NEGARA

Bayar RM50 gugur kandungan

Bayar RM50 gugur kandungan


WANITA yang dirahsiakan namanya ini menceritakan pengalaman menggugurkan kandungan dengan mengambil pil kepada wartawan KOSMO! di rumahnya di Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR – Di zaman yang moden ini, menggugurkan kandungan tidak begitu sukar lagi.
Berbanding menggunakan nanas muda, penggunaan herba tertentu atau menggunakan alat tajam tertentu seperti yang dipaparkan filem Melayu, menggugurkan kandungan sudah tidak seazab mana.

Kini dengan hanya RM50, seorang wanita yang ‘mengandung’ anak luar nikah, boleh ‘mencuci’ benih yang tidak berdosa tanpa perlu menggugurkannya di klinik atau dilakukan oleh pakar.

Malah, gadis-gadis terbabit mampu melakukannya secara sendirian di rumah tanpa disedari sesiapa pun mengenai perbuatan haram mereka dan ia tidak menyakitkan pula.

Caranya begitu mudah, iaitu dengan mendapatkan pil ‘***m**** * dan ‘*******t’ yang dijual berleluasa dan terbuka di klinik-klinik bersalin swasta di ibu negara.

Dengan membayar wang sebanyak itu, mereka boleh membeli sehingga enam biji pil dan ia perlu dimakan dalam masa tiga hari sebelum kesannya dapat dilihat.

Untuk membelinya pula, wanita itu hanya perlu memberitahu doktor bahawa mereka tidak didatangi haid dan ia sudah cukup untuk membolehkan mereka mendapatkan pil tersebut.

Wartawan KOSMO! yang berpura-pura mempunyai teman wanita yang ‘mengandung’ dengan mudah memperoleh pil berkenaan.


PIL untuk mengugurkan janin yang semakin mudah dibeli dibimbangi menggalakkan seks luar nikah.


Doktor hanya bertanya beberapa soalan mudah seperti umur dan untuk kegunaan apa ubat yang dibeli, selain turut menawarkan khidmat menggugurkan kandungan jika perlu.

Menurut seorang doktor sakit puan yang hanya dikenali sebagai Mahinder, pil tersebut boleh menghasilkan goncangan pada rahim dan kandungannya boleh terjejas dengan mudah.

Ini kerana embrio masih lagi bersifat seketul daging dan proses pengguguran lebih senang selain kurang risiko.

Selain pil berkenaan, KOSMO! difahamkan terdapat juga klinik bersalin swasta yang menjual ubat seperti **t**** dan *****c**** yang tujuan asalnya untuk digunakan khusus untuk membantu wanita bersalin tetapi disalahgunakan untuk tujuan menggugurkan janin.

Seorang wanita yang pernah menggunakan kaedah itu, Ain, (bukan nama sebenar) 25, memberitahu, dia telah tiga kali melakukan pengguguran secara sendirian dengan menggunakan pil berkenaan.

“Saya menjadi ‘call girl’ ketika menuntut di sebuah universiti selepas terpengaruh dengan kehidupan mewah rakan lain dan sepanjang tiga tahun bergelumang dengan kerja itu saya telah mengandung sebanyak tiga kali,” katanya.

Katanya, pada mula dia sangat takut selepas menyedari dirinya mengandung tetapi rakannya yang lebih senior dalam ‘kerjaya’ itu menyakinkan Ain supaya menggugurkan kandungan itu secara sendirian.

Menurutnya, kali pertama melakukan pengguguran, dia sangat takut dan mengalami tumpah darah yang banyak sehingga terpaksa terperuk selama seminggu dalam bilik.

“Sakit sangat sehingga saya tidak mampu berjalan tetapi senior banyak membantu menjaga dan memberi rawatan kepada saya.

“Kejayaan kali pertama itu menyebabkan saya lebih yakin dan saya lebih rela menanggung sakit daripada aktiviti saya diketahui sehingga memberi aib kepada keluarga,” ceritanya.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31