DUNIA

Legenda catur meninggal dunia

Legenda catur meninggal dunia

REYKJAVIK, Iceland – Bekas juara catur dunia, Bobby Fischer (gambar) meninggal dunia pada usia 64 tahun disebabkan sejenis penyakit semalam.




Fischer yang menewaskan Boris Spassky dari Rusia pada 1972 untuk menjadi juara dunia, dianggap oleh segelintir pakar catur sebagai pemain terbaik sepanjang zaman.

“Saya mengesahkan bahawa dia meninggal dunia kerana sejenis penyakit di rumahnya,” kata seorang rakan rapat Fischer, Gardar Sverrisson.

Fischer yang dilahirkan di Chicago, Amerika Syarikat (AS) pada 9 Mac 1943 dan diberikan kewarganegaraan Iceland pada 2005.

Dia merupakan satu-satunya rakyat Amerika yang bergelar juara catur dunia apabila memenangi pertembungan klasik Cold War di Reykjavik pada 1972.

Gagal untuk mempertahankan gelarannya di Manila pada 1975, badan catur dunia kemudian menganugerahkan gelaran itu kepada pencabarnya, Anatoly Karpov.

Pada usia 13 tahun, Fischer telah dinobatkan sebagai juara remaja AS dan memenangi Terbuka AS pada tahun berikutnya serta bergelar pemenang acara grandmaster antarabangsa paling muda dalam usia 15 tahun.

Fischer melanggar arahan pihak berkuasa AS kerana beraksi menentang Spassky di Yugoslavia pada 1992, ketika negara itu menjadi sasaran sekatan Washington berikutan peperangan.

Dia kemudian menghilangkan diri selepas memenangi perlawanan itu yang menyaksikannya memperoleh sebanyak AS$3 juta (RM9.8 juta) dan hanya muncul kembali selepas serangan 11 September 2001 di AS.

Dalam satu temu ramah bersama stesen radio Filipina, Fischer memuji serangan tersebut dan berkata dia mahu melihat kejatuhan AS.

Dia dikatakan mempunyai IQ yang lebih tinggi berbanding tokoh saintis, Albert Einstein.

Fischer juga membuat tawaran tinggi untuk beraksi dalam perlawanan sama seperti yang dilakukan oleh petinju terkenal. – Agensi

Process time in ms: 47