NEGARA

Tanam gandum di Perlis?

Tanam gandum di Perlis?

Alternatif atasi isu kekurangan bekalan tepung




TIADA lagi roti canai di restoran mamak, kuih raya tidak jadi dibuat, bahkan harga makanan berasaskan tepung juga boleh naik tiba-tiba ialah antara kesan kekurangan bekalan tepung gandum di pasaran.

Peniaga yang menyorokkan tepung untuk menaikkan harga mungkin pihak pertama disalahkan berikutan masalah ini. Dan salah satu penyelesaiannya ialah mengimport lebih banyak bahan makanan itu. Namun bagaimana jika bekalan di negara asal sememangnya berkurangan.

“Antara cadangan yang boleh dibuat ialah kita menanam gandum dalam usaha mengatasi isu kekurangan bekalan tepung selain memanfaatkan begitu banyak tanah terbiar,” jelas saintis di Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) di Seberang Perai Utara, Dr. Suhaimi Osman.


BIJIRIN gandum.


Beliau yang dihubungi KOSMO! Ahad berkata, perkara itu bukan mustahil kerana berdasarkan kajian, gandum sebenarnya boleh ditanam di Malaysia. Cuma tambah beliau, buat permulaan ia memerlukan penyelidikan khas bagi memastikan kos tanaman itu praktikal dan efektif.

“Dari segi kesesuaian tanah, negeri Perlis dikenal pasti sesuai untuk menanam gandum kerana cuaca dan bentuk muka bumi,” kata Suhaimi. Untuk rekod, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang merupakan negeri-negeri yang beriklim tropika.

Ini berbeza dengan negeri-negeri lain yang beriklim khatulistiwa. Pengaruh iklim itu membolehkan tumbuhan itu serasi dengan tanah seperti di negara pengeluar gandum antaranya India, Iran, Mesir, Pakistan dan Turki.

Pandangan itu turut dipersetujui pensyarah Bahagian Teknologi Makanan di Universiti Sains Malaysia, Dr. Nurul Huda yang menambah, Malaysia dari sudut ekonomi tidak boleh selama-lamanya mengimport gandum.

“Malaysia memiliki ramai pakar dan kita boleh lihat contoh tanaman anggur yang suatu ketika dianggap mustahil, namun hasil kecanggihan teknologi, buah itu sudah banyak ditanam di negara ini,” jelasnya.

Perlis, ujar Nurul, merupakan lokasi sesuai penanaman gandum kerana permukaan geografi mendatar dan ini dapat dilihat daripada kejayaan negeri terkecil itu kini menjadi pengeluar tebu terbesar di Malaysia.

Dari sudut lain, tanaman gandum boleh mengoptimumkan tanah pertanian secara efisien kerana Malaysia tidak seperti di Barat yang memerlukan tempoh penanaman sehingga 130 hari akibat sering diganggu cuaca sejuk.

Ketika ini, dianggarkan 626 juta tan bahan itu dihasilkan di seluruh dunia dengan China menguasai satu perenam pasaran. Setiap orang secara perkapita mengambil 101 kilogram gandum setahun.

Ini bermakna gandum merupakan bahan asas makanan di muka bumi tetapi Malaysia langsung tidak termasuk dalam senarai 33 negara pengeluar meskipun rakyat negara ini penggemar roti canai terbesar di dunia.

Jika cadangan menanam gandum di negara ini menjadi kenyataan, mungkin suatu hari nanti rakyat Malaysia boleh menikmati hidangan lazat roti canai tanpa risau masalah bekalan dan harga tepung gandum yang terus melambung tinggi.

Rencana Utama!»

Reggae denyut nadi Jamaica

BOB Marley telah meletakkan muzik reggae di peta dunia dengan lagu-lagu menarik nyanyiannya.

Pemotoran!»

Sehangat aksi di litar lumba

PORSCHE 911 GT3 mengambil masa kurang daripada empat saat bagi mencapai kelajuan 100km/j.

Varia!»

Cerai melalui talak taklik

LAFAZ taklik biasanya diucap selepas selesai akad nikah dan isi kandungannya adakalanya berbeza mengikut negeri. - Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16