NEGARA
Terbiar sejam
Pelajar mati selepas koma akibat terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah.

SUBANG JAYA – “Pihak sekolah sepatutnya menghantar terus adik saudara saya ke klinik dan bukan membiarkan selama sejam sebelum mendapatkan rawatan setelah terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah.”
Itulah dakwaan A. Presnath, 36, ekoran kematian adik saudaranya, K. Yashovan, 15, setelah koma selama tiga hari akibat terjatuh dari bangunan Sekolah Menengah Seksyen 1 Bandar Kinrara, Puchong Isnin lalu.
Tambahnya lagi, pihak sekolah sepatutnya menghantar Yashovan terus ke klinik sebelum menghubungi keluarga terdekat untuk mendapatkan rawatan awal.
![]() |
|
PRESNATH menunjukkan surat kematian mangsa semalam. |
Lebih dikesalkan, pihak sekolah enggan memberi sebarang penjelasan berhubung kejadian tersebut walaupun telah menghantar pelajar tersebut ke klinik agak lewat.
“Saya yang tinggal di rumah keluarga mangsa kira-kira 100 meter dari sekolah hanya dimaklumkan kira-kira setengah jam selepas kejadian.
“Dia (Yashovan) dibiarkan di dalam sebuah bilik selepas ditemui terbaring di bawah bangunan dan pihak sekolah hanya bawa dia ke sebuah klinik berhampiran kira-kira sejam kemudian,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur(HKL) semalam.
Yashovan kemudian dibawa ke Hospital Serdang sebelum dirujuk ke wad neurologi HKL dan disahkan meninggal dunia 6.30 pagi semalam.
Menurut Presnath, dia yang cuba mendapatkan penjelasan dari pihak sekolah kelmarin bagaimanapun hampa selepas pihak pentadbiran sekolah seolah-olah lepas tangan dalam hal tersebut yang dianggap sebagai kemalangan.
“Sebelum ini, Yashovan pernah mendakwa dipukul oleh beberapa pelajar lain di sekolah dan saya sendiri yang membuat laporan polis pada 5 Januari lalu.
“Bagaimanapun, sebelum kejadian, Yashovan ada mengatakan hasrat untuk berhenti sekolah kerana tidak tahan dibuli tetapi dia enggan memberitahu sama ada dibuli oleh pelajar yang sama atau sebaliknya,” katanya.
Presnath yang mengesyaki insiden terbaru yang menimpa Yashovan mempunyai unsur jenayah kemudian membuat laporan di balai yang sama Selasa lalu.
“Sehari sebelum kejadian juga saya nampak perubahan pada diri Yashovan yang banyak mendiamkan diri dan seolah-olah berada dalam ketakutan,” katanya Presnath.
Bapa mangsa, B. Kasvan, 55, berkata, dia terkilan apabila pihak pentadbiran sekolah seperti berdolak-dalik dan memberikan keterangan berbeza-beza berhubung insiden yang menimpa anaknya itu.
![]() |
|
KASVAN |
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisoner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, pihaknya akan membuka semula kertas siasatan yang pernah dibuatnya dulu berhubung kes pukul Yashovan tahun lalu.
Setakat ini pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan tiada sebarang tangkapan lagi dibuat.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.






Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


