HIBURAN
Dari belacan ke denim

JIKA kebanyakan selebriti sekarang lebih tertumpu dalam menghasilkan produk-produk kecantikan dan penjagaan diri yang dilihat lebih berkelas tinggi, tetapi tidak bagi pelakon, Ezany Nizarif yang lebih selesa mengeluarkan produk-produk makanan dan pakaian di bawah syarikat miliknya, EMP Sdn. Bhd.
Popular digelar sebagai usahawan belacan, dia turut menambahkan produk dari kilangnya seperti kunyit, ikan masin, asam jawa, udang halus kering dan pencuci pinggan mangkuk yang menggunakan namanya.
Tidak mahu bersaing dengan artis lain, Ezany menganggap, dengan mengusahakan perniagaan makanan, ia lebih menguntungkan walaupun sesetengah pihak pernah mentertawakannya.
“Saya tidak kisah dengan apa orang kata. Yang penting perniagaan ini membuahkan hasil kepada saya dan rezeki yang saya cari itu halal,” katanya yang juga menganggap perniagaan tersebut merupakan satu back up dan persiapan hari tua jika dia tidak aktif berlakon satu hari nanti.
Pelakon yang berusia 35 tahun itu memberitahu, produk makanan tersebut turut memaparkan gambarnya dan dijual di kedai-kedai runcit di seluruh negara kecuali negeri Kelantan.
Jelas Ezany, dia terbuka hati untuk membuka perusahaan tersebut selepas melihat kebanyakan artis membuka perniagaan sendiri.
“Bila tengok mereka sibuk menguruskan perniagaan, hati saya terdetik untuk berniaga sekali,” beritahu Ezany yang bakal melancarkan butik Grass Jeans yang pertama di Kuala Perlis menjelang dua minggu akan datang.
“Jenama ini sudah pun beroperasi sejak tahun 1991 di Sungei Wang dan kilangnya terletak di Melaka tetapi saya baru saja mengambil alih butik itu pada tahun ini.
“Selepas pelancaran di Perlis, saya bercadang untuk menambah cawangan di Tawau, Sabah pada Mei nanti,” ujarnya.
Sasaran memilih dua negeri itu kerana majoriti penduduk di sana adalah pelajar universiti dan kolej.
Dan ini memberi peluang kepadanya untuk menjual pakaian kepada pelajar-pelajar tersebut yang berunsurkan kasual dan trend masa kini.
“Di negeri kelahiran saya saja mempunyai dalam 60,000 pelajar dan kebetulan, di sana mereka tiada tempat untuk membeli belah melainkan mereka keluar ke pekan,” jelasnya yang turut memberitahu, pakaian yang dijual bukan sekadar untuk lelaki sahaja tetapi pakaian perempuan turut dijual.
Tambahnya, barangan seperti seluar jean, t-shirt, jaket, tali pinggang dan topi yang ranggi dijual dengan harga yang berpatutan.
Di Kuala Lumpur, Ezany mempunyai francais Grass Jeans tetapi sekadar showroom yang terletak di Alam Damai, Cheras.
Isteri dua kali keguguran
![]() |
|
EZANY tidak kisah ditertawakan. |
Ketika sedang rancak berbual mengenai perniagaannya yang semakin berkembang, riak wajahnya terus sahaja berubah apabila perihal tentang cahaya mata pula mengambil alih topik perbualan malam itu.
Jelas terpancar sedikit kekecewaan daripada anak matanya yang kelihatan merudum dan dengan nada perlahan dia memberitahu: “Saya memang mahukan anak, tetapi masih tiada rezeki kerana sudah dua kali isteri saya keguguran kerana masing-masing tidak tahu pantang larang ketika hamil.”
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana isterinya, Lizda Nuryanti hamil dua bulan untuk kali ketiga.
“Saya harap, dengan pengalaman yang dialami sebelum ini dapat memberi pengajaran kepada kami untuk lebih berhati-hati dalam penjagaan bayi di dalam kandungan,” jelasnya.
Kali pertama pegang watak berat
Menyentuh pula kariernya sebagai pelakon, populariti Ezany tercetus setelah berjaya membawakan watak Irfan dalam drama bersiri Natasha dan satu persatu drama ditawarkan kepadanya walaupun sudah enam tahun berada dalam dunia lakonan.
Nama Ezany Nizarif semakin meniti di bibir peminat-peminat drama dan ini menambahkan lagi populariti jejaka yang berasal dari Kangar, Perlis ini malah rezekinya semakin mencurah-curah.
Pelakon sederhana tinggi ini akan muncul dalam drama Aku Bukan Malaikat yang mana dia digandingkan dengan Nasreen Ngasri atau Darling dan drama tersebut akan ditayangkan pada 26 Januari ini di TV3.
Dalam pada itu, jejaka tampan ini baru sahaja selesai menjalani penggambaran Tangisan Bulan Madu dengan memegang dua watak berbeza di samping Rita Rudaini. Sesuatu yang mencabar baginya dalam membawa dua watak tersebut.
“Ini merupakan kali pertama saya mendapat watak berat lebih-lebih lagi memegang dua watak yang berlainan watak,” katanya yang kini sedang menjalankan penggambaran drama Intan Asmara pula terbitan MIG Beats Sdn. Bhd.
Dia yang akan digandingkan dengan Lisdawati dan Raja Farah memberitahu, watak yang diberikan dalam drama Intan Asmara seperti drama-drama yang pernah dilakonkannya.
“Walaupun klise, jalan ceritanya pasti menarik perhatian kerana ia lebih membawakan emosi ke dalam jiwa penonton,” ujarnya selepas pelancaran drama tersebut bersama syarikat MIG Sdn. Bhd. di The Lemon, The Mines, Seri Kembangan.
Selain Ezany, Lisdwati dan Raja Farah, drama terbitan David Teo turut menampilkan Ahmad Tarmimi Serigar, Ezany, Faizal Yusoff, Yalal Chin, Aida Rahim serta Safura Yaakub.
Varia!»

JUM-P rawat masalah hati
ABDUL MALEK menunjukkan produk keluaran syarikatnya.




Spa batuan sungai
Karya kreatif di alam maya
Awasi bengkak keras


