RENCANA UTAMA

Bahulu warisan

Bahulu warisan




KETIKA berjalan di Dataran Pahlawan Megamall Melaka, saya terhidu bau enak yang menyusup keluar dari ruang sebuah dapur.

Dalam fikiran, saya sudah membayangkan kuih tradisi pelengkap juadah yang sentiasa terhidang di kampung halaman kala musim perayaan.

Bau enak itu terus mengembalikan nostalgia tentang kesibukan nenek setiap kali menjelang Aidilfitri. Tanpa henti untuk satu tempoh, tangan nenek memukul adunan tepung, telur dan gula berhampiran sebuah dapur arang dengan sabut kelapa yang dibakar. Pada masa yang sama, nenek begitu mahir dan sabar memasukkan campuran itu ke dalam acuan berbentuk ikan atau buah cermai untuk menghasilkan bahulu yang gebu dan enak.




Kenangan itu membuatkan saya mencari arah mana bau kuih tradisi itu muncul. Umpama mengesahkan tanggapan awal, bau itu datangnya dari sebuah kedai kecil yang terpalit percikan cat berwarna merah dan kuning menghiasi sudut dalaman kedai sekali gus menarik perhatian pengunjung yang lalu di hadapannya.

Terletak berhampiran sebuah kafe antarabangsa terkemuka dan bersebelahan dengan sebuah kedai makanan segera tempatan yang terkenal, sebuah papan tanda yang tertera ‘Bahulu Warisan’ dengan megahnya menghiasi bahagian hadapan kedai ini.

“Bahulu Warisan bermula secara tidak sengaja. Tidak pernah terlintas untuk membuka perniagaan ini. Namun, idea untuk mengangkat kehebatan kuih tradisi ini muncul ketika saya belajar membuat bahulu daripada ibu mertua saya, Menah Husin.

“Disebabkan keluarga suami membesar dengan membantu ibu mereka membuat bahulu dan begitu menggemari kuih ini, saya terpanggil untuk belajarnya daripada ibu mertua,” ujar pengasas perniagaan kuih tradisional itu, Siti Zuelliah Mohammad, 44, membuka bicara ketika ditemui KOSMO! di Melaka baru-baru ini.

Menurutnya, pada masa dahulu, resipi yang dipelajari adalah mengikut kaedah sukatan lama iaitu menggunakan mangkuk dan memukul campuran itu dengan pemukul telur yang digerakkan oleh tangan.

“Semasa zaman ibu mertua dulu, dia menggunakan dapur arang dan sabut. Tetapi, semasa saya belajar, pembuatan bahulu telah dilakukan dengan menggunakan sebuah ketuhar kecil di rumah,” jelas Siti Zuelliah yang turut memaklumkan penggunaan alat pengadun juga telah menggantikan pemukul telur tangan.

Tambah usahawan wanita ini, perniagaan bahulu dilakukan secara tidak sengaja apabila beberapa tetamu majlis perkahwinan adik iparnya terpikat dengan kuih tradisi yang dihidangkan kepada mereka pada hari itu.

“Tetamu bertanya di manakah keluarga kami memperoleh bahulu ini kerana bagi mereka, rasanya enak. Apabila mengetahui saya membuatnya, mereka terus menempahnya untuk majlis perkahwinan dan musim perayaan,’’ ujarnya.




Menjelang tahun 1990, Bahulu Warisan dimulakan sebagai sebuah perniagaan kecil-kecilan yang dilakukan di dapur rumah.

Dengan pesanan yang semakin meningkat melalui promosi mulut ke mulut, perniagaan Siti Zuelliah berkembang pesat dengan berpindah dari dapur rumah ke sebuah bengkel kecil di sebelah rumahnya di Kampung Jeram, Masjid Tanah, Melaka.

Kini, bengkel tersebut telah berkembang tiga kali ganda daripada saiz asal untuk menampung permintaan yang semakin tinggi.

“Dari hanya sebuah ketuhar yang muat diletak di atas meja di rumah, saya kemudian menggunakan tujuh ketuhar kecil. Syukur dengan rezeki yang melimpah, bengkel itu kini mempunyai enam ketuhar besar,” ujarnya.

Katanya, perniagaan yang diceburinya itu telah membuka peluang pekerjaan kepada ramai anak muda di kampung tersebut.

Pada tahun 2002, perniagaan Siti Zuelliah berkembang lagi apabila berjaya membuka sebuah kios di pusat beli belah Ue3 yang terletak di Jalan Loke Yew, Cheras, Kuala Lumpur.

Setelah tujuh bulan meraih rezeki di Cheras dengan berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Melaka, pengalaman yang ditempuh itu telah membuka hati wanita ini untuk memulakan perniagaan bahulu secara lebih serius.

“Semua ini pastinya tidak akan menjadi realiti tanpa bantuan Jabatan Pertanian yang telah menghulurkan bantuan dengan mengadakan promosi keluaran usahawan tempatan di pasar raya-pasar raya besar.

