NEGARA

Ada klinik di KL juga jual – Pengasih

Ada klinik di KL juga jual – Pengasih

KUALA LUMPUR – “Tindakan itu memang salah dan dia boleh diambil tindakan.”
Demikian tegas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, apabila mengulas tindakan seorang doktor yang menjual pil khayal kepada penagih dadah.

Menurut Abdul Latiff, doktor terbabit tidak sepatutnya menjual pil itu lebih-lebih lagi kepada penagih kerana ia telah melanggar etika sebagai seorang doktor.

“Jika mengikut undang-undang, seorang doktor boleh memegang 1,000 pil tetapi ia mestilah digunakan untuk tujuan perubatan sahaja dan bukan dijual kepada golongan penagih dadah,” katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.

Abdul Latiff kemudiannya memberitahu, tindakan tegas boleh diambil ke atas doktor berkenaan selain tindakan tatatertib di bawah Akta Kesihatan.

“Selain tindakan tersebut, seseorang doktor yang didapati melanggar etika, lesen mereka juga boleh ditarik semula bagi mengelakkan mereka meneruskan perniagaan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) percaya masih banyak lagi klinik-klinik swasta telah menyalahgunakan penjualan pil khayal itu kepada penagih dadah.

Presidennya, Mohd. Yunus Pathi Mohd. berkata, dormicum yang sepatutnya menjadi alternatif kepada rawatan pemulihan ketagihan dijadikan alat untuk mengaut keuntungan.

“Kami percaya ada klinik di sekitar Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain yang menjalankan kegiatan seperti klinik di Langkawi ini.

“Doktor-doktor ini mengambil kesempatan di sebalik program dadah gantian dengan menjual pil khayal itu dengan harga yang mahal dari sepatutnya iaitu RM5 hingga RM7 sebiji,” katanya.

Jelas Mohd. Yunus, pil khayal dormicum sepatutnya menjadi salah satu rawatan alternatif bagi menangani masalah ketagihan selain metadon.

Namun ujarnya, penagih-penagih kini menjadikan pil tersebut sebagai ‘ramuan‘ tambahan untuk lebih mengkhayalkan dan mengasyikkan mereka menagih.

“Bila doktor menjadi dalang maka lebih mudahlah penagih untuk terus menagih dan ini akan mengagalkan usaha kerajaan untuk mencapai sifar dadah pada tahun 2015,” katanya.

Sehubungan itu, ujar Mohd. Yunus, pemantauan dan pemeriksaan kerap perlu dilakukan pihak berkuasa untuk menangani masalah penjualan pil-pil ini secara berleluasa.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47