secara dekat.

Dianjurkan secara bersama MCC dan syarikat pengeluar makanan kucing dan anjing, IAMS juga seakan menjadi gelanggang untuk menunjukkan kreativiti dalam menghasilkan kostum terbaik buat binatang peliharaan comel ini.

Kew Yon Sam, 55, yang mempunyai kedai pengantin dan juga seorang pak andam memberitahu, dia mula membuat baju kucing sejak berusia 20-an apabila diminta oleh pelanggannya.

"Pada awalnya, tidak banyak kucing yang menyertai pertandingan pakaian beragam tetapi kini bilangannya makin meningkat. Ringkas sahaja hendak membuatnya, kadang-kadang dijahit dengan bunga ataupun letak bulu ayam. Memandangkan ramai pemilik kucing yang buat fesyen lebih kurang sama, saya tukar corak yang lain pula.

"Kalau hendak buat baju kembang, paling kurang kain mesti dua meter. Saiz baju diambil berdasarkan kepada pakaian untuk budak-budak berumur dua atau tiga tahun.

"Biasanya proses menjahit akan mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan. Sementara harga pula bergantung kepada jenis kain iaitu sekitar RM100 hingga RM500 sepasang," jawabnya sebelum dia melatah kerana diusik oleh seorang rakannya.

Sebenarnya, selain baju atau kain, aksesori yang paling susah untuk dihasilkan ialah topi. Apakah perubahan dalam fesyen baju kucing? Lelaki Cina yang lebih mesra dengan panggilan Ah Seng ini menyatakan, pemilik kucing lebih cenderung memilih warna-warna terang termasuklah merah, biru atau perak selain dihiasi dengan labuci, bunga dan manik.

Bagi seorang lagi yang gemar membuat baju kucing, Zailatul Azrina, 45, baju itu dibuat kira-kira sebulan sebelum satu-satu pertandingan berlangsung. Jenis kain yang biasa digunakannya ialah jenis sifon.

"Tidak payah hendak ukur badan kucing itu, agak-agak sahaja. Cuma bahagian leher sahaja penting untuk diukur. Remeh juga nak siapkan, maklumlah kena letak labuci," katanya yang mempunyai 10 pasang baju kucing sepanjang 13 tahun berkecimpung dalam pertandingan kucing.

Mengikut tema yang disyaratkan oleh satu-satu pertandingan, dia yang juga bekerja sebagai mak andam ada menghasilkan pakaian tradisional (baju kucing) seperti baju Kelantan dan sari.

Sebagai peminat kucing sejak kecil, Zailatul memelihara sebanyak 23 ekor kucing pelbagai baka termasuklah Parsi, Oriental dan Balinese. Biarpun belanja memelihara kucing bukanlah murah, tetapi dia tidak pernah berkira.


KOSTUM ini bukan saja diperbuat daripada fabrik mewah, malah harganya juga mencecah ratusan ringgit.


Noraida Ahmad, 42, seakan tidak boleh berhenti tersenyum apabila pakaian rekaannya yang diberi nama Evening Ocean Blue diumum sebagai juara Pakaian Beragam Kucing pada petang itu.

"Rekaan baju kucing ini terhasil daripada gabungan pakaian macam baju pengantin dan sebagainya. Saya bersemangat untuk buat baju kucing sebab hendak bersaing dengan peserta yang lain. Bajetnya dalam RM200 untuk sehelai baju. Saya selalunya memilih warna terang kerana ia boleh tarik perhatian juri," jelas Noraida yang sudah tujuh kali dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam pertandingan seumpamanya.

Seorang pembiak kucing eksotik baka Sphynx, Norazizan Kamarudin pula menamakan rekaan baju kucingnya sebagai Princess Viva Forever. Baju gaun berwarna putih ini sarat dengan bunga-bunga kuning, lengkap bersama topi berbentuk mahkota berwarna sedondon.

"Saya akan beritahu jenis kain yang dimahukan. Anggaran bayarannya sekitar RM300 hingga RM450 sepasang, siap dengan topinya sekali. Saya suka terapkan konsep fesyen masa depan, sebab itulah banyak guna warna perak, coklat, putih dan warna-warna pastel. Sementara kain pula, saya pilih kain organza," ujarnya yang menyatakan mendapat kepuasan ketika mereka bentuk baju untuk kucing-kucingnya.

Biarpun pemilik kucing ini ghairah untuk membuat dan memakaikan binatang kesayangan mereka dengan baju, anda perlu tahu bahawa bukan semua kucing sukakannya.

Sekali pandang, binatang peliharaan ini seakan kurang selesa dengan apa yang dipakaikan pada tubuhnya. Ia meliuk- lentuk dan sekali-sekala cuba mencakar baju atau topi yang ada di atas kepalanya.

"Bukan kucing itu tidak mahu pakai, tetapi bila sudah pakai baju, dia buat hal kerana rasa tidak selesa. Selain itu, kena pilih kucing yang jinak, kucing garang susah kita hendak pakaikan baju. Silap-silap kita kena cakar pula," cerita Noraida, ketawa kecil.

"Kita perlu tahu kucing mana yang boleh pakai baju dan bergaya. Kalau paksa, memang tidak boleh.

"Saya sudah dapat kenal pasti kucing yang suka pakai baju. Setakat ini hanya ada tiga ekor sahaja," celah Norazizan.

Infiniti!»

Perabot daripada kayu pain terpakai

KAYU pain disimpan rapi di dalam bengkel untuk mengekalkan ketahanannya sekali gus tidak mudah rosak.

Varia!»

Melahirkan jutawan bidang penternakan

SITI FATONAH (dua dari kanan) bersama Mohamad Jamil (dua dari kiri) di hadapan Akedemi Usahawan MJ Fatonah di Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0