“Semasa promosi, kami memperkenalkan bahulu yang masih panas untuk menarik minat orang ramai. Sejak itu, saya mencipta sejarah kerana menerima tempahan yang tidak pernah berhenti,” katanya.

Dari Ue3, Bahulu Warisan bertukar angin dan memulakan perniagaan di gedung beli-belah Jusco di Melaka.

Bertitik tolak dari situ, Bahulu Warisan terus melebarkan sayapnya ke Lembah Klang, Johor dan Singapura.

Pada masa ini, Bahulu Warisan boleh didapati di 26 lokasi termasuk empat buah di Singapura. Jumlah para pekerja di semua outlet itu ialah 56 orang.


ZAMAN tidak merubah keenakan bahulu.


Difahamkan Siti Zuelliah gigih menghasilkan lebih 30,000 biji bahulu setiap hari untuk dipasarkan di pasar raya.

“Kelebihan Bahulu Warisan terletak pada jualan bahulu panas manakala adunan dan kuih ini disiapkan segar pada setiap hari. Namun, kami juga menghasilkan kuih bahulu yang dibungkus siap,” kata Siti Zuelliah yang memaklumkan sukatan bahan kering dilakukan di bengkel Kampung Jeram dan dihantar ke outlet-outlet lain, selain di Johor dan Singapura.

Menurutnya, penyediaan bancuhan bahan-bahan dilakukan di kedai-kedai itu sendiri.

“Bengkel di Kampung Jeram turut menyediakan kuih bahulu yang siap dibungkus dalam bekas untuk memenuhi permintaan besar atau individu,” jelas beliau lagi.

Meskipun hanya menggunakan tepung gandum, gula dan telur untuk membuatnya, Siti Zuelliah berkata, teknik pembuatan mampu memberikan kesan yang berbeza pada bahulu yang dihasilkan.

‘’Disebabkan pada zaman dahulu, bahulu hanya disediakan pada majlis-majlis keraian atau perayaan sahaja, jadi ada pantang larangnya,’’ kata Siti Zuelliah sambil memaklumkan bahawa adunan tidak seharusnya dikacau selalu.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, walaupun bahulu terkenal dengan pukulan adunan tanpa henti, hakikatnya ia hanya dilakukan apabila telur bercampur gula.

“Apabila tepung dimasukkan, kita tidak perlu mengacau selalu kerana nanti kuih yang dihasilkan akan menjadi keras.

“Saya telah melakukan kajian untuk mengenal pasti sukatan bahan yang paling sesuai dengan kaedah moden dan hasilnya, kuih-kuih bahulu yang enak ini berada di pasaran,” kata Siti Zuelliah yang memulakan perniagaan Bahulu Warisan dengan hanya bermodalkan antara RM100 hingga RM200 sebulan untuk membeli barangan mentah.

Tambah beliau: “Bagi saya, bahulu yang asli terdiri daripada hanya tiga ramuan iaitu telur, gula dan tepung.

“Apabila dicampur dengan ramuan lain seperti perisa, ia akan menjadi seperti kek, bukan lagi bahulu,’’ujarnya.


SITI ZUELLIAH berani menyahut cabaran dalam melebarkan sayap perniagaan bahulu yang diceburinya sejak tahun 1990.


Namun, katanya, itu tidak bermakna bahulu tidak seharusnya ada variasi. Ini kerana sekiranya ada pelanggan mahukan bahulu berperisa, pihaknya akan menyediakannya.

Dibakar selama tujuh minit dalam ketuhar bersuhu antara 180 hingga 220 darjah Celsius, aroma Bahulu Warisan pastinya mengundang selera sesiapa yang berada berhampiran.

“Antara maklum balas yang diterima daripada pelanggan yang menggemari kuih ini ialah keenakannya disebabkan kerangupan luaran kuih dan dalam yang masih lembut ketika masih panas.

“Apabila sejuk, ia akan menjadi keras sedikit. Tetapi ini tidak bermakna ia tidak sedap. Ia cuma lebih sedap sekiranya dimakan ketika panas dan dilengkapkan pula dengan kopi O panas,” kata Siti Zuelliah.

Beliau turut memaklumkan faktor udara dan cahaya turut memberikan kesan kepada kuih bahulu.

“Ia harus disimpan dalam bekas kedap udara dan di tempat-tempat yang tiada sinaran terus matahari,” katanya.

Bahulu Warisan menyediakan pelbagai bentuk, antaranya ialah buah cermai, ikan, gulung yang menyerupai kek ‘swiss roll’, pecah lapan dan pusing.

“Bagi memenuhi cita rasa penggemar bahulu, kepelbagaian bentuk yang unik turut disediakan. Ia termasuk ikan bersaiz besar, ikan tangkap ekor, buah delima, buah belimbing, ketam, udang dan burung,” maklum Siti Zuelliah.

Di samping itu, bahulu berperisa turut disediakan seperti coklat dan gula melaka.

Process time in ms: 32