HIBURAN

Liza tidak patah semangat

Liza tidak patah semangat




DIA menjadi sebutan banyak pihak yang menganggap penyanyi yang berwajah hitam manis ini akan membawa kelainan dalam dunia seni selepas menjadi naib juara Golden Teen Search pada tahun 1994.

Mempertaruhkan bakat yang terpendam, pada tahun 1994, album bertajuk Epilog menjadi titik permulaannya untuk bergelar anak seni yang berjaya dan selepas itu, satu demi satu album dikeluarkan iaitu Di manakah Ku cari Ganti (1998), Puteri Jelmaan (1999), Istimewa (2000), Isyarat Jiwa (2001) dan Ku Teruskan (2002).

Selepas itu, selama tiga tahun dia menyepi seketika dan pada tahun 2006 penyanyi ini mula giat menghasilkan album di bawah label syarikatnya sendiri, LH Media Sdn. Bhd.

Bagaimanapun, susah payah menghasilkan album dengan bermodalkan RM100,000, menjadi teramat pahit dirasakan apabila melihat hasil kerja yang dibuat, seperti tidak diendahkan.

Itulah dia, penyanyi Liza Hanim atau nama sebenar Haliza Hanim Abd Halim yang telah memasarkan album terbarunya, Imagin, dibawah labelnya sendiri sejak enam bulan lalu tetapi albumnya seperti kurang menyerlah malah masih ramai yang tidak tahu apakah keistimewaan album berkenaan.

Rasa geram, sedih dan kecewa. Gelora itulah yang sedang ditempuh penyanyi yang berusia 29 tahun ini.


ALBUM Imagin dihasilkan dengan menggunakan wang Liza sendiri.


Album Imagin dilihat sangat penting dalam karier seni penyanyi itu berikutan album yang diterbitkan Liza Hanim menggunakan duit poketnya sendiri.

Patah semangat? Jauh sekali. Usaha demi usaha dilakukan untuk memperkenalkan lagu-lagu barunya.

"Telah lama saya fikirkan perkara itu, memandangkan album ini merupakan pelaburan besar bagi saya sendiri, kini saya sedang merangka promosi untuk album Imagin.

"Insya-Allah kalau tidak ada aral melintang saya akan muncul di beberapa tempat bagi tujuan promosi dan bertemu peminat," jelas Liza Hanim kepada penulis.

Ditanya mengenai lagunya yang tidak pernah kedengaran langsung di corong radio, penyanyi yang berasal dari Selangor itu berkata, dia turut hairan walaupun telah berusaha menghantar lagu album barunya kepada sebuah stesen radio popular, lagunya langsung tidak dimainkan. Cuma beberapa radio sahaja yang memainkan lagunya.

"Jika lagu saya tidak dimainkan, sudah pasti tidak ramai yang tidak tahu mengenai lagu terbaru saya dan rasanya, saya tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan terhadap mereka (pihak radio)," ujarnya bingung.

Bagaimanapun, berkat usahanya sendiri sambil dibantu teman rapat dan keluarganya, dia kini mampu menghembuskan nafas lega apabila memperolehi kembali suku daripada modal yang dilaburkan untuk album ketujuhnya.

"Saya yakin dengan kekuatan album Imagin. Album ini jauh berbeza dengan album yang terdahulu, rasanya masih ramai peminat belum mendapatkan album ini kerana tak ramai yang tahu," akuinya.

Kesungguhan Liza merancang sendiri rangka promosi album kali ini sepatutnya menjadi iktibar kepada rakan artis yang lain.

Dalam konteks ini, nama Liza Hanim bukanlah satu nama yang asing dalam industri muzik tanah air.

Daripada sini mungkin dapat dibuat penilaian bahawa tanpa usaha bersungguh-sungguh seseorang artis itu tidak akan mencapai kejayaan walaupun mempunyai rekod cemerlang sepanjang karier seninya.

Menyentuh mengenai perkembangan terbarunya, Liza Hanim bakal ditampilkan dalam pertandingan Ikon Malaysia musim ke dua terbitan stesen televisyen, Astro.


PERSEMBAHAN pentas Liza Hanim tidak pernah menghampakan.


Menurut Liza, pertandingan ini sebenarnya merupakan satu platform dalam mempromosikan albumnya.

"Saya akan menggunakan Ikon Malaysia untuk menaikkan lagu saya serta mengetengahkan bakat bukan sahaja kepada pencinta muzik tempatan tetapi juga di luar negara terutama Indonesia," ujarnya yang turut menyatakan kesukaran artis tempatan untuk dibawa masuk ke negara seberang.

Tambahnya, inilah masanya untuk para artis tempatan menonjolkan bakat kepada masyarakat luar melalui Ikon Malaysia yang bakal menemui penonton pada Jun ini.

"Bukan senang untuk memperdengarkan lagu-lagu kita kepada orang luar. Lebih-lebih lagi negara Indonesia yang setia dengan penyanyi mereka sahaja," katanya sambil berkata, rakyat tempatan juga harus mengikut langkah masyarakat Indonesia yang lebih mengutamakan artis mereka sendiri daripada negara luar.

Walaupun masih lama lagi pertandingan itu bakal diadakan, Liza memberitahu, dia sudah mula mencari lagu-lagu yang sesuai untuk dibawakan pada Ikon Malaysia nanti.

Topik perbualan kami bertukar pula penulis bertanyakan mengenai pemakaiannya yang semakin terdedah selepas membintangi teater P. Ramlee The Musical.

"Ya ke seksi? Pemakaian saya masih sama seperti dulu, sopan. Tidaklah sehingga menunjukkan lurah kepada umum," jelas Liza yang pernah membintangi filem KL Menjerit dan Laila Isabella.


TIDAK ada istilah patah semangat dalam kehidupan Liza Hanim.


Kontroversi mengenai tanda salib berwarna putih pada gaun yang dipakainya turut mengejutkan penyanyi tinggi lampai ini pada sambutan Tahun Baru 2008 di KLCC.

"Sumpah, saya langsung tidak perasan mengenai tanda itu. Sebelum membelinya, gaun itu kelihatan cantik pada pandangan mata saya lalu terus membelinya.

"Saya memohon maaf jika ada yang terkecil hati mengenai pakaiannya pada hari itu," ujarnya ikhlas.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31